PAS Johor Terus Mengorak Langkah!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 2/22/2008 01:17:00 AM | 0 Pandangan »

PAS pertaruh 13 calon wanita, 1 bukan Islam - Malaysiakini
Muda Mohd Noor Feb 21, 08 5:51pm


PAS meletakkan 13 calon wanita - empat kerusi parlimen dan sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum nanti, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Seorang daripada mereka, Kumutha Rahman, calon bukan Islam dari Kelab Penyokong PAS bertanding di DUN Tiram, Johor atas tiket PKR. Calon istimewa PAS ini, seorang graduan undang-undang berusia 29 tahun, diumumkan di Batu Pahat hari ini.

Lima daripada kumpulan calon wanita itu merupakan doktor perubatan, kata Abdul Hadi.Tambahnya, 13 orang itu sebahagian kecil daripada 65 kerusi parlimen dan 230 kerusi DUN yang ditandingi PAS.
Sebanyak 222 kerusi parlimen dan 576 kerusi DUN untuk direbut dalam pilihanraya 8 Mac ini.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Terengganu itu tidak menyebut jumlah calon dari Dewan Pemuda PAS.

"Separuh daripada calon PAS merupakan muka baru dengan mempunyai pelbagai latar belakang mengikut keperluan pengundi setempat.

"Mereka adalah gandingan muka baru dan lama; di mana muka lama akan membimbing orang baru," katanya selepas melancarkan manifesto parti itu di pejabat agung PAS di ibu negara hari ini.

Selain manifesto bertema 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Negara Berkebajikan', Abdul Hadi turut melancarkan laman web parti itu khusus untuk pilihanraya kali ini di alamat pru12.pas.org.my.

Manifesto lengkap dan senarai calon-calon PAS di semua peringkat boleh diperolehi di laman web tersebut. Bagaimanapun senarai itu hanya dimuat pada hari penamaan calon Ahad ini.

Abdul Hadi berkata, selain mahu menafikan majoriti dua pertiga BN, parti itu juga mahu mengambil alih peranan Umno, bagi mengubah lanskap politik negara khususnya di kalangan orang Melayu.Abdul Hadi berkata, PAS mahu menang dalam pilihanraya umum dengan kekuatan sendiri dan bukannya kerana kelemahan Umno.

Katanya, di beberapa negeri seperti Kedah, Perak dan Pulau Pinang, undi bukan Melayu akan menjadi penentu kepada kemenangan calon PAS."Dengan itu kita berharap berlaku perubahan dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan mereka bersedia mengundi PAS," katanya.

Melalui manifesto itu, tawaran PAS dalam pilihanraya umum kali ini antaranya:
- Menghapuskan tol, dengan kerajaan membeli dan memiliki kembali lebuhraya daripada pemilik konsesi.

- Menubuhkan segera Suruhanjaya Bebas Salah Laku Polis dan Komplen (IPCMC) dan menolak rang undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) yang kini masih di peringkat perbahasan.

- Mencadangkan pelepasan cukai untuk individu dinaikkan kepada RM12,000 setahun (kini RM8,0000).

- Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan tujuh hari tanpa had bilangan anak.- Cuti ehsan 14 hari untuk mereka yang kematian pasangan.

- Membantu nelayan pantai agar setiap pendapatan melebihi RM1,200 sebulan.
-------------------------------------------------------------
Calon bukan Islam PAS di Johor guna lambang PKR
21-02-2008 07:57:26 PM

BATU PAHAT: PAS Johor mengumumkan senarai calonnya untuk bertanding di sembilan kerusi parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ini dengan turut menampilkan seorang calon wanita bukan muslim.

Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata sembilan kerusi parlimen itu adalah Pagoh, Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Tebrau dan Pulai.
Bagi DUN, kerusi itu ialah Buloh Kasap, Pemanis, Tenang, Bukit Serampang, Jorak, Gambir, Serom, Sungai Abong, Maharani, Sungai Balang, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Seggarang, Rengit, Machap, Mahkota, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tiram, Permas, Pengkalan Rinting, Kempas, Nusa Jaya, Bukit Permai, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS Johor, di sini, Khamis.

Beliau berkata Onn Jaafar pada pilihan raya umum lepas yang menentang Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di parlimen Sembrong beralih ke kerusi parlimen Kota Tinggi manakala Shahar Abdullah bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Mersing dan DUN Tenggaroh.
Mahfodz juga berkata seorang calon wanita berketurunqn India bukan Muslim, Kumutha Raman, 29, akan bertanding di DUN Tiram dengan menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala penyandang kerusi DUN Senggarang, Dr Mohd Ramli Md Kari kekal mempertahankan kerusi berkenaan.

"Tindakan meletakkan calon wanita ini adalah kerana wanita di kalangan Dewan Muslimat PAS belum bersedia untuk bertanding lagi," katanya yang akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Serampang.
Mahfodz berkata PAS Johor yang membariskan ulamak dan golongan profesional akan memberi fokus pada tujuh kerusi DUN pada pilihan raya kali ini dengan yakin mampu memenangi lima daripada kerusi itu.
Antara kerusi tersebut yang terletak pada kawasan parlimen parlimen ialah Muar, Batu Pahat, Kluang dan Mersing.

"Pembangkang tidak sekali-kali membenarkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kerusi percuma pada pilihan raya kali ini dengan meletakkan semua calon di kalangan PAS, PKR dan DAP di semua kawasan," katanya.

Sementara itu, Raman yang berkelulusan undang-undang ketika ditemui berkata beliau berasa bangga kerana diberi peluang bertanding dan berpendapat keputusannya itu tidak bercanggah dengan matlamat perjuangan PAS.

"Sebagai rakyat Malaysia saya rasa rakyat perlu berfikir rasional dan saya akan berusaha memenangi kerusi DUN Tiram," katanya. BERNAMA

0 Pandangan