Berita Baik Untuk Pak Lah - Sistem Kuota Kekal!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/11/2008 08:07:00 AM | 0 Pandangan »

Saya pun tidak tahu siapa yang gembira dengan berita ini tetapi yang tetap paling gembira adalah Pak Lah sendiri, orang yang mengumumkan bahawa sistem kuota kekal.

Pak Lah mungkin tidak mahu menunjukkan kegembiraan di wajahnya itu tetapi saya yakin bahawa Pak Lah tentu gembira dengan keputusan yang dia umumkan tersebut.

Pak Lah tentu tahu bahawa sekiranya sistem kuota dihapuskan bermakna, harapan beliau untuk kekal menjadi Presiden UMNO selepas daripada pemilihan parti pada bulan Disember ini akan hancur berkecai.

Apalah salahnya sekiranya beliau berniat untuk memastikan bahawa UMNO akan terus relaven dalam arus politik semasa, kuota tersebut dihapuskan atau setidak-tidaknya kuota tersebut dikurangkan agar pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO akan menjadi lebih terbuka.

Nampaknya, harapan Ku Li atau sesiapa sahaja pun yang menawarkan diri untuk menjadi Presiden UMNO semakin pudar, sistem kuota ini menjadi senjata utama Pak Lah untuk kekal sebagai Presiden UMNO selepas ini. Bukan persoalan ahli suka atau tidak kepada Pak Lah tetepi yang penting Pak Lah mesti kekal sebagai Presiden UMNO.

Selepas ini, kempen tidak rasmi akan bermula dalam jelajah penerangan ke seluruh negara. Ingat! kempen untuk bertanding dalam pemilihan UMNO perlu di buat dalam program rasmi sahaja. Naik ke atas pentas dan kena sebut "Pilihlah saya sebagai Presiden @ Timbalan Presiden @ Naib Presiden ataupun apa jua jawatan yang diidamkan.

Pak Lah, Najib bolehlah gunakan platform rasmi untuk berkempen secara 'sah' tetapi bagaimana pula individu yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan, bagaimana mereka nak menggunakan majlis rasmi untuk berkempen?

Tak apalah, memang UMNO macam itu, seringkali PAS dan parti-parti pembangkang dituduh pemecah-belah dalam masyarakat tetapi dalam pemilihan parti mereka sendiri pun mereka bertindak untuk memecahbelahkan UMNO.

Selamat berkempen wahai pimpinan UMNO!
-----------------------------------------------------------------

Sistem kuota kekal - Tiada perubahan seperti dipersetujui MT pada 27 Mac – Abdullah
Oleh ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI


PUTRAJAYA 10 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kuota kelayakan bertanding pelbagai jawatan termasuk Presiden pada pemilihan UMNO tahun ini dikekalkan.

Menurut Presiden UMNO itu, setakat ini, status quo berkenaan tiada perubahan seperti yang dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) pada mesyuaratnya 27 Mac lalu.

“Sistem kuota itu diputuskan dikekalkan dalam mesyuarat MT dulu (27 Mac) ketika kita menetapkan tarikh-tarikh pemilihan peringkat Pusat, bahagian dan cawangan.

“Pada waktu ini, tidak ada keputusan, (kalau adapun) yang nak pinda ia akan ditetapkan pada perhimpunan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-47 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Abdullah ditanya mengenai pendirian UMNO terhadap gesaan sesetengah ahli supaya dihapuskan sistem kuota yang menetapkan seseorang calon perlu mendapatkan peratus pencalonan tertentu daripada bahagian untuk bertanding.

Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO Oktober 1988, 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian) diperlukan untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden (20 peratus/38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian) dan ahli MT (lima peratus/10 bahagian).

Bagi jawatan Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri pula memerlukan pencalonan 10 peratus atau 38 bahagian, manakala Naib Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri (15 peratus/28 bahagian).

Dalam pada itu, ketika ditanya keputusan UMNO untuk membenarkan semula calon parti yang bertanding di peringkat cawangan, bahagian dan Pusat berkempen, Abdullah berkata, ia bertujuan untuk memastikan mereka dikenali ahli-ahli parti dan perwakilan.

Beliau turut mengimbas pengalaman lalu ketika UMNO membenarkan calon bertanding untuk berkempen, yang ketika itu diuruskan oleh badan perhubungan negeri masing-masing.

“Dulu semua calon MT yang bertanding dijemput datang ke negeri tertentu untuk diperkenalkan kepada perwakilan.

“Daripada buat senyap-senyap, eloklah secara terbuka dan tersusun,” jelasnya. Justeru, kata beliau, mereka yang dibenarkan berkempen nanti dinasihatkan supaya tidak melemparkan kata-kata kurang elok kepada lawan masing-masing.
“Jangan cakap usahlah pilih dia tetapi katalah apa yang dia hajati dan akan dilakukan jika terpilih. Janganlah nanti timbulkan sakit hati orang lain,” katanya.

0 Pandangan