Pagi ini, Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Trengganu akan melangkahkan kaki menuju ke Wisma Darul Iman sebagai seorang pemimpin negeri yang baru. Pastinya, kedatangannya akan ditunggu oleh pelbagai pihak termasuklah para wartawan dan pegawai kerajaan yang sudah berminggu-minggu berhadapan dengan konflik perlantikan MB Trengganu yang baru.
Pastinya, Ahmad Said mengharapkan agar hari pertama yang penuh sejarah dalam hidupnya walaupun perlantikannya sebagai MB ini ditentang oleh pimpinan UMNO Negeri Trengganu akan dilalui dengan penuh keindahan namun realitinya orang seperti Idris Jusoh, Rosul Wahid dan ramai lagi sedang mengetap bibir, mengerut kening dan menggenggam tangan kerana tidak berpuas hati dengan apa yang sedang terjadi sekarang ini.
Idris Jusoh walaupun pernah menyebut bahawa dia akan terima apa sahaja keputusan dan menerima ketentuan qada' dan qadar terus kempunan dan sedang menagih simpati untuk terus menduduki takhta kerajaan Trengganu.
Persoalan sama ada perlantikan ini sah atau pun tidak telah dibincangkan secara panjang lebar dalam media massa termasuklah media kedai kopi dan warung tepi jalan namun yang pastinya pada pagi ini Ahmad Said akan melangkah gagah sebagai MB Trengganu yang baru, menggantikan bossnya yang juga merupakan Pengerusi BN Trengganu.
Apa yang akan terjadi selepas ini? Sama-sama kita nantikan babak-babak yang menarik yang pastinya akan terus meruntuhkan keangkuhan dan keegoan pemimpin UMNO/BN di negeri Trengganu Darul Iman.
Selamat bertugas wahai Datuk Ahmad Said.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
25 Mac 2008, 7.52 pagi
Taman Sri Kluang
--------------------------------------------------------
Ahmad mulakan tugas MB - Malaysiakini
Fathi Aris Omar Mar 24, 08 6:14pm
Fathi Aris Omar Mar 24, 08 6:14pm
kemaskini 10:30pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, akan memulakan khidmatnya esok sebagai menteri besar baru Terengganu, katanya dalam ucapan di kediamannya di Telok Kalong, Kemaman hari ini.
Beliau sebelum itu menerima sambutan meriah lebih 2,000 penyokongnya yang berkenderaan sejauh kira-kira 10 kilometer bermula dari sempadan Kuantan-Kemaman sehingga ke rumahnya lebih kurang 5.30 petang tadi.
Dalam ucapan kira-kira 20 minit, Ahmad mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan rakyat kerana sedia bersamanya.
"Tidak ada orang yang boleh mempertikaikan saya sebagai menteri besar. "Saya tidak pernah bermimpi hendak menjadi pemimpin Terengganu. Ini semua kehendak Allah," katanya, yang juga ketua bahagian Kemaman, di depan penyokongnya.
"Saya akan bekerja (sebagai menteri besar) sebaik mungkin."Menurut sumber-sumber yang hadir di majlis itu, Ahmad juga berkata beliau akan ke pejabat menteri besar esok di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Ahmad diiringi oleh kawalan ketat polis, termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan unit udara, sumber-sumber itu memberitahu Malaysiakini.
Bercakap kepada media, beliau berkata tidak berniat menderhaka kepada Umno dan meminta pucuk pimpinan parti itu supaya tidak terburu-buru membuat keputusan.
"Pelantikan menteri besar bukan atas kehendak saya," katanya.Sebelum ini Umno memberi amaran akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ahmad dan beliau harus "menanggung akibat" jika menerima pelantikan jawatan tersebut.
Selain bacaan doa selamat, para penyokong Ahmad juga berselawat. Beberapa ratus penyokong masih lagi berada di luar kediaman Ahmad, kata sumber. Tengah hari tadi, Ahmad menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan, yang juga Sultan Terengganu, di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.
Difahamkan, Tuanku Mizan memberikan sokongan kepada pelantikan Ahmad - yang telah menerima watikah pelantikan daripada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja pagi semalam.Malaysiakini juga difahamkan, lebih 10 Adun BN yang awalnya menyokong Idris kini mengalihkan sokongan kepada Ahmad. Bagaimanapun setakat ini tiada pengesahan rasmi tentang perkara itu.
Sementara itu, ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata pelantikan Ahmad oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu adalah sah dan Adun itu sekarang seorang menteri besar.
"Sultan telah bertindak dalam bidang kuasa baginda untuk melantik seseorang yang dipercayai mempunyai dukungan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata Tengku Razaleigh, mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa pelantikan tersebut "tidak mengikut Perlembagaan."
Beliau, bekas menteri kewangan, menyifatkan keadaan tegang dan tidak menentu di negeri itu sebagai "krisis kerajaan, dan bukannya krisis Perlembagaan." "Terserahlah kepada persidangan DUN nanti untuk memberikan usul percaya kepadanya (Ahmad)," tambahnya.
Tengku Razaleigh menyifatkan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu sebagai "salah". Selain krisis di Terengganu, kata Tengku Razaleigh lagi, cara Abdullah menangani krisis di Perlis baru-baru ini menunjukkan "kelemahan beliau yang terlalu menonjol" dalam mengurus hubungan asas dan fungsi muda kerajaan.
Krisis pelantikan menteri besar Terengganu berlarutan sejak majlis angkat sumpah Datuk Seri Idris Jusoh di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 10 Mac ditangguhkan.Nama Ahmad bersama dua lagi bekas exco negeri disebut-sebut sebagai pengganti Idris.
Bagaimanapun desas-desus itu tergantung 14 hari sehingga pejabat Sultan Terengganu mengumumkan nama Ahmad pada petang Sabtu lalu - seterusnya mengundang pemulauan 23 Adun BN yang diketuai oleh setiausaha badan perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid.
Kumpulan wakil rakyat BN itu, seperti juga pandangan Abdullah sebagai pengerusi BN, menegaskan Idris sebagai pengerusi BN negeri dan juga ketua badan perhubungan Umno negeri satu-satunya calon yang layak untuk jawatan tersebut.
0 Pandangan
Post a Comment