Isu Keris Jadi Penyebab BN Kalah!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/19/2008 03:15:00 PM | 0 Pandangan »

Ala Khairy, apalah engkau ni. Dulu kenapa tak tegur si Hishamudin yang apa yang dia buat tu tak betul. Sekarang baru nak cakap, tu pun sebab si Hisham dah tak nak bertanding sebagai Ketua Pemuda lagi.

Masa Hisham menghunuskan keris dulu, kau la yang paling kuat menyokong dia. Bila pemuda MCA dan Gerakan membantah, kau la yang kuat menghentam kembali pemuda MCA dan Gerakan dan kau kata si Hisham tu buat tindakan yang betul.

Sekarang kau kata kat dia pulak. Apa la kau ni Khairy, kau nak tikam dia daripada belakang.

Kau ni manusia jenis apa la Khairy. Semua orang kau nak 'bunuh'. Kau saja yang betul dan bagus. Dulu masa pilihanraya kecil Ijok pun kau la yang mulakan perangai berteriak dan terpekik-terlolong bila berdepan dengan penyokong PKR. Bila si Hisham tengok kau dah macam tu, dia pun terikut la.


Habis tu...bila kau menghunus dan mengucup dan menghunus keris tu macamana?
---------------------------------------
Khairy: Keris antara punca BN kalah - Malaysiakini
Apr 18, 08 5:39pm



Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengakui bahawa isu keris menjadi satu daripada beberapa punca sokongan kepada BN merosot dalam pilihanraya umum 8 Mac.


Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa isu keris menjadi punca utama pengundi, khususnya bukan Melayu, tidak menyokong ramai calon BN dalam pilihanraya umum tersebut.


"Kita perlu mengkaji dan berfikir untuk melihat isu keris ini secara terbuka," kata Khairy, yang juga ahli parlimen Rembau. Beliau berkata demikian ketika ditemui media di "retreat" ahli-ahli parlimen BN di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur hari ini.


Kelmarin dua akhbar bawah Kumpulan NSTP, yang dikaitkan dengan Khairy, Berita Harian dan New Straits Times menyalahkan ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana menghunus keris 'Panca Warisan' selama tiga tahun berturut-turut mulai 2005.

Bagaimanapun, kata Khairy, beliau tidak pasti sama ada isu keris tersebut akan di bawa ke perhimpunan agung Pemuda Umno hujung tahun ini.

"Saya juga tidak tahu sama ada isu keris ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat exco pergerakan Pemuda Umno," tambah Khairy.

Beliau berkata, pada keseluruhannya, isu keris merupakan salah satu punca sokongan kepada BN berkurangan dalam pilihanraya umum ke-12.

"Kita perlu kenal pasti sebab-sebab timbul isu keris," tambahnya.

Isu keris menjadi polemik besar selepas Astro membuat siaran langsung perhimpunan agung Umno pada 2006 sewaktu 'Panca Warisan' diarak masuk ke dewan dan kemudiannya dihunus dan dikucup oleh Hishammuddin.

Beliau menjulang keris bagi menunjukkan perjuangan Pemuda Umno mendaulatkan Agenda Melayu.Bagaimanapun, tindakan Hishammuddin itu dikritik hebat oleh parti-parti komponen dalam Barisan Nasional dan yang paling lantang - Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan.

Hishammuddin mempertahankan tindakannya itu dengan menyatakan menghunus keris bukan bererti seseorang itu mahu mengancam atau mahu menikam orang lain, ia hanya simbol semata-mata.

"Malah keris juga tidak boleh dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja," katanya dalam sidang media sempena perhimpunan agung Pemuda MCA pada Ogos 2006.

Dalam perhimpunan agung Umno 2007, Hishammuddin sekali lagi menghunus, mengucup dan menjulang Keris Panca Warisan tanpa menghiraukan bantahan keras dan meluas bahawa ia merupakan simbol 'pergaduhan' yang boleh menimbulkan keresahan antara kaum.

Malah, Khairy selaku naib ketua pergerakan itu mengisytiharkan selagi ada Pemuda Umno, Keris Panca Warisan akan terus dijulang selama-lamanya. Beliau juga mengingatkan bahawa sesiapa yang tidak berani menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan adalah pengkhianat kepada Melayu dan Umno.

0 Pandangan