MUNGKINKAH UMNO/BN AKAN BERKUBUR SELEPAS INI?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/17/2008 09:40:00 PM | 1 Pandangan »

Secara tiba-tiba suasana politik semasa berubah sejak keputusan pilihanraya Umum diketahui oleh rakyat Malaysia. Perubahan dapat dilihat dengan jelas terutamanya apabila UMNO/BN mengalami kekalahan yang cukup luar biasa. Tulisan-tulisan di dalam media cetak dan internet sudap cukup untuk menggambarkan suasana politik semasa yang tidak disenangi oleh pimpinan UMNO/BN. Saya yakin dan percaya perkara ini juga berlaku disekeliling kita dan mudah untuk dilihat dengan mata.

Seorang AJK UMNO Bahagian yang sebelum ini cukup susah untuk bersemuka dan berbicara dengan saya secara tiba-tiba mudah untuk beramah-mesra serta bertegur-sapaapabila saya menyapa. Luahan hati dan perasaannya terhadap keputusan rakyat untuk beralih arah dalam politik ketika ini cukup mengambarkan bahawa keputusan ini cukup perit untuk diterima oleh pimpinan UMNO/BN. Sambil menyatakan bahawa Pak Lah terlalu berlembut dan lemah, beliau berharap agar UMNO akan ‘bermuhasabah’ terhadap tragedi yang menimpa mereka ketika ini.

Tidak perlu memberikan contoh yang jauh namun cukuplah dengan memberikan gambaran bagaimana tidak stabilnya UMNO/BN di Parlimen Kluang khususnya di DUN Mahkota dalam pilihanraya umum ke 12. Walaupun saya adalah pimpinan PAS dan bertanding bagi kerusi DUN MAhkota di Kluang namun hubungan saya dan pimpinan UMNO di Kluang agak baik. Kita mungkin bermusuh dalam politik tetapi berkawan di dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi, sebagai anak tempatan yang mempunyai telian persaudaraan dan persahabatan maka saya tidak begitu kekok untuk bertegur sapa dengan mereka.

Untuk makluman, DUN Mahkota adalah DUN yang wujud selepas persempadanan semula sebelum berlangsungnya pilihanraya Umum kali ke 11 dan mempunyai pengundi melayu sebanyak 50.2 % setelah persempadanan semula diadakan. Secara tidak langsung, ia membuka ruang kepada UMNO untuk meletakkan calon dalam DUN tersebut untuk pertama kalinya di Parlimen Kluang. Sebelum ini, Parlimen Kluang dan kedua-dua DUN di dalam parlimen ini iaitu DUN Mengkibol dan DUN Paloh telah diwakili oleh wakil daripada MCA.

Nama Mahkota diambil bersempena dengan sebuah Kem Tentera yang terletak di dalam DUN Mahkota yang mempunyai lebih kurang 4,800 pengundi (pengundi pos). UMNO cukup gembira dengan persempadanan ini dan telah meletakkan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Ghapar Gurrohu sebagai calon BN dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun 2004.

Dengan senario politik yang menyebelahi BN pada tahun 2004, UMNO/BN telah berjaya memenangi kerusi tersebut dengan mengalahkan calon PAS dengan majoriti 14,938 undi. BN memperolehi sebanyak 19,045 undi manakala PAS memperolehi sebanyak 4,107 undi. Terasa kerdil pada mulanya PAS ketika itu kerana tewas dengan jumlah majoriti yang tinggi. Berbekalkan rasa kesedaran yang tinggi dengan memahami tujuan PAS menyertai pilihanraya, maka PAS Kluang bangun kembali daripada kekalahan secara perlahan-lahan untuk meneruskan perjuangan.

Namun, perubahan politik semasa telah memberikan kesan kepada politik di Kluang. Pretasi wakil rakyat UMNO/BN tidak dapat mencapai hasrat dan harapan pengundi dan rakyat di Kluang khususnya di DUN Mahkota. Faktor usia dan kesihatan membataskan pergerakan beliau untuk menaburkan khdimat kepada masyarakat. Ini lebih jelas kelihatan apabila banjir besar melanda Johor pada akhir tahun 2006 dahulu sehingga rakyat marah dengan kelewatan dan sikap acuh tak acuh beliau untuk menangani masalah tersebut sehingga pusat pemindahan banjir kerap kehabisan bekalan makanan.

Sebelum Parlimen dibubarkan, Datuk Gapar Gurrohu telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Mahkota sebaliknya menyenaraikan lima nama untuk mengisi kekosongan tersebut. Lima nama itu ialah Timbalannya, Noor Ehsanuddin Harun Alrashid; Naib Ketua, Razali Mohd. Nor; Bendahari, Ariff Kataman; Ketua Pemuda, Jais Sardy dan Ketua Wanita, Senator Sharifah Azizah Syed Zain telah disebut sebagai bakal-bakal calon.

Namun, Noor Ehsanuddin, Jais Sardy dan Sharifah Azizah dilihat sebagai calon yang paling berpeluang untuk dicalonkan. Beberapa hari sebelum penamaan calon dilangsungkan, dua nama telah disebut-sebut sebagai calon ‘favourite’ iaitu sdr Nor Ensan dan Sharifah AZizah. Segalanya telah berubah apabila Pak Lah berkunjung mengadap Sultan Johor untuk mengadakan perbincangan berkaitan dengan calon-calon BN dan nama bakal MB Johor sekiranya BN diberikan mandat sekali lagi memerintah Johor.

Pemilihan sdr Mat Jais yang dikatakan sebagai calon pilihan menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin sebenarnya telah menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan pimpinan UMNO sendiri. Ini dibuktikan dengan satu surat layang yang saya terima daripada seorang pengundi pada hari pengundi yang dihantar oleh seorang yang mengenalkan diri sebagai Wanita UMNO Kluang telah melahirkan rasa kecewa dan berharap bahawa wanita perlu memprotes pilihanraya pada kali ini. Saya telah bertanya kepada beberapa wanita UMNO yang saya kenali dan mengesahkan bahawa surat tersebut telah dihantar kepada pimpinan wanita UMNO.

Ketika hari penamaan calon berlangsung saya sendiri telah bertemu dan bertanya khabar kepada dengan Sharifah Azizah dan Norehsan bagaimana nama mereka telah dikeluarkan pada saat-saat akhir, namun jawapan yang diberikan membuktikan apa yang diramalkan.

Semasa taklimat keselamatan diadakan di Balai Polis Kluang pada hari ke 3 selepas penamaan calon diadakan, saya telah duduk bersama calon-calon BN daripada Parlimen Kluang dan Simpang Renggam ketika jamuan makan tengahari. Sdr Jias memberitahu kepada saya dan calon-calon BN yang lain bagaimana selepas keputusan BN negeri mencalonkan beliau untuk mewakili BN bagi kerusi DUN Mahkota, terdapat di antara nama bakal-bakal calon yang tidak terpilih (tanpa menyebut nama mereka) menghantar rombongan untuk bertemu dengan Sultan Johor bagi mempertimbangkan semula siapa yang sepatutnya bertanding.

Saya memberikan gambaran ini adalah untuk memperlihatkan betapa perpecahan telah berlaku di dalam pimpinan UMNO kerana ingin berebut jawatan. Apabila jawatan yang menjadi rebutan maka matlamat untuk menegakkan agama, bangsa dan tanahair bukan menjadi keutamaan lagi. Paling menyedihkan, pimpinan yang tidak terpilih diketepikan sepanjang kempen pilihanraya seolah-olah mereka tidak langsung menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Pada malam pengiraan undi, saya sempat bertemu dengan beberapa pimpinan UMNO yang jelas terbayang di mata mereka betapa pergesaran di antara mereka telah membawa rebah kepada UMNO/BN. Walaupun, UMNO/BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan dibantu oleh lebih kurang empat ribu undi POS serta Parlimen Kluang (MCA) tetapi mereka telah kehilangan kerusi DUN Mengkibol yang dimenangi oleh calon DAP, Encik Ng Lam Hua, seorang peguam. UMNO/BN juga telah kehilangan kerusi DUN Sungai Abong, Maharani, Skudai, Bentayan, Senai dan Parlimen Bakri. Sudah tentu ia menjadi tamparan yang cukup hebat kepada UMNO/BN kerana sebelum pilihanraya berlangsung, pimpinan UMNO/BN yakin bahawa Johor akan berjaya melaksanakan ‘pembangkang sifar’ dalam sidang DUN Johor namun segalanya telahpun terjawab.

Dalam suasana kekalutan dalam UMNO dengan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap pakatan PAS, DAP dan PKR yang dilabelkan cuba menghapuskan hak Melayu dan Ketuanan Melayu, UMNO juga perlu mengkoreksi diri kerana UMNO lebih parah dalam menangani persoalan ini. Perebutan kuasa, pangkat dan darjat telah menyebabkan UMNO berhadapan dengan perpecahan yang sangat parah. Sebab itulah, UMNO/BN tidak perlulah menayalahkan orang lain sekiranya gagal menarik sokongan daripada rakyat sama ada daripada orang Melayu, Cina ataupun India kerana sememangnya yang paling penting pada pimpinan UMNO/BN adalah kuasa bukannya rakyat yang sepatutnya diberikan pembelaan yang sewajarnya.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
http://minda- kembara.blogspot .com/
17 Mac 2008, 9.47 malam
Pejabat DPP Pusat, Jalan Raja Laut, KL.

1 Pandangan

  1. puting_beliung // March 19, 2008 at 7:47 PM  

    Sdr KPPJ, ingin sekali ana memberikan pendapat bahawasanya BA/BR syok sendiri dengan menyatakan rakyat mula menolak Barisan Nasional!

    Ana merupakan ahli PAS dan telah terlibat menghadapi PRU sebanyak 3 kali.

    Ketahuikah enta, sesungguhnya rakyat (especially Johor) hanya muak dengan sikap dan cara pentadbiran YAB DS Abdullah Badwi sahaja?

    Kupasan demi kupasan menarik boleh dilihat dimana2 terutamanya di alam maya (akhbar online, bloggers etc) membabitkan kemenangan besar-besaran BA dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parliament Malaysia.

    Sebagai seorang ketua peringkat negeri dan juga sebagai exco pemuda peringkat pusat, tidak menyalahi adat untuk ana menegur dan memberi pendapat dalam konteks teguran membina kerana dalam politik BA, ahli sama sekali DILARANG untuk menjadi YES MAN sebagaimana amalan UMNO sekarang.

    Sebagaimana telah diketahui umum, pihak kita telah menang besar (walau sekadar menafikan 2/3 majoriti BN) tetapi apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi BA untuk menjamin kemenangan pada masa hadapan?

    DUN Senggarang sebagai contoh, semasa Dr. Ramli Md. Kari menjadi Adun Senggarang atas tiket PAS, banyak permasalahan yang timbul antaranya membabitkan Pemuda, Kawasan serta MTD sekali! Permasalahan ini timbul di atas sikap mementingkan diri sendiri, rasa ketidak-puas-hatian sesama sendiri dan lain-lain lagi. Dan ada juga secara dangkal menepis sebarang usahasama PAS-PKR-DAP. Itu belum lagi masalah yang timbul di tempat-tempat lain seperti Prt Sulong, Yong Peng, etc.

    Wahai Sdr Faizi, kita belum lagi memegang tampuk kekuasaan di negeri yang kita cintai ini, telah banyak berlaku ancaman 'dari dalam' dan adakah enta, selaku KPPN Johor, sedia menggalas tanggungjawab ini sekiranya Johor tumbang kepada BA pada PRU-12 yang lepas?

    Maaf, jika ayat-ayat ana di atas agak kritis pendirian, tetapi itulah yang perlu kita lakukan sekiranya tidak mahu mengulangi kesilapan Tentera Islam semasa Perang Uhud dahulu kala...

    Antara cadangan yang ingin diutarakan bagi menajamkan lagi gerak kerja pemuda serta PAS khasnya;
    a - menubuhkan pusat khidmat masyarakat di setiap DUN tidak mengira parti mana yang bertanding sekalipun.
    b - memperkasa MTD
    c - rombakan pemuda kawasan yang dikenalpasti mempunyai masalah dalaman khususnya di negeri enta sendiri.
    d - lain2 yang difikirkan perlu.



    JAZAKALLAH....