Pesta Jual Tanah Bermula!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/20/2007 10:09:00 PM | 0 Pandangan »

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Tajuk : WPI : KEBIMBANGAN YANG MENJADI KENYATAAN

Kebimbangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) terhadap masa depan tanah-tanah milik golongan melayu/bumiputera akan tergadai mula menjadi kenyataan apabila Buletin Utama TV3 malam ini memaparkan bagaimana pemaju pembangunan sudah mula menawarkan kepada pemilik tanah untuk membeli tanah-tanah milik mereka sejak berkurun lama dengan harga yang cukup tinggi.

Seorang pemilik tanah telahpun mengakui bahawa telah menerima tawaran jualbeli tanah dengan harga RM 350 ribu bagi satu ekar tanah. Beliau menyebut bahawa proses jualbeli tanah tersebut telah diproses dan sedang menunggu penyerahan milik sahaja.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) yakin bahawa ramai lagi pemilik tanah yang telahpun merelakan tanah-tanah mereka untuk dibeli oleh mana-mana broker atau pemaju tanah dengan tawaran yang cukup lumayan.

Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Gelang Patah yang turut ditemuramah mengharapkan agar penduduk yang terlibat supaya jangan mudah termakan pujuk rayu daripada broker-broker tanah tersebut. Beliau juga berharap agar agensi-agensi kerajaan dapat membantu memajukan tanah-tanah orang melayu yang terlibat dengan pembangunan dalam WPI.

Inilah ‘bencana’ yang cukup membimbangkan PAS seolah-olahnya pembangunan yang dicanangkan oleh kerajaan UMNO/BN kononnya akan membantu rakyat Johor terutamanya kepada orang melayu/bumiputera dalam WPI sebenarnya masih tidak dirancang dengan teliti sehingga menyebabkan agensi-agensi kerajaan terlambat untuk memikirkan apakah bentuk ekonomi yang dapat dibangunkan terhadap tanah-tanah milik orang melayu.

Bagi pemilik tanah, dengan tawaran RM 350 ribu untuk seekar tanah bukanlah satu tawaran yang mudah untuk dilepaskan dengan begitu sahaja. Menanti perancangan daripada agensi-agensi kerajaan sudah tentu melambatkan usaha pemilik tanah untuk menjadi ‘orang kaya segera’.

DPPNJ cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana sudah pasti kampung-kampung tersebut akan hilang ditelan pembangunan sekiranya tanah-tanah kampung sudah terjual kepada broker dan pemaju tanah.

Walaupun belum diketahui siapa yang menjadi pembeli tanah-tanah milik melayu/bumiputera ini tetapi ia akan tetap hilang daripada pemiliknya yang asal.

Kebimbangan DPPNJ bahawa sejarah kesilapan Sultan Husin Syah dan Temenggong Ibrahim menyerahkan Singapura kepada British serta kesilapan Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura kepada Malaysia pada tahun 1965 akan berulang bagaikan ‘luka lama berdarah kembali’ kepada seluruh rakyat Malaysia.

Inilah nilai pembangunan yang digilai oleh pemimpin UMNO/BN yang tidak memikirkan pembangunan masa panjang. Walaupun mereka tahu kesan buruk akan diterima oleh generasi depan terhadap pembangunan ini tetapi mereka lebih mementingkan keuntungan peribadi mereka sahaja.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
http://minda-kembara.blogspot.com/
20 Oktober 2007

0 Pandangan