Pemuda PAS Komited Memperjuangkan Islam

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/11/2008 02:07:00 AM | 0 Pandangan »

Malam ini saya telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agong Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian yang diadakan di markas PAS Kawasan Pontian. Alhamdulillah, kehadiran ahli pemuda di kawasan tersebut adalah sangat memuaskan dengan kehadiran ramai muka baru dalam pemuda PAS daripada cawangan-cawangan yang ada di dalam kawasan Pontian.

Perkara yang saya pertekankan di dalam ucapan perasmian ini adalah berkaitan dengan pentingnya memperkukuhkan tarbiyah dan pengurusan organisasi pemuda PAS di semua peringkat.

Peringkat awal, saya memberikan gambaran sejarah PAS di Johor. PAS sejak ditubuhkan pada tahun 1951 sehingga berjaya bertapak diseluruh negara pada hari ini perlu dijadikan tanda atas kejayaan PAS walaupun pada peringkat awal penubuhannya PAS dianggap sebagai ‘parti nyamuk’ yang akan pupus selepas menghadapi pilihanraya umum.

PAS telah ditubuhkan di Johor pada 19 Mac 1954 di Johor Bahru sebagai cawangan pertama di Johor. Ketika itu PAS didokongi oleh golongan agama, imam-imam surau dan masjid, golongan buruh yang cintakan kepada parti yang memperjuangkan Islam.

Cawangan kedua PAS ditubuhkan di Benut pada 9 Mei 1954 dan PAS terus berkembang sehinggalah PAS telahpun berjaya menubuhkan PAS di peringkat Parlimen di seluruh negeri Johor. Bermakna, Pemuda PAS Kawasan Pontian berada di kawasan yang merupakan kawasan kedua PAS ditubuhkan di Johor kerana Benut adalah merupakan DUN yang terletak di dalam Parlimen Pontian.

PAS Johor mula menyertai pilihanraya umum pada tahun 1959 dengan meletakkan calon di Parlimen Pontian Utara, Muar Utara dan Segamat Selatan. PAS juga telah meletakkan seramai sembilan orang calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebagai membuktikan bahawa PAS masih lagi jauh daripada hati pengundi di Johor, PAS hanya berjaya memperolehi 2.31 peratus sahaja (4,992 undi daripada 216,027 undi) daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi di peringat Parlimen manakala di peringkat DUN pula PAS hanya mampu meraih sejumlah 2.55 peratus sahaja (5,471 undi daripada 214,496 undi)di kalangan pengundi ketika itu.

Walaupun PAS di Johor tidak mendapat sambutan ketika itu namun di atas keyakinan yang cukup tinggi pejuang terdahulu PAS terus diperkembangkan penubuhan diperingkat Kawasan dan cawangan. Walaupun ketika penubuhan awal PAS ini disulami dengan pelbagai mehnah dan tribulasi namun ia tidak membunuh semangat ahli-ahli PAS.

Pilihanraya umum kali ke 12 telah memperlihatkan betapa PAS yang ada pada hari ini jauh lebih baik daripada apa yang pernah dicatatkan dalam sejarah pilihanraya umum pada tahun 1959 dahulu.

PAS berjaya memperolehi 8.9 peratus daripada keseluruhan undi diperingkat Parlimen dan 18.6 peratus undi diperingkat DUN. 16 DUN yang PAS bertanding di peringkat DUN mendapat undi melebihi 30 peratus keseluruhan termasuklah kerusi DUN Maharani dan DUN Sungai Abong yang buat pertama kalinya PAS menang di Johor secara ‘anak jantan’.

Saya menyatakan perkara ini kepada seluruh pemimpin dan perwakilan pemuda di Pontian malam tadi adalah bertujuan untuk memperlihatkan kepada mereka bahawa PAS bukanlah parti yang digambarkan seperti pilihanraya umum tahun 1959 yang cukup getir perjuangannya ketika itu.

PAS sudah mendapat tempat dihati rakyat Johor termasuklah dikalangan orang Cina dan India. Sukar untuk menggambarkan perkembangan seperti ini di Johor tetapi ianya telah terbukti sejak daripada pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini.

Bagi menghadapi perkembangan yang cukup positif kepada masa depan PAS di negeri Johor ini, beberapa perkara perlu diberikan penekanan dan perhatian oleh semua pemuda PAS di setiap peringkat.

Pertamanya, program pentarbiyahan perlu diberikan keutamaan. Usrah, tamrin dan muqayyam wajib untuk dilaksanakan diperingkat kawasan dan cawangan sekiranya mempunyai kekuatan.

Keduanya, pengurusan dan pentadbiran perlu diperkukuhkan. Maklumat keahlian mesti dikemaskini selalu agar pemuda dapat mengenalpasti jumlah kekuatan sebenar yang ada di semua peringkat.

Ketiga, pengundi-pengundi muda perlu dikenalpasti siapa mereka, latar belakang mereka untuk memudahkan proses program susulan kepada mereka.

Keempat, pelan tindakan pemuda PAS mesti dirangka dengan baik agar gerakerja dan halatuju pemuda PAS kawasan Pontian dapat diikuti dengan baik oleh ahli di semua peringkat.

Secara kesimpulannya, saya menyebut kepada pemuda PAS Pontian agar segala apa yang dilakukan ini adalah jelas dengan niat untuk mencari keredhaan daripada Allah S.W.T. Berjuang di dalam PAS bukan semata-mata untuk memastikan PAS memerintah Malaysia tetapi pemerintahan PAS mestilah berlandaskan kepada Islam.

Saya mengingatkan kepada pemuda PAS Pontian bahawa kes murtad yang melibatkan Siti Fatimah Tan Abdullah yang telah digugurkan keIslamannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang telah membuka lebaran baru kepada kita semua. Tidak mustahil selepas daripada ini permohonan untuk murtad akan dibuat oleh pelbagai pihak yang akan menggunakan hujah yang sama seperti kes Siti Fatimah.

Walaupun apa jua keadaan yang berlaku dalam perkembangan politik tanahair, Pemuda PAS tetap akan menjadi pembela kepada agama kerana itu adalah tujuan PAS ditubuhkan.

Percayalah bahawa dalam isu mempertahankan Islam, umat Islam meletakkan harapan kepada PAS bukannya UMNO yang masih berkalutan membicarakan persoalan Melayu, Melayu dan Melayu.
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
11 Mei 2008, 2.18pagi

0 Pandangan