ISU Amanah Saham Johor & Dana Johor

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/21/2008 06:01:00 PM | 1 Pandangan »

BPR perlu siasat laporan audit ASJ


BATU PAHAT 20 April - Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta menjalankan siasatan ke atas Laporan Audit Amanah Saham Johor (ASJ) kerana dana pelaburannya yang berjumlah RM48.7 juta didakwa merosot teruk kepada RM23 juta dalam tempoh enam bulan sahaja.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfuz Mohamad berkata, laporan audit itu adalah dari 31 Mei hingga 30 November 2007 yang menunjukkan dana tersebut berkurangan dalam tempoh yang singkat.
"Tindakan Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikatnya Pelaburan Johor Berhad (PJB) menamatkan Skim ASJ juga dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini menyiarkan notis penamatan Skim ASJ yang bertarikh 1 April dan pemegang-pemegang Unit ASJ dipanggil untuk mengadakan mesyuarat luar biasa pada 24 April ini.

Mahfuz mendakwa, penamatan itu menunjukkan JCorp seperti cuba lari daripada tanggungjawab atas prestasi buruk ASJ sejak 1997.

Beliau berkata, sepatutnya Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman selaku Pengerusi JCorp manakala Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berusaha memulihkan harga pasaran ASJ dan bukan menamatkannya.

"Saya difahamkan selepas Skim Pembelian Semula ASJ yang diperkenalkan pada tahun 2004 masih terdapat 77,000 pelabur ASJ dengan nilai pelaburan RM22.9 juta," jelasnya.

Mahfuz berkata, jika dibandingkan dengan amanah saham negeri lain, mereka tetap boleh memberikan agihan dividen contohnya Amanah Saham Darul Iman (ASDI) Terengganu, mengagihkan dividen pada kadar 4 sen seunit walaupun turut mengalami kejatuhan harga saham.

Katanya lagi, pada 21 Februari 2008 Amanah Saham Kedah (ASK) yang juga mengalami kejatuhan harga sebelum ini dapat mengagihkan dividen 5 sen seunit kepada pelaburnya membabitkan bayaran sebanyak RM7.57 juta.

"Ini bermakna PJB gagal menguruskan dana pelaburan ASJ dengan berkesan dan profesional," dakwanya.

Justeru, beliau berkata, Pas Johor menggesa supaya JCorp membatalkan niat untuk menamatkan Skim ASJ tetapi sebaliknya perlu merangka satu pelan tindakan yang lebih agresif dan mampan bagi memulihkan harga ASJ.

Menurut beliau, kerugian yang dialami oleh pelabur ASJ pada masa sekarang adalah bersifat 'atas kertas' dan tindakan menamatkan ASJ merupakan tindakan merealisasikan kerugian atas kertas menjadi realiti.

"Bagi pelabur yang membuat pinjaman bank maka mereka cukup terbeban dengan ansuran bulanan dan bayaran tahunan oleh pihak bank dan sebahagian mereka telah diambil tindakan undang-undang juga muflis," jelasnya.

Tegas Mahfuz, JCorp perlu bertanggungjawab atas kegagalan ASJ dan mengambil langkah berani membeli balik kesemua saham ASJ pada harga asal RM1 seunit secara tunai.

Ini katanya, dapat membantu pelabur-pelabur ASJ khususnya yang membuat pinjaman bank kerana kesemua mereka adalah orang Melayu.

1 Pandangan

  1. The Magnificient Rebel // May 31, 2010 at 3:40 PM  

    saya rasa ini adalah tindakan terdesak JCorp kerana nilai unit terjejas teruk disebabkan kemelesetan ekonomi 1997..ekonomi meleset disebabkan tindakan kurang bijak Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir ekonomi dengan menaikkan kadar faedah melampau sehingga banyak ratusan ribu perniagaan usahawan bankrap! Tindakan itu lebih tak bertanggungjawab!