Kenapa Nak Tarik Balik Siaran Langsung?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/02/2008 07:55:00 AM | 4 Pandangan »

Tidak perlu rasanya Datuk Ahmad Shabery Cheek memohon maaf, tidak perlu. Untuk apa beliau memohon maaf sedangkan tindakan beliau membuka satu ruang walaupun kecil tetapi telah berjaya menarik perhatian rakyat terhadap satu perkara yang sangat penting iaitu persidangan Parlimen yang melibatkan ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat bagi memperjuangkan nasib rakyat dalam dewan yang mulia itu.

Selama ini, rakyat hanya berpeluang untuk melihat pemimpin berbicara dalam suasana yang dapat di kawal iaitu siaran rakaman yang disiarkan dalam segmen Buletin utama atau yang seumpamanya. Kalau ada siaran langsung pun, rakyat berpeluang untuk melihat perbentangan Belanjawan Negara yang hanya membenarkan Menteri Kewangan bercakap seorang diri ketika membentangkan budget tersebut.

Ataupun, rakyat hanya dapat mengikuti perkembangan persidangan Dewan Rakyat melalui berita yang dipaparkan dalam media cetak yang sudah pastinya akan menyiarkan berita-berita yang tertentu sahaja.

Dalam paparan berita yang saya petik daripada UtusanOnline ini, Ahmad Shabery kelihatan cukup sedih, kecewa dan mengambil tanggungjawab kerana membenarkan sidang Parlimen diadakan secara siaran langsung selama 30 minit tersebut.

Namun, Ahmad Shabery masih lagi tidak mahu mengakui bahawa pertikaian dan perdebatan bertikam lidah tersebut disebabkan kelemahan dan ketidakberadaban ahli Parlimen BN yang 'tidak segan silu' menggunakan perkataan yang kesat dan sensitif ketika memberikan ucapan.

Kepimpinan UMNO khususnya, dengan mengambil contoh YB Datuk Paduka Badaruddin Amiruldin yang cukup celupar dalam berbahas di Parlimen. Masih ada lagi sentimen perkauman yang cuba dimainkan apabila memberikan ucapan. Untuk apa sentimen perkauman ditimbulkan dalam sidang Parlimen sekiranya beliau faham apa sebenarnya maksud peranan beliau sebagai Ahli Parlimen?

Saya yakin bahawa Badaruddin dan kepimpinan UMNO sedang berhadapan dengan tekanan yang cukup hebat kerana UMNO sedang berada dalam satu suasana merudum dalam berhadapan dengan masalah sokongan kaum Melayu terhadap parti Melayu yang ada satu itu. Kepimpinan UMNO sedang menagih simpati kaum Melayu agar tidak berterusan meminggirkan dan meninggalkan UMNO.

Di atas realiti perkembangan politik yang sedang melanda UMNO, maka sesuatu perlu dilakukan. Di antaranya, membuat gesaan agar pemimpin parti Melayu bersatu-padu walaupun sebelum ini kepimpinan UMNO mendakwa hanya UMNO sahaja yang membela nasib orang Melayu di Malaysia. Kepimpinan PAS dan PKR dianggap penderhaka dan pemusnah kepada perpaduan orang Melayu. Pemangku Ketua Umno Bahagian Tun Razak itu Datuk Rahim Baba seperti mana siarkan di dalam Buletin Utama semalam telah membuat satu kenyataan agar kepimpinan UMNO, PAS dan PKR bersatu hati memperjuangankan masa depan Melayu.

Hari ini sehingga esok (2 dan 3 Mei 2008) kira-kira 1,000 wakil daripada lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan mengambil bahagian dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Johor Bahru bagi membincangkan masa depan Melayu.

Saya yakin selepas ini akan diadakan banyak lagi aktiviti dalam pelbagai bentuk untuk menarik perhatian orang Melayu untuk terus bersatu.

Saya cuba untuk mengaitkan ucapan Datuk Badaruddin dalam sidang Parlimen kelmarin dengan tekanan yang sedang hebat melanda UMNO/BN. Bliau membangkitkan isu perkauman kerana ia pastinya akan meningkatkan semangat orang Melayu untuk bercakap soal masa depan melayu dan berani mempertahankan hak mereka dan orang bukan Melayu sekiranya mereka tidak suka untuk berada di Malaysia, mereka dipersilakan keluar daripada tanah ini (lihat ucapan beliau http://minda-kembara.blogspot.com/2008/05/kecoh-sidang-parlimen-hari-pertama.html)

Sekiranya sidang Parlimen ini tidak dapat ditayangkan secara langsung (walaupun 30 minit) maka gelagat pemimpin seperti mana yang tersiar dalam siaran langsung tersebut tidak dapat dinilai oleh rakyat secara keseluruhan. Saya sememangnya tidak setuju dengan suasana pengendalian persidangan tersebut yang masih lagi bersifat menyebelahi wakil rakyat BN namun saya masih mengharapkan suasana yang lebih harmoni dapat dilihat selepas daripada ini.

Janganlah salahkan ahli parlimen DAP dan pembangkang sahaja tetapi lihat juga bagaimana pengendalian persidangan ini dilakukan. Kalau ianya mengikut peraturan yang ditetapkan maka sudah pasti pertikaian lidah seperti mana yang telah diketahui ramai ini dapat diminimumkan dengan sebaik mungkin.

Andaikata siaran langsung ini dihentikan maka Ahmad Shabery telah menghampakan rakyat secara keseluruhannya.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
2 Mei 2008, 8.47 pagi
Taman Sri Kluang

---------------------------------------------------

Shabery Cheek mohon maaf - Utusan Malaysia
Oleh Zaini Raban

BIDOR 1 Mei – Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana bertindak membenarkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam semalam.

Menurut beliau, rakyat benar-benar tertipu dengan tingkah laku wakil pembangkang yang membuat kecoh di Dewan yang mulia itu hingga mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen.

Kata beliau, walaupun orang ramai suka melihat sesuatu pertelingkahan tetapi pada masa sama ia merendahkan martabat Parlimen hingga menjadi seperti pasar dan ‘barang permainan’ mereka yang tidak bertanggungjawab.
‘‘Sekali lagi saya ulangi, saya rasa kesal dan saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana siaran langsung itu telah mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen. Saya rasa bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.
‘‘Sepatutnya ia jadi tempat mulia, tetapi ramai yang menganggap perbuatan ahli-ahli Parlimen pembangkang khususnya DAP telah merendahkan martabat Parlimen hingga ramai mengatakan ia tidak lebih daripada sebuah sarkas,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Menteri anjuran UMNO Cawangan Bidor dan Ketua-ketua UMNO di Dewan Undangan Negeri Sungkai di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Shabery menyatakan slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang Dewan itu.
Beliau berkata, kekecohan pada sidang Dewan boleh menjadikan rakyat muak terhadap semua ahli Parlimen, ahli politik dan kerajaan keseluruhannya apabila ahli-ahli Parlimen berbalah dan bertikam lidah di atas perkara yang remeh-temeh setiap hari.
Katanya, lama-kelamaan sudah tentu rakyat akan hilang kepercayaan terhadap ahli-ahli Parlimen kerana mereka sangkakan wakil rakyat yang dipilih adalah lebih pandai, bijak, matang, berhemah dan beretika.
‘‘Saya rasa ini bahaya. Apabila hilang kepercayaan, mereka tidak akan lagi percaya kepada sistem, Parlimen, kerajaan, menteri-menteri malah institusi pembangkang itu sendiri.
‘‘Akhirnya mereka beralih kepada urusan kehidupan masing-masing kerana merasakan bahawa ahli politik bukanlah tempat untuk mereka mengadu dan menaruh harapan,” katanya.
Kata Ahmad Shabery, apabila persepsi sedemikian berlaku dan berterusan ia akan mengakibatkan masa depan politik dan demokrasi negara hilang dan pudar begitu sahaja.
‘‘Mungkin bagi orang UMNO, mereka rasa ini satu perkara yang baik sebab kita tunjukkan itulah perangai pembangkang yang tuan-tuan pilih. Tetapi bagi saya ia satu kegagalan untuk menyakinkan rakyat bahawa Parlimen kita adalah Parlimen yang baik,” katanya.
Tambah beliau, tingkah laku pembangkang di Parlimen juga jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati kerajaan yang mengarahkan semua Menteri turun ke sidang Dewan bagi menjawab segala persoalan.
Katanya, bagi membolehkan langkah itu dilaksanakan kerajaan terpaksa mengubah mesyuarat Kabinet daripada hari Rabu ke hari Jumaat tetapi malangnya ia langsung tidak dihargai ahli Parlimen pembangkang.
‘‘Dulu mungkin ada Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri untuk jawab tetapi kini Menteri sendiri jawab.
‘‘Soalan tambahan pula kita bagi kepada pembangkang dan kita ikhlas nak turun dan nak jawab tetapi tak dihargai. Jadi untuk apa semua ini?,” katanya.

4 Pandangan

  1. Hanan Ya Manan // May 2, 2008 at 2:44 PM  

    sudah lah pembangkang! jgn la nak menegak benang yg basah lg. dah terang lg bersuluh pembangkang2 kat parlimen mmg hampeh. aku ni keje kat parlimen pun tau. hari rabu tu asik2 'point of order' 2x. naik bosan la tgk gelagat pembangkang ni. mentang2 dpt byk krusi kali ni mcm beruk dpt bunga. kalau ikutkan dlm sehari boleh kluar 10-15 soalan tp rekod aritu 3 soalan je sbb nak melayan kerenah pembangkang yg mcm sial ni. mcm ni ke kelakuan 'government in waiting'? poorah!!! yg lawaknya lepas pukul 11 ( time siaran langsung dah habis ) alih2 boleh pulak si kapal sink dap tu kata ' YDP teruskan jgn buang masa' padahal masa pukul 10-11 tu dia la yg sibuk habiskan masa kluar point of order. bangang2x

  2. Unknown // May 2, 2008 at 9:51 PM  

    Bagi aku yang pernah duduk di parlimen, BN atau parti lain sama je. Banyak yang buang masa. Tak ade penghujahan atau bangkangan yang betul-betul bernas. Biasalah Parlimen Malaysia. Nak kata apa. Mentaliti kelas apa entah. Semuanya ikut perasaan. Buang duit rakyat.

  3. Unknown // May 2, 2008 at 9:53 PM  

    Teruskan siaran. Rakyat nak tengok sama ada wakil yang mereka pilih BN atau bukan BN benar-benar buat kerja atau tidak. Takkan Shabery takut.

  4. abe MIE 'TERJAH' // May 4, 2008 at 12:52 AM  

    salam...

    biarlah ahli parlimen buat kerja dia... pastu kita buat kerja kita- 5 tahun sekali-mengundi.

    kerja kita, sebulan sekali dapat gaji..

    yang seronok, ahli parlimen dah hilang akal dan isim bila bercakap.. bukan apa nak tunjuk hero..buatlah mana yang patut..

    kita kat luar tunggu beras diselesaikan...dan tunggu janji ditunaikan...

    (http://malaysialoni.blogspot.com)