Alhamdulillah, inilah yang dikatakan Kuasa Rakyat. Kuasa rakyat telah 'mengajar' BN apakah yang sepatutnya dilakukan oleh pemerintah dan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Walaupun Pak Lah tidak umumkan bila dan berapa harga minyak akan dinaikkan nanti namun ia sudah cukup memberikan jawapan kepada kita bahawa sememangnya perancangan untuk menaikkan harga minyak selepas daripada pilihanraya umum ke 12 telahpun dirancang namun terpaksa ditangguhkan 'buat masa ini' bagi menjaga kepentingan rakyat.
Keberanian rakyat untuk berubah dan mengajar BN yang cukup angkuh dengan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat sebelum ini sudah mula kita rasai dan nikmati.
Sebelum pembubaran Parlimen, Menteri Kewangan Kedua pernah berkata bahawa kerajaan sudah tidak tertanggung lagi kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Seolah-olah kerajaan sudah tidak mampu lagi untuk menanggung kos dan subsidi minyak. Namun segalanya telah berubah 'buat masa ini' dengan tiga langkah khusus bagi meringankan beban rakyat.
Peliknya, sebelum pilihanraya umum yang lalu Pak Lah dan pimpinan UMNO/BN yang lain tidak nampak agaknya tiga langkah ini sehingga mereka mengerahkan setiap UMNO Bahagian dan pemimpin BN turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa harga minyak terpaksa dinaikkan.
Namun, seperti mana yang telah disebut oleh Ketua Parti PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Guru Abd Hadi Awang bahawa sekiranya BA memerintah harga minyak akan diturunkan, penangguhan kenaikan harga minyak 'buat masa ini' yang pasti akan naik satu hari nanti belum memadai untuk dikecapi oleh rakyat.
Rakyat mesti terus mendesak kerajaan untuk turunkan harga minyak ataupun mereka pemimpin yang kurang bijak ini diturunkan.
---------------------------------------------------------
Langkah ringankan beban rakyat -- * Harga minyak, gas kekal * Tarif elektrik tidak naik * Pembaziran subsidi ditangani - Berita Harian Online
Oleh JOHARDY IBRAHIM
Oleh JOHARDY IBRAHIM
KUALA LUMPUR 25 Mac – Kerajaan hari ini mengumumkan akan memperkenalkan tiga langkah khusus bagi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Selain tiga langkah itu, kerajaan turut menyatakan ia tidak akan menaikkan harga minyak dan gas pada masa ini.
Berikutan keputusan tersebut, kadar tarif elektrik sedia ada akan dikekalkan.
Dalam ucap utamanya pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan perancangan bagi melegakan keresahan rakyat berhubung kenaikan kos sara hidup yang menjadi isu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Tiga langkah itu ialah:
* Mengurangkan impak kenaikan harga minyak dunia bagi golongan berpendapatan rendah dengan mengurangkan pembaziran dan kerugian kesan daripada subsidi.
* Mengkaji semula pelaksanaan rancangan-rancangan ekonomi bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai golongan yang benar-benar memerlukan.
* Kerajaan akan terus bekerja ke arah mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan-kumpulan etnik, dan pada masa yang sama memastikan keadilan untuk semua rakyat.
* Mengkaji semula pelaksanaan rancangan-rancangan ekonomi bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai golongan yang benar-benar memerlukan.
* Kerajaan akan terus bekerja ke arah mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan-kumpulan etnik, dan pada masa yang sama memastikan keadilan untuk semua rakyat.
Menurut Abdullah, dalam penggal keduanya sebagai Perdana Menteri, beliau bercadang melaksanakan agenda lebih tegas bagi menangani kebimbangan rakyat sebagaimana yang mereka suarakan menerusi peti undi pada pilihan raya umum lalu.
“Keputusan pilihan raya lalu adalah mesej yang kuat daripada rakyat bahawa saya tidak bergerak cukup pantas dalam melaksanakan pembaharuan-pembaharuan yang dijanjikan. Mesej telah dibuat dan saya terima,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kenaikan harga minyak merupakan isu terbesar yang menjadi kebimbangan rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
“Apa jua harga sekarang, kita harus hadapinya, tetapi bila kita mengumumkannya nanti, harapan saya keadaan (kebimbangan) itu akan berubah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan tersebut.
Menurutnya, harga minyak semasa akan dikekalkan bagi melindungi kepentingan rakyat.
Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut hadir pada persidangan tersebut ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga gas pada masa ini.
Gas banyak dimanfaatkan dalam sektor tenaga dan pengangkutan. Kenaikan harga gas juga memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna kerana gas banyak digunakan untuk memasak di rumah-rumah.
Katanya: “Tiada keputusan untuk menaikkan harga gas. Jika ada (pun) kenaikan, kami tidak akan membebankan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).”
Nor Mohamed menjelaskan, kerajaan juga tidak bercadang menaikkan harga gas yang dijual oleh Petronas kepada TNB pada masa sekarang.
‘‘Saya tidak tahu (bila kerajaan akan menaikkan harga gas)... tiada keputusan diambil untuk menaikkan harganya pada masa sekarang,” jelas beliau.
Petronas menjual gas pada kadar harga subsidi RM6.40 bagi setiap mm BTU (Unit Termal British) kepada industri tempatan sejak 1997 walaupun harga semasa gas ialah kira-kira RM40 bagi setiap mm BTU.
Pada tahun lepas sahaja, subsidi gas yang ditanggung oleh Petronas bernilai RM15 bilion. Sejak 1997, syarikat petroleum nasional itu telah menanggung subsidi gas berjumlah RM50 bilion.
Ketika mengulas lebih lanjut mengenai usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat, Perdana Menteri berkata, perincian mengenai langkah-langkah khusus untuk membantu golongan miskin akan diumumkan tidak lama lagi.
“Saya akan umumkan jumlah yang kita akan belanjakan. Bagaimanapun, apa yang penting ialah dasar telah dibuat,” katanya.
Abdullah berkata, kerajaan sedar di sebalik perangkaan ekonomi yang baik sejak dua tahun lepas, rakyat merungut usaha membantu golongan miskin masih belum mencukupi.
Katanya, perangkaan tersebut tidak memberi manfaat kepada mereka.
“Saya tahu mereka prihatin dan bimbang dengan kenaikan harga minyak serta barangan lain. Ini yang menjadi kebimbangan mereka sebenarnya.
“Kecuali masalah itu ditangani, apa juga rujukan mengenai ekonomi kita dalam keadaan baik sudah semestinya tidak diterima oleh mereka. Ini yang harus ditangani,” katanya.
Abdullah seterusnya memberitahu, terdapat banyak cara untuk membantu golongan miskin tetapi buat masa ini kerajaan memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban mereka ketika berbelanja membeli barang keperluan.
Perdana Menteri berkata, beliau juga akan meneruskan pelaksanaan rancangan-rancangan pembangunan koridor.
Namun, katanya, hasil kajian separuh penggal, beberapa program akan dikemas kini bagi memastikan manfaatnya benar-benar dinikmati semua lapisan rakyat.
“Saya masih dan sememangnya selama ini menjadi Perdana Menteri bagi semua rakyat Malaysia.
“Manifesto kita (Barisan Nasional) telah menggariskan dengan jelas komitmen kami untuk mengurangkan jurang antara wilayah.
“Oleh itu, kami mahu menjalin hubungan kerja yang produktif dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan rancangan koridor tersebut berjaya,’’ ujarnya.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN tewas di lima negeri, sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan penangguhan pelaksanaan rancangan pembangunan koridor bernilai beratus-ratus bilion ringgit.
Malah, kerajaan mengunjurkan sebanyak RM177 bilion nilai pelaburan akan dijana menjelang tahun 2025 bagi memperkasa pertumbuhan di negeri-negeri di utara.
0 Pandangan
Post a Comment