Dedahkan Segera Laporan Inkuiri Klip Video Linggam

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/10/2008 01:15:00 AM | 0 Pandangan »

Tidak sabar rasanya untuk menunggu laporan inkuiri terhadap klip video Lingam yang telah pun diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agong serta Kerajaan Malaysia. Mengikut maklumat daripada Bernama, Tan Sri Haidar Mohamed Noor selaku Pengerusi Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video V.K. Lingam telahpun menyerahkan laporan tersebut hari semalam (9 Mei 2008) dan beliau juga berharap agar laporan ini dapat didedahkan kepada umum walaupun beliau menyatakan bahawa ianya terserah kepada PM untuk mendedahkan ataupun tidak.

Difahamkan, laporan tersebut dihantar dalam empat jilid laporan yang kesemuanya berjumlah 186 muka surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Rakyat sudah tentu tidak sabar-sabar untuk menunggu hasil laporan ini. Rakyat ingin tahu kesahihan video tersebut, siapa yang bercakap dengan VK Linggam, Kamin mana yang telah pecah amanah dan segala apa yang terkandung dalam rakaman video tersebut kerana ianya sudah tentu memberikan kesan kepada system perundangan dan kehakiman negara.

Namun, seperti biasa dan mungkin sudahpun dijangka bahawa Pak Lah akan mengambil masa untuk mengumumkan hasil siasatan tersebut. Entah bila agaknya laporan tersebut akan dijadikan dokumen umum tetapi yang pastinya laporan tersebut sudah tentu mempunyai nilai yang sangat beharga kepada semua.

Kita tunggulah bila Pak Lah akan umumkan sebab Pak Lah memang susah untuk menunaikan janjinya. Saya masih lagi menunggu Pelan Peralihan jawatan PM yang Pak Lah janji semasa pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Johor. Pak Lah berjanji dengan pimpinan UMNO Johor bahawa pelan tersebut akan diumumkan secepat mungkin. Tiba-tiba selepas daripada itu bukannya Pelan Peralihan yang diumumkan tetapi beliau mengumumkan pula bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO yang akan diadakan pada bulan Disember nanti.

Kita tunggu bila agaknya hasil laporan ini akan didedahkan kepada umum. Silap-silap, hasil laporan tersebut akan terus disimpan dalam arkib dengan pelbagai alasan yang boleh dibuat-buat.

Jika susah sangat Pak Lah untuk mengumumkan hasil siasatan tersebut, peluang yang ada untuk mendapatkan maklumatnya adalah menerusi Tan Sri Haidar Mohamed Noor kerana beliau sudah tentu tahu apa yang terkandung di dalam laporan setebal 186 muka surat itu.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
http://minda-kembara.blogspot.com/
10 Mei 2008, 1.37 pagi

0 Pandangan