Bila membaca berita seperti ini, saya yakin bahawa UMNO sudah semakin putus harapan untuk meyakinkan orang Melayu bahawa perjuangan UMNO untuk membela orang Melayu.
Bila sudah tersepit, barulah PAS, PKR dicari untuk menyelamatkan bahtera UMNO yang semakin tenggelam (Muhyiddin Yasin kata UMNO kapal Titanic yang semakin tenggelam). Ia amat berbeza dengan ucapan-ucapan pemimpin UMNO sebelum daripada menghadapi pilihanraya Umum yang ke 12 dahulu yang seolah-olahnya beranggapan bahawa PAS, PKR atau mana-mana parti tidak layak dikaitkan dengan perjuangan mempertahankan hak orang melayu kecuali UMNO, UMNO dan UMNO.
Hanya UMNO yang mempertahankan hak orang melayu,
Hanya UMNO yang mempertahankan tanah orang melayu,
Hanya UMNO yang mempertahankan tanah rezab melayu,
Hanya UMNO yang memperjuangan masa depan melayu,
Hanya UMNO yang memperjuangkan bahasa melayu,
Hanya UMNO yang mempertahankan biasiswa untuk orang melayu,
Hanya UMNO yang mempertahankan penempatan orang melayu,
Hanya UMNO...
PAS dan PKR pula, semuanya yang dilakukan tidak memberikan manfaat kepada orang melayu.
Datuk Norza mencadangkan agar ketiga-tiga parti ini mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju bangsa melayu di Malaysia ini. Rasanya tidak perlulah untuk dicadangkan perkara seperti ini kerana HANYA UMNO YANG MEMPERJUANGKAN MELAYU. Tidak perlulah untuk mengajak PAS, PKR untuk bersama-sama kerana parti-parti ini sudah tidak relavan lagi daripada pandangan UMNO sebelum daripada pilihanraya umum yang lalu.
Lebih baik rasanya Norza dan kuncu-kuncu UMNO duduk berbincang semula dalam satu permuafakatan di antara UMNO kerana UMNO sudah hampir tenggelam (ingat kembali kata Muhyidin Yasin). Bincang semula masalah perpaduan dalam UMNO kerana orang melayu menolak UMNO bukannya menolak PAS dan PKR. Ketika ini, orang melayu sudah tidak tahan lagi dengan segala macam ketidakadilan, kronisme, rasuah dan pelbagai kelemahan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO yang menyebabkan mereka sudah kecewa dengan UMNO.
Berita terbaru yang menyebut bahawa 40 ribu borang PAS telah habis diedarkan untuk menerima kemasukan ahli baru memberikan satu gambaran betapa orang Melayu sudah tidak mahu lagi bersama UMNO. Itu baru Kedah, bagaimana pula dengan negeri-negeri yang sudah dikuasai oleh Barisan Rakyat dan negeri-negeri yang sedang menuju puncak kemenangan seperti Johor?
Di Johor juga, pejabat Perhubungan PAS negeri terpaksa membuat tempahan baru borang keahlian termasuklah borang keahlian Kelab Penyokong PAS daripada Kaum Cina dan India kerana borang yang terbaru diterima sudah kehabisan stok. Johor sebagai kubu kuat UMNO pun sudah semakin goyah, inikan lagi negeri-negeri yang lain.
Mudah bicara, Norza dan pimpinan UMNO yang lain sebenarnya yang perlu memikirkan masa depan mereka dalam UMNO. Kapal Titanic dah nak karam dan sejarah telah membuktikan bahawa Titanic telahpun karam selepas tidak dapat diselamatkan ketika hampir-hampir karam. Itulah gambaran Muhyidin Yasin, gambaran terhadap UMNO masa kini.
Marilah bersama PAS, PKR dan mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat yang lain. Kita bina sebuah negara yang baru yang lebih berjaya untuk dinikmati oleh semua rakyat yang berbilang kaum ini.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
14 April 2008, 8.18 pagi
------------------------------
UMNO, PKR, Pas perlu muafakat pertahan hak Melayu
KUALA LUMPUR 13 April – Pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju bangsa Melayu di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, permuafakatan pemimpin-pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti itu perlu diadakan supaya isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan.
Menurut beliau, tiga perkara penting berkaitan orang Melayu dan yang akan menentukan masa depan mereka di negara ini ialah membabitkan agama Islam, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pendidikan.
“Sudah tiba masanya pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti politik itu berbincang dan mendapatkan persetujuan bersama supaya tiga perkara membabitkan bangsa Melayu itu tidak boleh disentuh dan diganggu oleh orang lain.
“Sekiranya ada pihak yang cuba mengganggu tiga perkara tersebut, pemimpin-pemimpin ini akan mempertahankan hak orang Melayu dengan pendekatan yang sama,” kata Norza selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kelima Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, dekat sini hari ini.
Norza yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu mahu orang Melayu mempertahankan ketiga-tiga perkara itu sebagai hak bangsa Melayu dengan mengetepikan perbezaan parti politik.
“Sebagai contoh, orang Cina mengetepikan soal perbezaan parti politik dalam menangani dan memperjuangkan isu sekolah Cina dan sepatutnya orang Melayu juga bersikap dan bertindak demikian,” tegasnya.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti hujung tahun ini, Norza berkata, beliau tidak akan bertanding merebut jawatan itu tetapi hanya akan mempertahankan kerusi MT.
Menurut beliau, masa ini lebih tepat untuk merawat hati-hati yang sudah luka dan mereka ingin melihat UMNO membuat perubahan dan menjadi sebuah parti yang tetap disanjung dari dahulu sehingga sekarang.
Dalam pada itu Norza mengingatkan supaya UMNO yang telah ‘tenat’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu perlu menjalani proses pemulihan seperti orang sakit yang dimasukkan ke hospital.
Dalam perkara ini katanya, UMNO tidak boleh berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, kerana sekiranya itu terjadi, maka perubahan atau pemulihan akan berjalan dengan lebih perlahan.
“Kita sepatutnya keluar daripada permainan tuduh-menuduh sebaliknya turun ke padang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
“Kita tidak mahu adegan tuduh-menuduh ini menjadi show case untuk tontonan orang lain.
“Jika berlarutan saya khuatir satu hari nanti orang akan menganggap UMNO tidak relevan lagi,” jelasnya.
Menurut beliau, parti pembangkang semakin memperbaiki kedudukan mereka kerana kelemahan UMNO yang mempunyai masalah dalaman yang didedahkan kepada pengetahuan orang luar.
Pembangkang katanya, belajar daripada kelemahan dan masalah UMNO untuk mentadbir negara hari ini.
Norza berkata, “jika kita cepat tutup dan menyelesaikan semua masalah kita, maka lagi cepat kita akan bergerak walaupun yang telah kalah dalam pilihan raya lalu untuk terpaksa bekerja keras.”
0 Pandangan
Post a Comment