Perpaduan Kaum di Malaysia : UMNO/Barisan Nasional Ternyata Gagal

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/27/2007 11:04:00 AM | 2 Pandangan »

Perpaduan Kaum di Malaysia : UMNO/Barisan Nasional Ternyata Gagal.

Secara tiba-tiba nama S.Paranjothy menjadi terkenal dalam persada politik tanahair. Bukan kerana rupa parasnya atau kemewahannya tetapi kenyataan beraninya setebal empat muka surat menggegarkan suasana dengan tuduhan bahawa UMNO mengapi-apikan isu perkauman.

Melentinglah pelbagai pihak terutamanya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien yang ‘terluka’ dengan kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan ini. Hisham mendesak agar Paranjothy dipecat daripada Gerakan kerana kebiadabannya menuduh UMNO sebegitu rupa. Mana mungkin dalam suasana UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) akan sanggup menodai prinsip setiakawan dan persahabatan dalam pelbagai parti politik yang memberikan hak yang sama kepada semua kaum akan berbuat begitu.

Isu tuntutan hak daripada kaum India dilihat cukup aggresif akhir-akhir ini. Memang benar ianya bukanlah tuntutan yang lahir daripada saluran daripada agensi kerajaan ataupun parti yang mewakili kaum India seperti MIC dan bukan niat saya ingin menyatakan bahawa apa yang dituntut oleh kaum India ini khususnya melalui Hindraf adalah benar segala-galanya tetapi segala-galanya menuntut kebenaran dan keadilan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berpelembagaan.

Hakikatnya, suara ketidakpuasan hati terus diluahkan kepada massa. Bezanya, kumpulan seperti Hindraf dituduh dipergunakan oleh parti politik pembangkang manakala kenyataan Paranjothy adalah sebagai Naib Ketua Pemuda Parti Gerakan, parti yang berada dalam komponen BN. Ketua Pemuda UMNO cukup ‘geram’ sehingga beliau menyatakan bahawa sekiranya Paranjothy adalah Pemuda UMNO, sudah lama tindakan akan diambil untuk memecat beliau daripada parti.

Kenyataan Hisham sememangnya ‘menggerunkan’ walaupun beliau sendiri tidak berbuat apa-apa malah membela Khairy Jamaluddin apabila Naib Ketua Pemuda UMNO ini membuat ucapan dalam perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Jerlun tahun lalu dengan mengingatkan ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO bahawa kaum Cina di Malaysia akan mengambil kesempatan daripada perbalahan dalam Umno untuk kepentingan kaum Cina walaupun kenyataan Khairy dikecam oleh pimpinan komponen BN.

Walaupun parti Gerakan telah memulakan tindakan tata tertib terhadap Naib Ketua Pemudanya, S.Paranjothy berikutan kenyataannya yang disifatkan boleh menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini serta membelakangkan semangat berpasukan BN, namun pelbagai kemungkinan bakal terjadi termasuklah kemungkinan penarikan semula kenyataan tersebut ataupun mungkin Paranjothy akan menyatakan bahawa dia membuat kenyataan ‘tanpa sedar’ kerana apa-apa boleh berlaku seperti yang telah dibuktikan oleh Ahli Parlimen MIC yang menarik balik kenyataannya terhadap isu hindraf, saya kira perlu kita lihat apa yang sebenarnya yang telah diluahkan oleh Paranjothy.

Paranjothy telah menyatakan bahawa :-

1. UMNO mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat melayu dalam usaha untuk meningkatkan karier politik pemimpin UMNO.

2. Ucapan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam yang dijemput sebagai tetamu kehormat untuk merasmikan perhimpunan agung PPP Melaka yang bukan sahaja menghina PPP tetapi juga menegaskan bahawa PPP boleh keluar dari BN jika mereka tidak berpuas hati dengan kedudukan mereka dalam BN.

3. Ahli-ahli politik harus dipersalahkan kerana memisahkan rakyat dengan memainkan politik perkauman.

4. Memainkan politik perkauman akan hanya membakar sentimen perkauman rakyat, jika tidak dikawal, boleh memudaratkan negara.

5. Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Jerlun, telah mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa kaum Cina di Malaysia akan mengambil kesempatan daripada perbalahan dalam Umno untuk kepentingan kaum Cina.

6. Ahli-ahli Pemuda Umno bahagian Tanjung pada tahun 2006 telah membawa kain rentang mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang dituduh mengabaikan orang Melayu, di depan Perdana Menteri sendiri, dengan memberi kata dua, cuba menjatuhkan kerajaan negeri.

7. Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula telah menghunus keris dalam perhimpunan agung Umno 2004, dengan memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya jangan mengancam "hak orang Melayu" dan mempertikaikan kontrak sosial.

8. Ahli Parlimen Parit Sulong, Syed Hood Syed Edros pula menggesa, antaranya, supaya dibuang tanda salib dan patung Kristian di sekolah-sekolah mubaligh.

9. Datuk Seri Hishammuddin dikatakan telah berkata, Umno tidak perlukan sokongan pengundi Cina dan India untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang kerana jumlah orang Melayu sudah 60 peratus.

10. Khairy sewaktu perbahasan dalam agung Umno baru-baru ini berkata "hari ini untuk pertamakalinya, ucapan Presiden Umno tidak dapat dibaca oleh orang ramai kerana kumpulan etnik tertentu menguasai pengedaran akhbar dan mereka sedang bercuti".

11. Perhimpunan agung Umno yang lalu berlangsung sewaktu sambutan perayaan Deepavali.

12. Umno gemar memainkan isu-isu sensitif di kalangan masyarakat dan kenyataan serta keputusan yang dibuat ahli politik Umno berunsur diskriminasi dan banyak mengandungi unsur-unsur penghinaan perkauman.

13. Kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Awang Selamat dalam Utusan Malaysia kerana kenyataan yang berbau perkauman dan menghasut dalam kolum Bisik-Bisik pada 20 November 2007.

14. Satu temubual dalam akhbar New Straits Times pada 12 Disember 2007, di mana Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia yang antara lain dilaporkan berkata "tidak ada orang yang boleh berkata bahawa tidak ada yang mendapat peluang yang sama rata. Saya dapat. Saya menjadi bukti bahawa kita boleh". Paranjothy melahirkan kekecewaan dalam kontak ini kerana AirAsia telah mengadakan program latihan khas untuk anak-anak peneroka Felda yang layak untuk dilatih menjadi juruterbang. Mengapa tidak ada program seumpama itu bagi orang India dan Cina yang juga rakyat negara ini?

15. Dasar Ekonomi Baru sepatutnya memberikan keutamaan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. DEB yang dilancarkan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, ketika orang Melayu hanya memiliki 4 peratus ekonomi Malaysia dan keistimewaan orang Melayu diperluaskan meliputi bidang-bidang lain manakala kuota telah ditetapkan untuk Bumiputera mencapai sasaran 30 peratus dalam ekuiti korporat.

16. Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan telah memberi hak-hak dan keistimewaan kepada orang Melayu yang mendiskriminasikan kaum lain, seperti:

a. Sekolah berasrama penuh untuk bumiputera sahaja.

b. Program matrikulasi untuk bumiputera bagi kemasukan ke universiti awam dengan pembelajaran yang mudah, sedangkan bukan bumiputera terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

c. Dalam kemasukan ke institusi pengajian tinggi, kuota ditetapkan untuk kursus-kursus kritikal (profesional), yang kurang pelajar bumiputera.

d. Biasiswa kerajaan tidak diberikan mengikut merit. Bukan bumiputera tiada peluang untuk menyertai perkhidmatan awam dan peluang kenaikan pangkat, yang didominasi oleh bumiputera.

e. Bukan bumiputera tidak diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam badan-badan kerajaan seperti tentera, polis dan perkhidmatan awam (jeneral dalam tentera, ketua polis negeri, ketua polis negara, naib canselor di universiti awam, gabenor bank pusat, ketua hakim, ketua pengarah, pengarah dalam perkhidmatan awam).

f. Kontrak kerajaan diberikan kepada bumiputera tanpa melalui proses tender.

17. Diskaun diberikan kepada bumiputera untuk membeli kenderaan dan hartanah.

18. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum pernah menyatakan bahawa permit dikeluarkan untuk perhimpunan awam jika ia berfaedah kepada masyarakat dan 'bukan untuk keadaan yang menimbulkan masalah" di mana pihak berkuasa akan mengkaji permohonan permit secara terperinci sebelum membuat keputusan. Namun kerajaan berat sebelah dalam perkara memberikan permit himpunan awamBeliau juga mendakwa Barisan Nasional memulakan budaya demonstrasi dan orang lain telah mengikut jejak langkah mereka.

19. Ribuan masyarakat India Malaysia telah menyertai perhimpunan pada 25 November 2007 di depan Suruhanjaya Tinggi British kerana ia merupakan satu peluang untuk mereka menyuarakan kekecewaan dan kemarahan berhubung layanan terhadap mereka yang tertekan, terpinggir, tertindas dan tidak diperdulikan. Di segi ekonomi mereka merupakan kumpulan yang paling ketinggalan di Malaysia.

20. Kaum India tidak medapatkan bahagian mereka dalam bidang pendidikan tinggi atau dalam profesyen-profesyen yang lain. Beliau mendakwa bahawa masyarakat India Malaysia dilayan seperti rakyat kelas empat dan kelebihan mereka daripada kaum-kaum lain ialah dalam jenayah keganasan, di penjara, samseng, kes bunuh diri dan penyakit-penyakit masyarakat.

21. Paranjothy memetik kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam (kiri) dalam sebuah akhbar baru-baru ini yang menyebut bahawa masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini adalah benar. Menurut Musa lagi, kata Paranjothy, walaupun ada sebuah parti yang mendakwa mewakili kaum India, tetapi jelas sekali, mereka tidak puashati kerana menganggapnya sebagai tidak berkesan".

Saya tidak menyenaraikan kesemua luahan yang dinyatakan oleh Paranjothy tetapi tuntutan dan dakwaannya seperti yang dapat dilihat di atas cukup untuk kita membayangkan kekecewaan beliau. Saya percaya ianya bukan sahaja suara individu seorang pemimpin muda bernama Paranjothy tetapi sudah tentu ia adalah suara daripada pelbagai pihak yang ingin perkara ini disebarluaskan dalam masyarakat pada hari ini yang mana pemikiran dan perbincangan mereka dihalakan ke arah isu perkauman.

Desakan supaya Paranjothy dikenakan tindakan oleh pelbagai pihak disambut baik oleh parti Gerakan. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon walaupun membuat kenyataan bahawa Gerakan akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Paranjothy namun beliau tetap kecewa dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO bahawa pergerakan itu akan memutuskan hubungan dengan Gerakan sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai kenyataan Paranjothy.

Persoalan utama, kenapa isu perkauman berbangkit dalam negara yang kononnya menjadi contoh kepada sebuah perpaduan kepada masyarakat dunia? Apa yang ‘diributkan’ oleh Paranjothy dapat dilihat hasil daripada kekecewaan seorang pemimpin daripada kaum India yang ada dalam Malaysia.

Sama ada tuntutan dan dakwaan yang dilontarkan oleh Paranjothy adalah benar ataupun tidak, ia telah memberikan gambaran bahawa perpaduan kaum yang dibina di atas asas parti politik berasaskan kaum ternyata masih belum mampu memberikan keyakinan kepada semua lapisan rakyat terhadap perpaduan. Rasa keberkesanan terhadap perpaduan dalam BN terus disemarakkan sedangkan ianya adalah semangat yang rapuh dan sempit serta tidak demokratik.

Kebimbangan saya, isu ini juga sengaja dibangkitkan agar rakyat terus ditakut-takutkan dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku andaikata berlaku pertembungan antara kaum. Kita sudah melalui peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam yang direka untuk memberikan sokongan kepada BN. Mutakhir ini, isu perkauman jugalah yang cuba dibangkit oleh pihak-pihak tertentu yang akhirnya telah dan akan menyebabkan ada pihak yang bakal disenyapkan dengan pelbagai kaedah seperti penggunaan akta zalim ISA.

UMNO sudah pasti akan mengambil ruang dan peluang ini untuk meraih sokongan daripada kaum melayu yang dimomokkan bahawa ‘UMNO sahaja yang mampu membela nasib orang melayu’. Kesempatan ini juga akan digunakan oleh UMNO untuk membuktikan bahawa siapalah orang melayu jika tidak kerana UMNO.

Selagi mana politik Malaysia dikongkong dengan politik perkauman atau parti politik yang berasaskan kepada pecahan kaum maka sukar untuk mencapai perpaduan yang sebenar. Apa ertinya kita gah dengan kemerdekaan selama 50 tahun namun isu perpaduan masih lagi menjadi pertikaian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Pusat
http://minda-kembara.blogspot.com/
27 Disember 2007

2 Pandangan

  1. Hiez@Hidhir // December 27, 2007 at 1:13 PM  

    salam alaik..
    Boleh ana tahu kt mane cawangan pas kluang..
    Boleh la ana membantu ape2 yg patut masa2 cuti nih...

  2. Khairul Faizi bin Ahmad Kamil // December 28, 2007 at 9:52 AM  

    Balik Kluang nanti cntct saya, 019-7701830