Isu Chua Soi Lek - Agendadaily

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/02/2008 07:44:00 AM | 0 Pandangan »

Dr Chua sepatutnya tahu 'bawa diri'…kenapa perlu tunggu kata putus PM

January 2, 2008 : 01.34 AM
Oleh: HANAFIAH MAN
Cuba letak diri kita dalam situasi Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sekarang.Kita orang biasa,beliau seorang menteri dan Naib Presiden MCA. Bayangkan senarionya bila beliau menghadiri majlis-majlis rasmi,berdepan dengan warga Kementerian Kesihatan ataupun nak berucap diatas pentas di kawasan parlimennya di Labis.
Apa yang berlaku sudah berlaku.Skandal video adegan seksnya dengan seorang wanita yang Dr Chua kata ‘teman peribadi’ sudah terbongkar.
Beliau sudah meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan rakan-rakan dalam MCA.Isterinya juga sudah buat kenyataan memaafkanya dan akan berdiri teguh dibelakangnya.Begitu juga parti MCA di kawasan parlimennya.
Tak kiralah bagaimana atau apa motif orang yang merakamkan secara sulit aksinya dan menyebarkan.Soalnya di sini Dr Chua adalah seorang Menteri,satu jawatan yang seharusnya dihormati dan kekal terhormat.
Atas sebab ini juga ramai yang terkejut mendengar sidang akhbar beliau yang diadakan di pejabat MCA Labis petang Selasa.
Pengakuannya adalah satu hal tetapi yang lebih besar di sini ialah kenyataan Dr Chua beliau tidak akan meletakan jawatan sebagai menteri.
Sebagai ‘ public figure’ hubungan sulitnya yang di luar norma dan etika itu sudah cukup untuk mencemarkan imejnya apa lagi kedudukanya sebagai menteri.
Memanglah menjadi kuasa Perdana Menteri melantik dan mengugurkan seseorang menteri.
Namun begitu dalam situasi seumpama itu ramai yang merasakan adalah menjadi tanggongjawab peribadi Dr Chua untuk melepaskan jawatan menteri tanpa menunggu satu kata putus dari Perdana Menteri.
Ibarat kata orang kalau sudah terkena cekup langgar ‘lampu merah’ tu pandai-pandailah ‘ bawa diri ‘.
Siapa pun tidak akan peduli jika Dr Chua seorang doktor biasa di sebuah klinik terlibat dalam skandal apapun sebaliknya beliau mengetuai sebuah kementerian dan orang besar dalam parti MCA.
Sebarang pendirian untuk berkeras dan mencetuskan kontroversi kerana hendak bergayut pada jawatan akan mengundang pelbagai implikasi politik kepada Barisan Nasional menjelang pilihanraya umum akan datang ini.
Ini bukan lagi kes samar-samar,yang perlu disiasat lanjut sebaliknya sudah sah dan ada pengakuan terbuka dari empunya diri.
Juga ini bukan soal salah atau benar lagi tetapi isu di sini ialah soal moral seseorang pemimpin dikaca mata oramgramai. Seperti kebiasaannya kita semua sedia maklum penyebaran DVD aksi seks Dr Chua tidak akan terhenti setakat pengakuan terbuka itu.Ia dijangka akan menjalar ke seluruh negara secara 'bawah meja' dan menerusi berbagai cara. Ramai yang diketahui sudah tercari-cari untuk melihat sendiri aksi VVIP itu.
Bekas Presiden Amerika Bill Clinton mungkin lepas dari keributan skandalnya dengan Monica Lewinsky.
Namun budaya dan penerimaan masyarakat Malaysia adalah berbeza.Dr Chua tentunya tahu pasti tentang hakikat,fakta dan realiti ini.- 2/1/2008
BERITA SEBELUM INI:Menteri Kesihatan mengaku beliau orangnya dalam DVD adegan seks...

MENTERI KESIHATAN DAN NAIB PRESIDEN MCA DATUK SERI DR CHUA SOI LEK PETANG INI MENGAKUI BELIAULAH ORANGNYA DALAM RAKAMAN ADEGAN SEKS DALAM DVD YANG DISEBARKAN DI BEBERAPA TEMPAT DI JOHOR SEJAK TIGA HARI LALU. BELIAU MENYATAKAN DEMIKIAN DALAM SATU SIDANG AKHBAR DI PEJABAT MCA LABIS, JOHOR.

DITANYA MENGENAI KEDUDUKANNYA SEBAGAI MENTERI, CHUA BERKATA BELIAU TIDAK AKAN LETAK JAWATAN DAN MENYERAHKAN HAL ITU KEPADA PERDANA MENTERI DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI MENENTUKANNYA. BELIAU SUDAH MENEMUI ABDULLAH MENGENAI ISU ITU (SEMALAM) ISNIN.

SELAIN ITU BELIAU JUGA SUDAH MENEMUI TIMBALAN PERDANA MENTERI DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK DAN PRESIDEN MCA DATUK SERI ONG KA TING.

KATA MENTERI KESIHATAN ITU BUKAN BELIAU YANG RAKAM DVD ITU DAN TIDAK TAHU SIAPA YANG MELAKUKANNYA. KATANYA KELUARGANYA TELAH MENERIMA PERMOHONAN MAAFNYA DI ATAS SKANDAL ITU.

DR CHUA JUGA MEMINTA MAAF KEPADA RAKYAT MALAYSIA DAN RAKAN SEJAWATNYA DALAM MCA KERANA ISU BERKENAAN. SEMENTARA ITU KETUA PENERANGAN UMNO JOHOR SENATOR DR PUAD ZAKARSHI YANG DIHUBUNGI PETANG INI BERKATA PENGAKUAN DR CHUA ADALAH SATU TINDAKAN BERANI.

NAMUN KATANYA, KEBERANIAN ITU HARUS DISERTAI DENGAN KEBERANIANNYA UNTUK TERUS MELETAKAN JAWATAN SEBAGAI MENTERI TANPA PERLU MENUNGGU KEPUTUSAN DARI PERDANA MENTERI.

Dalam sidang akhbar yang sesak dihadiri para wartawan itu Dr Chua merayu kepada media supaya memberikan ruang kepada keluarganya semasa mengharungi saat-saat yang getir ini.

"Saya juga ingin mengucapkan teirma kasih kepada mereka kerana keprihatinan dan sokongan menerusi panggilan telefon serta SMS," katanya.

Ditanya pemberita mengenai tindakan selanjutnya, Dr Chua berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.

"Saya serahkan kepada polis untuk menyiasat (mengenai rakaman itu) . Saya sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membuat laporan polis tetapi polis sudahpun memulakan penyiasatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kedudukanya dalam kerajaan, Dr Chua berkata:

"Saya berkhidmat atas kehendak Perdana Menteri." "Saya tidak akan membiarkan orang (lain) untuk mengancam atau menghalang tugas saya."

Dr Chua berkata beliau mendapat tahu mengenai rakaman itu Ahad lepas apabila seorang rakan memberikannya salinan cakera video itu. Menteri itu berkata segala-galanya seperti biasa baginya dan beliau akan meneruskan tugas sebagai menteri Kabinet dan di dalam MCA.

Dr Chua, yang kelihatan tenang sepanjang sidang akhbar itu, menghadiri satu majlis di Hospital Segamat sebelum berjumpa pihak media, yang disusuli dengan perjumpaan bersama masyarakat India di Labis.

Sebaik sahaja selesai sidang akhbar itu, Pengerusi MCA Bahagian Labis Tan Kok Hong berkata anggota parti bahagian berkenaan akan menyokong Dr Chua sebagai Anggota Parlimen Labis.

"Kami akan memberikan beliau sokongan agar terus menjadi calon di Labis," katanya. Dr Chua, yang juga Pengerusi MCA Johor, mempertahankan kerusi Parlimen Labis untuk Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2004 setelah menewaskan calon DAP, Tee Gey Yan dengan majoriti 10,729 undi.

Chua memperoleh 16,469 undi manakala Tee mendapat 5,740 undi. Sebelum itu, kerusi Parlimen Labis disandang bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik .-1/1/2008
---------------------------------------
Nafi atau letak jawatan
BERITA SEBELUM INI: “Kalau tidak betul nafikan tetapi jika betul beliau perlu meletakkan jawatan,” demikian tegas Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Senator Dr. Puad Zarkashi Isnin mengenai kontroversi rakaman video aksi seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin politik nasional dari parti MCA yang DVD rakaman itu disebar luas di beberapa daerah di Johor.

Alasannya, pemimpin berkenaan tidak harus mendiamkan diri kerana ia boleh menjejaskan nama baik Barisan Nasional (BN) Johor khususnya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Desakannya itu kata beliau bukanlah bermakna pemimpin berkenaan telah bersalah tetapi beliau perlu tampil bagi membersihkan dirinya dan parti daripada terus difitnah dan ditohmah.

“Beliau pemimpin kanan dan beliau tahu dirinya terlibat atau tidak jadi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab beliau tidak perlu tunggu siasatan… beliau perlu tampil ke hadapan… kalau tak betul nafikan tetapi kalau betul… beliau harus meletakkan jawatan supaya keyakinan orang ramai kepada BN terpelihara,” katanya ketika dihubungi Agendadaily.

Dr Fuad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran DVD aksi seks itu di Muar, Batu Pahat dan Tangkak, Johor yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan parti MCA dan berjawatan dalam kerajaan.
Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang ditemui para wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur Isnin enggan memberi sebarang ulasan mengenainya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara , Tan Sri Musa Hassan pula mengesahkan polis telah memanggil wartawan sebuah akhbar berbahasa Cina yang menulis berita yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina. Beliau juga mengesahkan kertas siasatan mengenai kontroversi DVD itu telah dibuka.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ibrahim Mohd Aris meminta sesiapa yang memiliki DVD yang kononnya mengandungi aksi seks seorang pemimpin politik tempatan dinasihatkan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. Katanya, mereka yang didapati memiliki DVD itu ataupun membuat salinan serta mengedarnya boleh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda atau keduaduanya sekali.

"Kita juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan khabar angin yang akan memburukkan lagi keadaan," katanya ketika diminta mengulas laporan media hari ini mengenai penyebaran DVD aksi seks itu di Muar, Batu Pahat dan Tangkak.

Ibrahim berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu tentang penyebaran DVD yang didakwa mengandungi aksi seks pemimpin politik itu.

Sampul surat mengandungi dua keping DVD tersebut dipercayai diedar secara percuma di beberapa tempat di Batu Pahat sejak dua hari lalu dengan cara meletakkannya di dalam peti surat penduduk dan peniaga.
DVD berkenaan didakwa mengandungi adegan hubungan seks antara pemimpin politik itu dengan seorang wanita berusia 20-an.

Gambar mereka dikatakan diambil mengunakan CCTV di sebuah bilik hotel.– 31/12/2007

0 Pandangan