Antara Dua Darjat : Polis Guna Pistol Untuk Selamatkan Diri

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/26/2007 07:19:00 AM | 0 Pandangan »

Ketika saya tiba di Markas PAS Kawasan Sri Gading setelah baru tiba daripada misi kemanusiaan di Temerloh Pahang, saya mendapat SMS daripada seorang sahabat bertanyakan perkembangan terkini kes polis menembak pemain bolasepak UMNO di Batu Pahat.

Sudah tentu saya terkejut kerana saya tidak mengetahui perkara tersebut dan cuba mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.

Sdr Hamid Jamah (Ketua Penerangan DPPNJ) yang kebetulan berada bersama saya sepanjang hari terus menghubungi pelbagai sumber untuk memastikan kesahihan berita tersbut.

Memang mengejutkan tetapi itulah yang berlaku. Dalam pelbagai versi maklumat yang diterima, anggota polis yang mengadili perlawanan bolasepak tersebut membawa pistol ketika sedang bertugas sebagai pengadil.

Namun semalam, Ketua Polis Johor menyebut bahawa pistol tersebut diambil daripada keretanya setelah penyokong pasukan berkenaan mengejarnya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil melayangkan kad mereka kepada salah seorang pemain.

Ketua Pemuda UMNO Batu Pahat pula melahirkan terhadap kejadian yang berlaku dalam pertandingan akhir kejohanan Liga Bolasepak Pemuda UMNO Batu Pahat.
Ada dua pihak yang terlibat dalam perbincangan ini. Pertamanya pemuda UMNO dan yang keduanya adalah polis yang melepaskan tembakan tersebut.

Saya cukup tertarik dengan kenyataan Ketua Polis Johor tentang isu ini yang disiarkan dalam Berita Harian semalam. Beliau berkata bahawa tindakan pengadil tersebut melepaskan tembakan kerana untuk menyelamatkan diri daripada diserang dalam suasana yang tidak terkawal.

Jawapan yang diberikan lebih kurang sama dengan kejadian di Batu Burok sebelum ini yang mana PDRM mempertahankan tindakan pegawainya yang menembak dua orang rakyat Malaysia ditembak dengan alasan polis yang terbabit cuba mempertahankan diri daripada ancaman.

Dalam kes yang berlaku di Batu Pahat ini, anggota polis berusia 38 tahun yang memiliki tauliah pengadilan dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat tidak dibenarkan manakala lima pemain berusia antara 23 dan 40 tahun ditahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Saya bersetuju dengan penahanan anggota polis tersebut yang saya kira telah melakukan tindakan diluar batasan namun apa bezanya dengan anggota polis yang melepaskan tembakan malah mencederakan mangsa di Batu Burok. Apakah anggota polis di Batu Burok tersebut tidak menghadapi suasana yang sama dengan apa yang berlaku di Batu Pahat?

Bezanya, di Batu Burok melibatkan PAS/BERSIH tetapi di Johor ianya melibatkan UMNO. Saya yakin bahawa sekiranya perlawanan bolasepak tersebut diadakan oleh Pemuda PAS Kawasan Batu Pahat dan bukannya Pemuda UMNO Batu Pahat sudah tentu media akan memfokuskan bahawa pemuda PAS yang betidak liar menyerang pengadil dan keputusan pengadil yang juga merupakan anggota polis menggunakan pistol adalah keputusan yang wajar kerana ia dibuat untuk mempertahankan diri daripada serangan.

Sekiranya yang berlaku di Batu Pahat ini melibatkan pemuda PAS maka bukan sahaja pemain-pemain yang ditahan tetapi penyokong-penyokong juga akan menerima nasib yang sama. Media akan mengekspoitasi berita ini bagi menunjukkan bahawa PAS suka kepada kekecohan dan keganasan.

Itulah yang dinamakan ANTARA DUA DARJAT.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor
http://minda-kembara.blogspot.com/
26 Disember 2007
--------------------------------------------------------------
Pemuda UMNO Batu Pahat kesal - Utusan

BATU PAHAT 25 Dis. – Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat kesal dengan kejadian pengadil melepaskan tembakan pada Kejohanan Liga Bola Sepak Pemuda UMNO anjuran Jawatankuasa Penyelaras Pemuda Cawangan (JPPC) kelmarin.
Ketuanya, Zaidi Japar tidak menyangka perkara seperti itu berlaku kerana kejohanan itu dianjurkan sejak beberapa tahun lalu dan tidak pernah tercetus insiden penyokong dan pemain merusuh dan menyerang pengadil.

Menurutnya, pertandingan secara liga itu telah berlangsung selama enam bulan dan sebanyak 20 pasukan mengambil bahagian dengan pertandingan akhir yang berlangsung Ahad lalu menyaksikan pasukan Bumiputra Rengit FC menentang Rejo Sari FC.
Katanya, pengadil luar yang diiktiraf oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diambil bagi perlawanan akhir itu adalah bagi memastikan keputusan yang adil.
Bagaimanapun, kata Zaidi, pihaknya tidak menyangka pengadil berkenaan membawa senjata api dan melepaskan tembakan apabila berlaku kekecohan.
“Sebelum ini sudah banyak pertandingan dianjurkan tetapi kejadian kelmarin memang tidak pernah berlaku dan tidak dijangka boleh berlaku,'' jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
-----------------------------------------------------------
Pengadil tembak selamat diri - Berita Harian
JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis yang mengadili satu perlawanan bola sepak di Rengit, Batu Pahat, petang kelmarin dikatakan terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran selepas diserang pemain dan penyokong yang tidak berpuas hati dengan tindakannya melayangkan kad merah kepada seorang pemain.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin itu, anggota polis trafik berpangkat Lans Koperal dikatakan berbuat demikian bagi mempertahankan diri selepas mengganggap keselamatan dirinya terancam berikutan tindakan agresif pemain dan penyokong pasukan berkenaan.

Ketika kejadian, beliau yang bertugas di Unit Rondaan Lebuhraya Utara Selatan, Cawangan Trafik Bukit Aman itu mengadili perlawanan akhir antara pasukan Kampung Bumiputera dan Rejosari bagi merebut Piala Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Rengit.
Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail, berkata keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada salah seorang pemain dari pasukan Kampung Bumiputera yang melakukan kekasaran kira-kira lima minit sebaik separuh masa kedua bermula, mencetuskan rasa tidak puashati pemain lain.

Katanya, keadaan menjadi bertambah buruk apabila penyokong pasukan berkenaan turut masuk ke padang untuk membantah keputusan itu kerana menganggap ia berat sebelah.

"Apabila keadaan semakin tidak terkawal, anggota polis yang merasakan keselamatannya terancam bertindak melarikan diri ke arah keretanya sebelum mengeluarkan sepucuk pistol,” katanya.
"Apabila pemain dan penyokong terus menyerang, pengadil itu melepaskan tembakan amaran. Bagaimanapun, kami masih menyiasat jumlah tembakan dilepaskan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hussin berkata, anggota polis berusia 38 tahun yang memiliki tauliah pengadilan dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat tidak dibenarkan.

Selain itu, katanya, pihaknya menahan lima pemain berusia antara 23 dan 40 tahun mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

0 Pandangan