Pertembungan Bermula

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/29/2008 08:13:00 AM | 2 Pandangan »

Datuk Ahmad Said diterima sebagai MB Trengganu yang baru…akhirnya. Setelah berhadapan dengan tekanan, halangan dan rintangan yang cukup mencabar kewibawaan pelbagai pihak maka MT UMNO telah menerima beliau sebagai MB yang baru.

Walaupun pada peringkat awalnya Ahmad Said dikecam oleh pelbagai pihak termasuklah daripada Pak Lah, Idris Jusoh, Rosul Wahid dan disokong oleh 22 ADUN BN Trengganu yang masih mahukan Idris sebagai MB namun MT UMNO telah menetapkan bahawa kemelut ini mesti diselesaikan untuk kepentingan pembangunan rakyat.

Sudah pasti dengan perlantikan ini, ada pihak yang gembira dan ada pihak yang akan berduka nestapa. Paling pasti, Idris Jusoh adalah merupakan insan yang paling malang dalam episod perlantikan MB Trengganu ini kerana pada peringkat awalnya beliau telah dilantik sebagai MB yang baru oleh Pak Lah dan terus dipertahankan oleh PakLah walaupun MPPR telah melantik Ahmad Said sebagai MB.

Apakah cabaran yang akan dihadapi oleh Ahmad Said selepas ini? Pastinya ia akan hadir daripada lapan ADUN PAS yang akan berada dalam sidang DUN Trengganu yang masih lagi belum lupa kata-kata kesat yang pernah dikeluarkan oleh beliau sebelum ini. Begitu juga dengan ADUN BN yang sebelum ini telah mencuba untuk menghalang beliau naik ke takhta MB, sudah tentu tindakan lampau mereka tidak akan dilupakan oleh Ahmad Said.

Laporan BPR yang telah dibuat sebelum ini ke atas seorang bekas Exco kerajaan Trengganu yang dituduh telah melakukan penyelewengan terhadap projek pembangunan kerajaan, apakah MB Trengganu ini akan terlepas daripada laporan tersebut? Adakah benar
tiada perasaan dendam Ahmad terhadap mereka yang telah cuba menjatuhkan MB pilihan Sultan?

Apapun, sama ada Idris Jusoh ataupun Ahmad Said yang menjadi MB Trengganu, dasar perjuangan yang mereka dokongi adalah sama sahaja. Kita akan lihat bagaimana nanti Ahmad Said mentadbir kerajaan negeri, adakah sikap dan perangainya sama sahaja seperti mana yang pernah dia tunjukkan semasa menjadi Exco kerajaan sebelum ini.

PAS negeri Trengganu perlu mengambil peluang daripada kemelut dalaman UMNO ini. Pastinya rakyat akan tertunggu-tunggu kemampuan PAS untuk berhadap dengan suasana baru di Trengganu di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Hentian Puduraya
29 Mac 2008, 8.18 pagi

2 Pandangan

  1. Hasbullah Pit // March 29, 2008 at 9:06 AM  

    Persoalan sekarang, wang royalti minyak kini di bayar mana?

    dimana sebelum ini kedengaran wang royalti itu terus ke akaun idris jusoh & beberapa org lain.

  2. gambar cantik // March 29, 2008 at 11:05 PM  

    wang royalti dan wang ehsan.. dua dua wang rakyat.wang kita semua