NGO - BN hilang moraliti

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/15/2007 06:02:00 PM | 0 Pandangan »

Penggunaan ISA, kerajaan BN hilang moraliti - NGO - Harakahdaily
Wan Nordin Wan Yaacob Sat Dec 15, 07 9:56:56 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menyelesaikan isu membabitkan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf).

Aliran Kesedaran Rakyat (Aliran) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily mengecam penahanan lima aktivis Hindraf di bawah ISA pada 13 Disember lalu.

"Bila kerajaan BN menahan rakyat di bawah ISA ia menunjukkan kerajaan hilang kuasa moral, dan tiada pengadilan ke atas pendakwaan yang dibuat terdahulu kepada lima rakyat terbabit," kata satu kenyataan Aliran.

Kerajaan seharusnya mendakwa mereka di mahkamah terbuka dan bukannya menahan mereka di bawah ISA jika kerajaan mempunyai bukti kukuh yang boleh mengaitkan mereka dengan aktiviti keganasan, kata kenyataan itu.

Justeru Aliran mengecam keras tindakan menggunakan ISA dalam menyelesaikan isu ini, kata kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysian Democratic Parti (MDP) turut mengecam tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap lima pemimpin Hindraf itu.

Dalam satu kenyataan medianya, Pengerusi MDP, Wee Choo Keong berkata meskipun pihaknya tidak berapa setuju dengan beberapa tuntutan Hindraf, tetapi pihaknya menyokong hak berhimpun secara aman yang seharusnya diberi kepada Hindraf.

Wee Choo Keong juga berkata, Malaysia adalah salah sebuah negara yang menandatangani deklerasi hak asasi manusia 1948 (UDHR) dan tindakan menggunakan ISA ini amat bertentangan dengan semangat itu.

Sebagai bekas tahanan ISA kata Wee Choo Keong, beliau merasakan bahawa tindakan kerajaan ini menafikan hak rakyat dalam mendapatkan hak pengadilan sekaligus mencabuli hak asasi manusia.

Justeru MDP menggesa kerajaan segera mendakwa lima pemimpin itu jika terdapat bukti jelas atau sekiranya tidak, mereka harus dibebaskan, kata Wee Choo Keong.
Sementara itu Kumpulan Youth For Change (YFC) pula turut mengecam penggunaan ISA dalam kes tersebut.

Dalam satu kenyataanya YFC berpendirian bahawa Perdana Menteri yang sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia mendengar keluhan rakyat hanyalah retorik semata-mata.

Penahanan lima aktivis Hindraf ini menunjukkan Perdana Menteri tidak mahu mendengar keluhan rakyat sebaliknya menggunakan undang-undang 'draconian' untuk menyelesaikannya, kata kenyataan itu.

Sehubungan itu YFC mengecam keras tindakan kerajaan ini dan menggesa kerajaan membebaskan tahanan atau mendakwa mereka di mahkamah terbuka secara adil, katanya.

Terdahulu akhbar versi internet melaporkan, beberapa pemimpin Hindraf telah ditahan tengah ini di ISA dan telah dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman.

Mereka yang ditahan ialah Penasihat Undang-undangnya, P Uthayakumar; peguam M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penahanan tersebut, mengikut Seksyen 8 (1), ISA.

Yang pertama ditahan ialah peguam Kenghadharan, di pejabatnya di Petaling Jaya kira-kira jam 12.30 tengahari oleh sepasukan polis dari Bukit Aman. Polis kemudiannya menahan Ganabatirau di Seremban, manakala Vasanthakumar pula ditahan kira-kira jam 2 petang di Brickfields.

Manakala Pengerusi Hindraf, P Waythmoorthy kini berada di luar negara.
Ganabatirau ditahan oleh sepasukan polis yang diketuai oleh ASP Zairulnain Lamat dari Bukit Aman, kata adiknya, Raidu.

"Bila ditanya mengapa dia ditangkap, beliau berkata ia di bawah ISA," kata Raidu.
Menurutnya lagi, Zairulnain berkata, polis mempunyai maklumat bahawa Hindraf sedang merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan seperti yang diadakan pada 25 November lalu.

Pihak polis telah mensasarkan para peguam Hindraf sejak beberapa minggu lalu.Tindakan menahan peguam Hindraf bermula dengan tangkapan ke atas Pengerusinya, P Waythamoorthy, penasihat undang-undangnya, P Uthayakumar dan seorang lagi peguam, V Ganabatirau pada 23 November lalu.

Mereka kemudiannya didakwa di mahkamah di Klang atas tuduhan menghasut.
Kemudian Uthayakumar ditahan sekali lagi dan didakwa atas satu lagi tuduhan menghasut di Kuala Lumpur. Beliau juga kemudiannya ditahan semalaman sebelum dibebaskan semalam tanpa didakwa.

Waythamoorthy dan Ganabatirau juga turut ditahan semula dan dibebaskan selepas beberapa jam ditahan.

Hindraf menjadi sasaran polis selepas menganjurkan ceramah di seluruh negara di mana mereka didakwa membuat ucapan yang berunsur hasutan berhubung peminggiran masyarakat India di negara ini.

Pada 25 November lalu, Hindraf telah menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh kira-kira 30,000 orang.

Polis telah menggunakan gas pemedih mata dan tembakan air untuk menyuraikan orang ramai.

Seramai 31 daripada mreka telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh dan sebahagiannya turut menghadapi tuduhan menyertai perhimpunan haram.

Kenghadharan adalah antara peguam yang mewakili mereka yang dihadapkan ke mahkamah tersebut.

Beliau juga adalah salah seorang peguam yang mewakili Uthayakumar yang menghadapi tuduhan menghasut./wann.

0 Pandangan