Kenapa Terkejut? - Pak Lah memang macam tu...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/17/2007 01:31:00 PM | 0 Pandangan »

Tiada rasa bersalah, Mahfuz kecam sikap PM dalam penahanan ISA
Wan Nordin Wan Yaacob Sun Dec 16, 07 12:34:46 pm MYT


KUALA LUMPUR, 16 Dis (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mengecam sikap dan pendirian Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menandatangani perintah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap rakyat sendiri.

"Saya terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri yang katanya beliau tidak rasa bersalah semasa menandatangani perintah penahanan di bawah ISA.Ini menunjukkan dalam empat tahun beliau memerintah, kezaliman adalah belang sebenar Perdana Menteri," kata Mahfuz yang dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mahfuz yang juga bekas tahanan ISA satu masa lalu menyifatkan penggunaan ISA secara keterlaluan ini adalah berpunca daripada kelemahan kerajaan dalam menyelesaikan dan menjawab isu-isu yang dibangkitkan rakyat mutakhir ini.
Tiada hujah

Kerajaan katanya tiada hujah yang tepat untuk menangkis serangan rakyat tatkala kelemahan ekonomi, sosial dan pentadbiran semakin ketara.

Kata Mahfuz lagi, ISA adalah satu akta yang sekaligus menafikan hak rakyat untuk mendapatkan pengadilan secara terbuka.

Justeru ia digunakan bagi menutup kelemahan kerajaan dengan hanya menggunakan alasan bahawa seseorang yang ditahan itu mengancam keselamatan negara.

"Kenyataan ini sama sekali tidak tepat dan hanya sandiwara semata-mata sedang kerajaan hari ini tidak mampu menolak dakwaan bahawa pentadbiran mereka terlalu lemah," katanya.

Perdana Menteri macam hakim

Perdana Menteri sendiri kini bertindak seolah-olah sebagai hakim dengan menghukum rakyat di bawah ISA, dan sekaligus menutup fungsi kehakiman di negara ini, katanya.

"Inilah yang dikatakan bahawa Perdana Menteri menggunakan ISA untuk memperlihatkan beliau berkuasa tanpa menghiraukan soal undang-undang dan keadilan.Ini menunjukkan Perdana Menteri pengecut dan bacul," tegas Mahfuz.

ISA juga adalah akta yang menutup suara rakyat sekaligus mampu menakut rakyat terutama dalam menyatakan hak mereka, katanya.

Kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Dato' Johari Baharom bahawa akan ramai lagi bakal dikenakan ISA sekali lagi mengesahkan bahawa kerajaan hilang modal untuk berhadapan dengan rakyat, kata Mahfuz.

Sambil mengutuk kenyataan itu Mahfuz berharap agar rakyat segera bangkit untuk menolak semua itu dalam pilihan raya akan datang.

Melayu terpinggir?

Beliau juga mendakwa bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini ltidak mempunyai belas kasihan dalam melayani tuntutan rakyat secara bijaksana.

Rakyat hanya menuntut hak mereka terutama sekali selepas melihat ekonomi negara semakin meminggirkan golongan rendah yang menyebabkan jurang kaya miskin semakin ketara.

Jika dilihat kepada jurang kaya miskin di negara ini, sebenarnya masyarakat India lebih bernasib baik kerana dalam statistik yang didedah di Parlimen baru-baru ini, kaum Melayu lebih terkebelakang dari kaum India.

"Ini kenyataan rasmi dari kementerian berkenaan dan bukannya dari pembangkang," katanya.

Bagi Mahfuz pendedahan ini menjadikan bahawa kenyataan pemimpin Umno bahawa mereka pembela rakyat adalah pembohongan sama sekali.

"Adakah jika suatu hari nanti masyarakat Melayu menuntut hak mereka ini juga akan dikira pelampau?.Ini menunjukkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno dalam membela rakyat khususnya Melayu," katanya.

Beliau turut mengecam kenyataan Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri yang menyokong penggunaan ISA.

Lawak Perdana Menteri

"Ini satu lawak yang hanya untuk membodohkan rakyat seolah-olah ramai yang menyokong kerajaan.Yang tandatangan ISA Perdana Menteri selaku Menteri KKDN.Yang jadi pengerusi Majlis Tertinggi Umnopun Perdana Menteri.

"Ini tak ada kerja lain untuk mengaburi mata rakyat semata-mata untuk meyakinkan rakyat bahawa ISA adalah pilihan yang tepat.Ini satu lawak dan penipuan semata," tegasnya.

Justeru beliau menggesa kerajaan tidak menggunakan ISA dalam melayani tuntutan rakyat sebaliknya menggunakan pendekatan yang lebih adil dan saksama.

Laporan akhbar semalam menyebut, kerajaan akan menahan beberapa lagi pemimpin dan penyokong kumpulan pelampau yang mendalangi perhimpunan haram di Kuala Lumpur mengikut ISA dalam tempoh terdekat.

Mohd Johari Baharum berkata kesemua mereka yang akan ditahan itu terbabit dalam mendalangi satu perhimpunan haram yang membangkitkan isu perkauman.
Nama individu terbabit sudah disenaraikan dan polis hanya menunggu proses penahanan selepas memperoleh bukti lengkap mengenai pembabitan mereka dalam perhimpunan haram baru-baru ini, katanya semalam.

Bernama memetik Johari sebagai berkata, penggunaan ISA bukan boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya selagi tiada bukti pembabitan dalam aktiviti yang boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

Katanya, penahanan lima pemimpin kumpulan pelampau itu sebelum ini adalah kerana terdapatnya bukti pembabitan mereka dalam menghasut dan menggugat keselamatan negara.

Mereka adalah pemimpin Hindraf, iaitu P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasanthakumar.

Menurut Johari, mereka ditahan setelah Perdana Menteri berpuas hati dengan laporan mengenai kegiatan mereka.

0 Pandangan