Bila Pintu Demokrasi Ditutup...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/14/2007 10:19:00 PM | 0 Pandangan »

Demokrasi bukan setakat 5 tahun sekali memangkah undi. Demokrasi juga tidak boleh dinilai dengan Parlimen yang megah berdiri (hanya syiling yang roboh). Apatah lagi mahu merumuskan demokrasi sebagai pemerintahan suatu parti sahaja.

Mengikut
Wikipedia, Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan di mana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat.

Sebuah
negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.Antara sifat demokrasi juga adalah perjalanan pilihanraya yang adil dan BERSIH; Hak mengundi kepada semua rakyat; Kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya); Kebebasan akhbar dan akses kepada media lain dan beberapa lagi sifat mengikut perlembagaan negara tersebut.

Demokrasi juga akan memastikan semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi
undang-undang. Salahsatu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undang-Undang Rule of Law.

Rakyat juga wajar mengetahui dan diberi pendidikan tentang
hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik. Ini adalah demokrasi yang secara umumnya telah dipelajari sewaktu di bangku sekolah.Hari ini, kita melihat pimpinan-pimpinan negara kita masih berkokok melaungkan negara kita masih mengamalkan demokrasi.

Namun begitu, rakyat khususnya merasakan demokrasi yang ada sudah jauh menyimpang, dan dunia sendiri telah melihat bagaimana Demokrasi ala Malaysia ini bilamana berlakunya peristiwa Himpunan Aman BERSIH pada 10 November lalu.

Sejurus selepas Himpunan BERSIH, Hindraf pula mendedahkan betapa tiada demokrasi dalam negara ini bilamana hak untuk mereka berhimpun dinafikan. Seperti Himpunan BERSIH, mereka turut dikenakan semburan air dan gas pemedih mata.

Penangkapan sudah menjadi perkara biasa.Bilamana bercakap soal demokrasi, hak sebagai rakyat perlu diberikan seperti berhimpun dan bersuara. Semua suara perlu didengari, namun tidak semua suara itu perlu diterima tuntutannya.

Disinilah letaknya demokrasi dalam menilai tuntutan dan hak yang perlu diberikan.
Apatah lagi jika tuntutan itu melampau dan menimbulkan rasa tidak senang yang melibatkan perkauman dan keagamaan yang sedia maklum dilindungi perlembagaan.Berhimpun dan berdemonstrasi juga adalah hak sebagai rakyat dalam negara Demokrasi untuk bersuara.

Ini boleh dilihat sebagai suatu 'kemuncak' selain kertas undi bagi menyatakan sebarang sokongan, bantahan, atau juga menyatakan pendirian setelah ruang perbincangan ditutup atau dinafikan.

Penggunaan polis oleh Menteri Dalam Negeri yang juga merupakan Perdana Menteri dalam menghalang sebarang bentuk perhimpunan dan demonstrasi dilihat bakal menutup ruang demokrasi. Ini berikutan cara polis mengawal himpunan, menyurai dan menahan peserta himpunan dilakukan dengan cara yang tidak mengikut lunas undang-undang.

Bukan sahaja tidak mengikut undang-undang perlembagaan, malah turut bercanggah dengan akta polis itu sendiri!Kebimbangan wajar dizahirkan semua pihak bilamana undang-undang sesuka hati ini digunakan dengan bermaharajela.

Ini berikutan tindakan yang tidak mengikut lunas undang-undang ini akan dilihat melampau, zalim, penuh hasad dengki dan gila kuasa. Sudah tentu ada pihak yang tidak akan berpuas hati dengan cara kerajaan menangani insiden yang berlaku, dan ini dibimbangi wujud puak yang tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi yang ada.

Bilamana demokrasi tidak lagi boleh diharap dan dipercayai, maka sudah tentu jalan penyelesaian lain yang akan digunakan. Jalan itu sudah tentu bukan lagi bersifat aman dan BERSIH, tetapi bakal mengundang huru-hara dan mungkin ke peringkat darah dan nyawa menjadi korban. Ketika itu, segala rundingan dan perbincangan tidak lagi boleh menjadi penyelesaian.

Sudah tentu situasi ketika itu tiada lagi warna yang segar dan indah. Tiada warna hijau menenangkan mahupun biru yang mendamaikan. Debu kering dan batu-batu bangunan yang runtuh akan menjadi pemandangan yang biasa. Kelabu dan merah akan menguasai suasana.

Berita-berita yang selama ini dilihat di kaca TV bakal dilihat di depan mata. Mahukah kita semua itu berlaku?

Ini bukan suatu amaran, tetapi fitrah menunjukkan manusia itu ada batas dan had dalam bertindak. Mungkin Perdana Menteri juga sudah hilang sabar kerana dicabar, tetapi kenapa tidak mengikut lunas undang-undang dan peraturan?

Mengapa hukum rimba yang dipergunakan?Sebelum terlambat dan sesuatu yang lebih buruk berlaku, ada baiknya apa yang telah berlaku dikaji semula. Rekod pembangkang khususnya PAS menyertai pilihanraya telah membuktikan parti itu bersungguh dalam menerima konsep demokrasi berparlimen di negara ini.

PAS membuktikan pilihanraya masih relevan jika dilaksanakan dengan telus dan BERSIH. Namun, bilamana semua jalan ditutup, bimbang juga tembok yang ada tidak mampu menahan air yang mulanya mengalir perlahan, namun lama-kelamaan bertukar menjadi Tsunami yang mampu meruntuhkan apa sahaja.

Sekali lagi ditegaskan, ini bukan amaran atau ugutan bagi mengeruhkan keadaan atau menimbulkan ketakutan. Namun ini peringatan bagi pemimpin yang zalim dalam memimpin bagi memastikan keselamatan dan keamanan kekal berpanjangan.

Mungkin pada perkiraan mereka, polis dan tentera mampu mengawal suasana jika berlaku apa-apa. Namun mungkin tidak dijangka mereka inilah yang paling awal menolak si penguasa!!.

Wallahua'lam.

Nota:Ini catatan dalam sedar. Sedar betapa zalim dan tertindasnya rakyat dengan pemerintah KUKU BESI ini. Nampak lembut dan slow, tetapi 'MAKAN DALAM'. Rakyat dinafikan hak, ditindas dan ditekan tanpa kasihan. Rakyat dipaksa angguk dan tunduk.

Ikut sahaja telunjuk..

Menyedari kesan kepada pencabulan kepada undang-undang ini, maka perlu kepada pembaikian secara segera bagi memastikan keselamatan dan keamanan dapat dikawal dan terjaga.

Jumaat, 14 Dis 2007
Kuala Terengganu.
daripada :
http://amdang81.blogspot.com

0 Pandangan