Pemuda Cabar Pengerusi SPR Berdebat!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/08/2008 08:54:00 AM | 0 Pandangan »

Ekoran mulut celupar Pengerusi SPR - Salahuddin cabar Rashid berdebat - Harakahdaily
Nyza Ayob Mon Jan 07, 08 3:06:51 pm MYT


PUTRAJAYA, 7 Jan (Hrkh) - "Saya bagi tempoh tujuh hari kepada Rashid untuk memberi jawapan bagi menyahut cabaran saya ini. Jika dalam tempoh tersebut beliau tidak memberi sebarang respons, saya anggap beliau seorang pengecut. Dan beliau sangat layak menjadi pengerusi parti komunis daripada menjadi Pengerusi SPR kerana meminta parti politik memulaukan pilihan raya!"
Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman sebaik sahaja menyerahkan surat cabaran debat terbuka satu lawan satu kepada Rashid. Surat tersebut diserahkan pada pagi ini dan diterima oleh pembantu khas Rashid, Jamilah Mohamed bertempat di lobi Pejabat SPR, di sini.

Salahuddin diiringi Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasarudin Hassan dan Setiausahanya, Ahmad Sabki Yusof.

Salahuddin dalam sidang medianya selepas penyerahan surat tersebut, menegaskan cabaran tersebut dibuat ekoran tuduhan yang dilemparkan supaya parti politik memulaukan pilhan raya sekiranya tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya.

"Saya rasakan cabaran tersebut amat berbahaya kepada keselamatan negara di mana tidak sepatutnya sebagai Pengerusi SPR beliau mengeluarkan kenyataan yang sangat berbaur politik yang mana beliau di lihat begitu berpihak kepada Barisan Nasional

"Telah banyak kali beliau mengeluarkan kenyataan yang tidak menunjukkan integriti beliau sebagai seorang Pengerusi SPR yang sepatutnya bebas dan tidak berpihak," tegasnya.

Salahuddin mempersoalkan apa yang akan berlaku jika semua parti politik khususnya pembangkang jika memulau pilihan raya. Katanya jika parti politik disarankan memulau pilihan raya, di manakah rakyat akan menyalurkan sikap tidak puas hati yang mana harus disalurkan melalui peti undi.

Jelasnya lagi, jika beliau mencabar parti pembangkang tidak menggunakan peti undi, rakyat akan menggunakan jalan yang lain.

Tambahnya lagi, Rashid dalam satu seminar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menyatakan beliau selesa dengan regim BN yang memerintah negara.

Rashid juga katanya, pernah menyatakan segala peraturan yang ditetapkan SPR hari ini untuk memberi kemenangan kepada parti pemerintah.

Jelas Salahuddin, kenyataan ini juga menggambarkan Rashid bercakap sebagai orang politik dan bukan sebagai pengerusi sebuah badan yang dikatakan bebas.

Sementara itu cabaran yang dibuat Salahuddin hari ini merupakan cabaran ke dua Salahuddin terhadap Rashid selepas mencabar Rashid sebaik sahaja Pilihan raya Dun Batu Talam.

Jelas Salahuddin lagi, tiga syarat yang ditentukan olehnya bagi cabaran debat tersebut. Jelasnya sekiranya Rashid takut untuk berdebat satu lawan satu dengannya di tempat yang terbuka, Rashid boleh datang bersama dua atau tiga orang daripada pasukannya. Begitu juga di pihak Salahuddin yang akan datang bersama pasukannya bagi debat tersebut.

Tambahnya, melalui perdebatan tersebut, rakyat dapat melihat satu perdebatan ilmiah dan membuat penghakiman bahawa pengerusi SPR telah hilang integriti bahawa beliau telah mengeluarkan ucapan yang berat sebelah.

Melalui perdebatan tersebut, Salahuddin juga akan membuktikan segala ucapan yang telah dinyatakan Rashid serta ketidak telusan SPR.

"Jika dengan berpasukan beliau tetap tidak mahu berdebat dengan saya, saya mencabar beliau untuk bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak tahu menahu dan tidak pernah melakukakan sebarang penyelewengan dan ketidak adilan terhadap SPR selama ini

"Jika tidak mahu perdebatan ini hanya satu retorik politik, kita boleh merancang satu perbincangan intelektual" tegas Salahuddin dan mengharapkan Rashid dapat menerima cabaran beliau itu dalam mewujudkan padang permainan yang sama rata. - mr-->

Ketua Pemuda PAS cabar Rashid berdebat - Malaysiakini
Jan 7, 08 6:33pm

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat (DPP), Salahuddin Ayub sekali lagi mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman untuk mengadakan debat terbuka mengenai ketelusan SPR mengendali pilihanraya.

Cabaran tersebut terkandung dalam sepucuk surat yang dihantarnya ke pejabat SPR di Putrajaya pagi tadi. Ia diterima oleh pembantu khas pengerusi SPR itu, Jamilah Mohamed.

Turut mengiringi Salahuddin menyerahkan surat tersebut ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hassan dan Setiausahanya, Ahmad Sabki Yusof.

Ini merupakan kali kedua Salahuddin mencabar Rashid mengadakan debat terbuka. Kali pertama ialah selepas pilihanraya kecil Batu Talam di Pahang, Januari tahun lalu.

Dalam surat tersebut, Ketua Pemuda PAS itu berkata, debat itu perlu diadakan supaya rakyat mengetahui hakikat sebenar perjalanan pilihanraya yang didakwa SPR telus tanpa ada penyelewengan.

"Saya merujuk kenyataan Tan Sri baru-baru ini supaya pembangkang memulaukan pilihanraya umum pada kali ini. "Tan Sri seolah-olah sengaja menggalakkan rakyat menggunakan cara tidak demokratik melalui penipuan pilihanraya," katanya dalam surat itu lagi.

Salahuddin mendakwa, Rashid telah cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan menjadikan protes dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap sistem pilihanraya, sebagai premis untuk mendesak pembangkang memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional.

Menurutnya, beliau menunggu persetujuan Rashid untuk mengadakan debat terbuka tersebut.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Krian berkata, Rashid boleh memilih tarikh, tempat dan masa yang sesuai serta mahu ianya diadakan secara langsung untuk membolehkan rakyat mengadilinya.

"Saya memberikan tempoh tujuh hari bertarikh surat ini untuk Tan Sri memberikan jawapan," katanya dalam surat tersebut.

0 Pandangan