Bersiap Untuk Menghadapi Cabaran!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/17/2008 07:38:00 AM | 0 Pandangan »

Sudah beberapa jam saya mengadap komputer riba (laptop) ini untuk memulakan kembali coretan dalam dunia politik tanahair setelah hampir sebulan bergelumang dengan suasana pilihanraya umum kali ke 12 baru-baru ini. Seperti hilang punca dan maklumat sehinggakan mukaddimah pun masih terkial-kial untuk dicatatkan. Mungkin terlalu banyak perkara dan peristiwa yang terbuku di fikiran dan perasaan untuk diluahkan sehingga tidak tahu yang mana harus didahulukan.

Tidak apalah, setidak-tidaknya saya telah memulakan langkahnya. Walaupun langkah mulanya mungkin sumbang tetapi tidak semestinya ia pincang.

Buat kali kedua saya diamanahkan oleh PAS untuk bertanding untuk kali ke 2 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang. Sebenarnya, saya tidaklah bersedia sangat untuk menjadi calon dalam pilihanraya kali ini atas ‘sebab-sebab tertentu’ dan saya telahpun menghantar surat penarikan diri kepada pucuk pimpinan PAS Kawasan Kluang pada pertengahan bulan Disember 2007. Namun, dalam mesyuarat khas yang diadakan pada pertengahan bulan Januari 2008 telah memutuskan agar saya mempertimbangkan semula keputusan dan hasrat saya untuk menarik diri.

Kelemahan saya, apabila berlaku pertembungan di antara dua perkara di antara kepetingan parti/jamaah dan kepentingan diri, saya akan dahulukan kepentingan jamaah terlebih dahulu walaupun saya tahu bahawa hasrat saya untuk tidak bertanding cukup kuat hujahnya namun ketika ini, parti lebih memerlukan untuk saya bertanding.

Apabila persetujuan telah dicapai maka penumpuan terhadap gerakerja sebagai calon perlu dimulakan kembali dengan segera sehingga membataskan saya untuk meneruskan kehidupan harian bersama laptop kesayangan ini.

Apabila Parlimen telah dibubarkan pada maka segala aktiviti peribadi dan aktiviti di luar daripada DUN Mahkota telah dibekukan sementara waktu untuk memberikan tumpuan terhadap persiapan akhir sebelum proses penamaan calon diadakan.

Blog saya (
http://minda-kembara.blogspot.com/) secara tidak langsung terpaksa dihentikan proses kemaskini akibat daripada kekangan ini. Email (far_easy_2005@yahoo.com.my) juga tidak berkesempatan untuk dibuka dan dibaca walaupun saya tahu banyak maklumat yang telah dihantar oleh pelbagai pihak untuk dijadikan bahan kempen sempena pilihanraya umum ini.

Walaupun rumah saya tidak jauh daripada markas PAS Kluang namun saya sebahagian besar daripada waktu tidur saya adalah di markas tersebut. Sekali-sekali balik juga ke rumah memandangkan anak yang paling kecil masih baru dilahirkan pada 20 Januari 2008.

Terlalu banyak peristiwa yang manis dan pahit dilalui sepanjang pilihanraya ini namun kesemuanya itu menjadi kenangan, pengajaran dan pengalaman yang cukup berharga kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Dalam risalah biodata calon yang diedarkan kepada pengundi, nombor telefon, email dan alamat blog calon telah disertakan sekali. Kesannya, ratusan SMS dan panggilan telefon telah saya terima termasuklah untuk memberikan kata-kata semangat, sokongan dan pertanyaan. Di antaranya;

From : +6019768####
Skrg ni sy sedang dlm kesempitan kewangan,rumah dah 2 bln tak baya,kereta pula dah masuk 4 bln kalau sy undi pas.Apakah sy dapat selesaikan masalah sy ni.

From : +6013718####
Bila ada crmah pas bgtau,kwn sbnrnya tmbln pmuda cwn ***** tp kwn kecewa sbb x d hrgai keja yg kwn wat,tp bukn mta d snjung cukup skdr brtrma kasih tp sbliknya d kutuk d fitnah n mcm2 lg smpi sy dh mls nk wt keja.Sy pgang jwatn 2 dua pngal,pngal prtama wt keja tp pngal kdua kwn tido.Mlas nk join dia org.Dn juga jnji tgal jnji je.Tp masih rmai lg yg x sdar d main2kn.Jgn sngka sy ne mata2 dia org lak.X caya 1 ari nti sy nk jmpa awk,tntu leh kn.Skali2 tukr krajaan,join dia org ne mana yg kaya mkin kaya yg mskin wt x tau je.Ckp d parliman x srupa bikin.....

From : +6016768####
saya sokong awak ! tapi susah hendak mengajar orang yang tidak sama pendapat dengan kita.
(kg paya penduduk)

From : +6016757####
Skong rakyat kpd anda b'tambah baik. Teruskan usaha anda b'sama rakyat. Tahniah atas kerja keras anda dan semangat anda.

Sokongan yang PAS terima di Kluang ini memang luar biasa dan saya yakin bahawa fenomena ini berlaku diseluruh negara. Bukan sahaja pengundi Melayu/Islam yang menyokong tetapi kaum Cina dan India secara jelas memberikan sokongan kepada PAS.

PAS menang beberapa saluran di kawasan Bandar dan penempatan bukan melayu tetapi terdapat juga saluran yang teruk di kawasan perkampungan Melayu sehingga ada pengundi Cina yang beragama Kristian melahirkan rasa hairan terhadap perkembangan ini. Beliau melahirkan rasa terkejut kerana pengundi bukan Islam pun sanggup mengundi PAS tetapi orang Melayu/Islam cukup susah untuk menyatakan sokongan dan undian kepada PAS.

Satu peristiwa yang menarik yang berlaku di UPU Sekolah Rendah Tamil Jalan Haji Manan apabila berlaku kekecohan dalam bilik mengundi apabila Pooling Agent PAS telah membantah dan mengarahkan supaya seorang pengundi berbangsa India keluar daripada bilik mengundi dan diminta meninggalkan kawasan sekolah tersebut kerana memakai baju berlambangkan logo BN yang cukup besar. Lelaki India yang kelihatan tidak stabil itu (mungkin mabuk lalat) telah dibawa oleh pegawai SPR keluar.

Tidak lama kemudian, pengundi ini telah kembali semula ke tempat pengundian dengan baju yang lain tanpa lambang BN. Pooling Agent PAS yang bertugas tersebut memberitahu bahawa seakan-akan tidak percaya apabila dapat melihat kertas undi yang hendak dimasukkan oleh pengundi ke dalam peti undi oleh pengundi yang pada mulanya memakai baju berlambangkan BN itu telah memberikan undian kepada PAS bagi kerusi DUN Mahkota! Rupanya, baju sahaja BN tetapi hati PAS rupanya.


Tahun 2004, PAS telah mendapat 4,107 undi dan pada kali ini undi yang telah diberikan oleh rakyat kepada PAS di DUN Mahkota telah meningkat kepada 9,009 undi. Satu peningkatan yang cukup tinggi. Walaupun belum menang dalam pilihanraya tetapi jumlah undi ini telah melepas sasaran awal PAS kawasan Kluang. Persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 sudah semestinya lebih mencabar kerana PAS telah meletakkan sasaran yang lebih tinggi.

Rasanya, cukuplah setakat itu buat masa ini. Pastinya, pengalaman berhadapan dengan pilihanraya pada kali ini cukup membanggakan. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan untuk kita semua.

Membangun Bersama Islam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
16 Mac 2008, 2.12 pagi

0 Pandangan