Wanita untuk dikasihi, bukan jadi mangsa keganasan.

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/17/2007 01:17:00 PM | 0 Pandangan »

Ketika sedang mencari barita tentang feri karam di Mersing baru-baru ini, saya terjumpa asatu artikel/rencana berkaitan dengan keganasan terhadap golongan wanita dalam Berita Harian online. Bacalah...
-----------------------------
WANITA adalah insan yang perlu dihormati dan dihargai. Jasa dan pengorbanannya sebagai ibu dan isteri tidak terhingga nilainya. Sebagai ibu mereka sentiasa berkorban untuk memelihara, mendidik dan membesarkan anak. Sebagai isteri pula mereka sentiasa menjadi teman hidup yang setia untuk suaminya.

Dalam dunia moden hari ini mereka turut sama menyumbang tenaga membangun dan memajukan negara. Di sisi Islam segala bentuk amal ibadat dan kebaikan yang dilakukan oleh wanita adalah sama ganjarannya seperti yang dilakukan lelaki, malah jika ketakwaan seorang wanita itu lebih tinggi daripada seorang lelaki yang melakukan ibadat yang sama maka nilai ganjarannya lebih tinggi.

Pun begitu dalam keadaan tertentu, bagi seorang wanita bergelar isteri, amal ibadatnya akan mendapat nilaian, jika ia tidak mereka juga lebih terdorong dibuai emosi dan gemar dimanjakan dan dibelai oleh pasangannya. Kelemahan ini sering diambil kesempatan oleh lelaki tidak bertanggungjawab untuk memperdayakannya wanita. Lelaki yang tidak berhati perut juga mudah melakukan keganasan ke atas wanita.

Oleh kerana wanita mudah terpedaya dengan pujuk rayu seorang lelaki maka mereka sering terperangkap dengan niat buruk lelaki yang ingin memperdayakannya. Dalam masyarakat yang berakhlak dan bermoral wanita perlu dilindungi daripada segala bentuk tingkah laku yang boleh menjatuhkan maruah dan harga dirinya. Mereka harus dilindungi daripada jenayah seperti rogol, pelacuran dan segala bentuk kekerasan yang memudaratkan fizikal, mental dan emosinya.

Namun, realiti yang wujud hari ini ialah wanita masih berdepan dengan ancaman keganasan. Jenayah keganasan yang dihadapi wanita bukan saja boleh berlaku di luar rumah bahkan juga di dalam rumah. Yang menyedihkan kita ialah apabila keganasan ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri (keganasan rumah tangga).

Di negara kita, sungguhpun kerajaan telah menguatkuasakan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, namun statistik tetap menunjukkan kes keganasan terhadap wanita tidak banyak berubah.

Misalnya, dari 2000-2005 ada sebanyak 18,079 kes keganasan rumah tangga, 9,204 kes rogol, 1,648 kes sumbang mahram, 942 kes liwat dan 8,955 kes pencabulan kehormatan. Jenayah rogol dari 1997-2004 dikatakan berlaku sebanyak 4.7 kes sehari. Penggunaan internet untuk menyebarkan gambar lucah termasuk gambar yang dirakam secara sulit atau rahsia tanpa pengetahuan mangsa melalui penggunaan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) semakin berleluasa.

Dalam era globalisasi ini wanita semakin dieksploitasi dan dijadikan sebahagian daripada barang komoditi demi meraih keuntungan yang lumayan. Kadang-kadang wanita dieksploitasi secara terhormat melalui bidang pengiklanan. Malangnya dalam keadaan ini kita mendapati wanita itu sendiri rela dan berasa bangga untuk memberikan khidmat mereka kepada kerakusan kapitalis atas nama profesionalisme.

Wanita tidak seharusnya melihat kepada material atau wang ringgit semata-mata, sebaliknya harus menyedari kewujudan elemen pengekploitasian terhadap kecantikan tubuh badan mereka. Perlu difahami bahawa isu keganasan wanita sudah menjadi fenomena sejagat yang merentasi sempadan kaum dan budaya.

Justeru, Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac lalu telah memilih tema 'Ending Impunity for Violance Against Women' (VAW). Ini menggambarkan bahawa masalah keganasan yang ditujukan khusus untuk wanita perlu ditangani secara berkesan. Justeru, kempen antigangguan seksual melalui media massa mesti diperhebatkan secara konsisten (bukan bermusim).

Kawalan terhadap majalah yang berunsur lucah dan mengeksploitasi tubuh badan wanita mesti dilaksanakan secara tegas. Ini termasuk membanteras kemasukan hampir 300,000 naskhah majalah berunsur lucah secara haram dari luar negara, khususnya dari negara China ke pasaran tempatan.

Pertubuhan wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan hak asasi manusia dan kesatuan sekerja mesti memainkan peranan lebih berkesan. Kod Etika Gangguan Seksual yang telah pun diperkenalkan pada 1999 perlu diperkemas dan dimantapkan lagi.

Begitu juga dengan Akta Keganasan Rumah Tangga perlu dikaji semula keberkesanan dan kelemahannya supaya ia mempunyai impak perundangan yang berkesan. Apa juga bentuk mesej lucah yang dihantar melalui SMS dan e-mail sewajarnya dianggap satu kesalahan di sisi undang-undang dan mesti mempunyai peruntukan jelas dalam undang-undang berkaitan.

Di samping itu, mestilah ada usaha untuk menghentikan pengeksploitasian seks sebagai komoditi dalam semua bentuk media seperti akhbar, majalah, novel, internet, video dan sebagainya.

0 Pandangan