Bersedia Untuk Ubah Kerajaan!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 2/13/2008 03:35:00 PM | 0 Pandangan »

Ketika sedang melayani tetamu-tetamu dirumah pagi tadi, akhirnya Pak Lah mengumumkan pembubaran Parlimen. Walaupun hati ini berdebar-debar dan terasa kecut perut tetapi inilah saat yang paling dinanti-nantikan.
Panggilan telefon dan SMS bertubi-tubi hadir di telefon untuk memaklumkan pembubaran ini. Pemberita Bernama juga menghubungi saya untuk mendapatkan respon PAS apabila Pak Lah membubarkan Parlimen.

Saya terus bergegas ke pejabat DPPNJ untuk menyelaraskan beberapa perkara. Staf-staf yang berada di pejabat ini sedang menjalankan tindakan segera yang perlu dibereskan kerana selepas ini kerja-kerja akan terarah kepada kerja pilihanraya.
Insya Allah, Pilihanraya Umum pada kali ini akan menampilkan empat anggota Exco DPPNJ yang akan bertanding di beberapa kerusi DUN di Johor.
Esok pagi mesyuarat Khas Lajnah Politik DPPNJ akan diadakan untuk membuat beberapa keputusan penting bagi menghadapi saat yang mendebarkan ini.
Selamat berjuang kepada semua!
Allah Akhbar!, Allah Akhbar!, Allah Akhbar!
------------------------------------------------------


Parlimen bubar berkuatkuasa hari ini - Harakahdaily
Wan Nordin Wan Yaacob Wed Feb 13, 08 12:19:04 pm MYT


KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen di bawah peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Pembubaran itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan dalam tempoh 60 hari.


Pembubaran ini dibuat selepas beliau menghadap dan mendapat restu dari Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktaffi Billah Shah pagi tadi.


Yang di-Pertuan Agong telahpun menandatangani peristiharan pembubaran Parlimen hari ini, dan dengan itu juga negeri-negeri dinasihati membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).


Perdana Menteri juga menyatakan semalam beliau enggan mengumumkan kemungkinan Parlimen dibubar hari ini kerana belum bertemu Yang di-Pertuan Agong lagi.


Perdana Menteri juga menyatakan, tarikh penamaan calon dan pengundian akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat. - mks.



Parlimen dibubarkan hari ini - Malaysiakini
Feb 13, 08 11:35am


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini.


Abdullah mengumumkan pembubaran tersebut dalam satu sidang akhbar khas di pejabatnya pada jam 12.30 tengahari tadi.Katanya, kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihatkan supaya mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, juga berkuatkuasa hari ini.


Bagaimanapun, bagi Sarawak, pilihanraya umum kali ini hanya membabitkan kerusi Parlimen.


Demam pilihanraya sudahpun bermula sejak awal tahun ini ekoran ramalan para pemerhati politik dan juga ahli-ahli politik bahawa pilihanraya umum akan didadakan bulan depan.


Sebelum ini, penganalisa politik dan pihak media juga meramalkan Parlimen akan dibubarkan pada 13 Februari (hari ini) kerana 13 merupakan nombor kegemaran Perdana Menteri.


SPR mesyuarat esok


Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengadap Seri Paduka pagi tadi dan baginda telah berkenan supaya Parlimen ke-11 dibubarkan berkuatkuasa hari ini bagi membolehkan pilihanraya umum ke-12 diadakan.


“Seri Paduka telah menandatangani pengisytiharan pembubaran Parlimen hari ini. Kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihatkan supaya mengambil tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa pada tarikh yang sama,” katanya.


Menurut Abdullah lagi, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Parlimen telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.


Perdana Menteri berkata, SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya umum ke-12.SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuaratnya esok berhubung perkara tersebut.


Ditanya mengapa semalam beliau mengatakan bahawa pembubaran Parlimen tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini, Abdullah menjawab:


“Saya tak boleh beri sebarang bayangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen kerana Yang di-Pertuan Agong belum lagi buat keputusan...macam mana saya nak buat kenyataan... (atau) bagi isyarat... tak boleh...Yang di-Pertuan Agong belum buat keputusan...”Buat penilaianDitanya mengenai signifikan 13 Februari untuk membubarkan Parlimen, Perdana Menteri menjawab:


“Tidak perlu ulas...yang penting Yang di-Pertuan Agong telah buat keputusan memperkenankan hari ini Parlimen dibubarkan.”Menjawab soalan wartawan seterusnya, Perdana Menteri berkata Barisan Nasional (BN) berharap mendapat kemenangan besar, sekurang-kurangnya dua pertiga.


Beliau juga berkata, jentera pilihanraya BN telahpun disusun dan akan digerakkan untuk menghadapi pilihanraya umum ke-12.Ditanya mengenai muka-muka baru yang akan diketengahkan oleh BN kali ini, Abdullah Berkata:


“Bila senarai ditetapkan maka waktu itu kita akan tahu berapa muka lama dan berapa muka baru.


”Perdana Menteri juga menasihatkan pengundi supaya memahami perkara dan isu-isu yang berkaitan dengan negara dan secara objektif membuat penilian bila tiba masanya untuk mengundi.


“Harapan saya semasa pilihanraya ini terutama pada hari pencalonan dan pengundian, tiada apa-apa gangguan yang akan menyusahkan rakyat kita untuk pergi ke tempat undi untuk melaksanakan hak mereka untuk mengundi calon pilihan mereka,” tambahnya.


Tentu tarikh


Sementara itu, SPR yang akan bermesyuarat esok akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihanraya umum ke-12.


Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR akan membincangkan pelbagai perkara dalam menentukan kedua-dua tarikh itu, termasuk keadaan negara dan keselamatan masyarakat.


"SPR akan memberikan ruang yang sesuai untuk tempoh pencalonan dan seterusnya tempoh berkempen sebelum pengundian diadakan," katanya dalam wawancara secara langsung dengan RTM.


Wawancara itu disiarkan selepas perdana menteri mengumumkan pembubaran Parlimen, berkuatkuasa hari ini bagi mengadakan pilihanraya umum. Rashid berkata SPR akan mengkaji keadaan semasa bagi menentukan pilihanraya diadakan dalam keadaan yang selamat dan kondusif.

Pemuda PAS hargai keputusan parti tampil 50 peratus calon muka baru - Harakahdaily
Wan Nordin Wan Yaacob Wed Feb 13, 08 9:06:46 am MYT


KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob berkata, pihaknya menghargai keputusan pucuk pimpinan PAS yang mahu menampilkan 50 peratus calon muka baru terutamanya di kalangan pemuda bertanding dalam pilihan raya umum ini.

Salahuddin yang ditemui di Pejabat Agung PAS 10 Februari lalu berkata, Pemuda PAS tidak pernah melobi untuk memastikan calon di kalangan 'orang muda' bertanding mewakili PAS.


Namun kepimpinan parti meletakkan kepercayaan kepada kelompok muda untuk turut menyerikan persaingan kali ini dan memberi tamparan kepada BN, katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Agung PAS baru-baru ini selepas satu mesyuarat khas mengenai calon-calon yang mewakili PAS dalam pilihan raya umum diadakan.


Secara umumnya Pemuda PAS sudah menyiapkan jentera pilihan raya mereka sejak lebih setahun lalu dan telah berjaya mengumpulkan tenaga kerja yang cukup bersemangat untuk bekerja.


"Kita sedia bila-bila masa sahaja jika pilihan raya umum diadakan," katanya. - mks.

0 Pandangan