Isu kenaikan kos sara hidup kena dibahas dengan bijak

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 11/08/2007 11:40:00 AM | 0 Pandangan »

Isu kenaikan kos sara hidup kena dibahas dengan bijak
OLEH ZULKIFLI JALIL

Utusan Malaysia - 06/11/2007
KAEDAH dan taktik pengolahan bahas bagaimana untuk membolehkan bukan saja perwakilan seramai 2,552 orang yang berkumpul pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 hari ini malah rakyat dapat "menangkap" mesej dengan cepat dan tepat?
Siapa yang lebih berketerampilan dengan mengeluarkan hujah bernas, berpersonaliti serta mampu memastikan perwakilan `tidak meninggalkan’ kerusi Dewan Merdeka, PWTC walau ke tandas sekali pun.

Sudah tentu isu yang ramai diperkata sekarang ialah soal peningkatan kos sara hidup dan harga barang akibat kenaikan harga bahan api.

Di atas kertas , isu kenaikan kos sara hidup dan harga barang tidaklah sukar untuk dibangkit dan dihujahkan.

Namun, cabaran kepada pembahas usul nanti ialah bagaimana mereka bukan sahaja mampu mengutarakan fakta yang tepat tetapi lebih jauh lagi, inti pati bahas mampu diterjemahkan oleh para perwakilan ke bahagian dan cawangan.

Ini amat penting bagi membolehkan rakyat mendapat mesej yang betul pada masa ini yang jika dicongak cuma empat bulan sahaja menjelang pilihan raya umum ke-12 - `seandainya bulan 3 menjadi pilihan’.

Pengalaman penulis membuat liputan pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu menunjukkan isu kenaikan kos sara hidup dan minyak dipercayai salah satu sebab kekalahan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan bandar.

Ketika itu, parti pembangkang cepat "menangguk di air keruh" walaupun arus kepesatan ekonomi negara berkembang.

Natijahnya, beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri di Pending, Kota Sentosa dan Batu Lintang di bandar raya Kuching selain kerusi Parlimennya, dikuasai DAP.
Malahan, Kidurong yang terletak dalam bandar gas asli Bintulu kekal di tangan DAP.

Kerana itu, tanggapan kenaikan harga minyak dan barang sebagai sesuatu yang "amat menggerunkan" sukar ditolak.

Kenaikan minyak di pasaran dunia mencecah AS$100 dolar setong mewujudkan keadaan amat menyusahkan.

"Kita tidak boleh berterusan begini kerana kerajaan terpaksa memberi subsidi yang banyak. Dikhuatiri pada tahun 2011 negara terpaksa menjadi pengimport petrol.

"Jika bahan api dan petrol naik, banyak lagi barangan lain akan naik seperti tambang bas dan teksi,’’ kata seorang ketua Pemuda bahagian yang juga seorang arkitek di sebuah firma asing kepada Utusan Malaysia semalam.

Ironisnya, sumber minyak negara dipercayai semakin berkurangan sedangkan keperluan meningkat sebanyak enam peratus setahun.

Syarikat minyak negara, Petronas kini beroperasi di 23 negara dan ia perlu berniaga untuk mencari keuntungan.

Jika tidak berniaga, bagaimana mahu memberi subsidi kepada rakyat?

Pada saat ini, sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun, kerajaan mungkin dapat mengekang kenaikan harga minyak tetapi `apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh dua bulan ini’.

Kerana itu, penting bagi pembahas usul mengupas dan mencernakan kaedah untuk cara perbelanjaan berhemat yang perlu diikuti setiap keluarga di Malaysia.

Tanyalah diri sendiri cara hendak mengelakkan pembaziran.

Tutup hawa pendingin kereta ketika sedang menunggu isteri di luar pasar raya juga antara caranya.

Kurangkan makan di luar rumah hujung minggu juga boleh menjimatkan kos minyak.

Bagi kerajaan, ia telah menghapuskan yuran sekolah termasuk bayaran peperiksaan.
Ia berusaha mengawal inflasi tetapi harga barang tetap naik kerana `permainan’ peniaga tidak bertanggungjawab.

Jika kerajaan tidak menangani kenaikan harga barang, inflasi akan meningkat seterusnya kos hidup mencanak sekali gus rakyat menderita.

Itu belum lagi melayan kerenah syarikat tertentu yang meminta kenaikan perkhidmatan yang mereka bekalkan seperti kadar tol dan tarif elektrik.

Kerana itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pemimpin parti semua peringkat memberi penjelasan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi serta rakyat mengenai situasi ekonomi yang dihadapi sekarang.
Ini termasuk kemungkinan yang berlaku jika bahan bakar itu terus meningkat.

Di sinilah terletak cabaran yang perlu dipikul oleh para pembahas usul Perhimpunan Agung UMNO ke-58 selama tiga hari hingga Jumaat ini.

Apa pun, dengan rata-rata para perwakilan kini dari latar belakang bukan sembarangan termasuk profesional, soal bagaimana orang Melayu boleh mendapat manfaat dari tiga koridor pembangunan ekonomi serta cara menyesuaikan diri dengan kenaikan harga harga minyak, diyakini dapat dikupas dengan tepat dengan penghasilan idea-idea baru dan bernas.- Utusan

0 Pandangan