Banyaknya Harta...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/30/2007 05:38:00 PM | 0 Pandangan »

Datuk Ramli: Saya didakwa tidak isytihar harta RM27 juta - Malaysiakini
Oct 30, 07 2:50pm

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID), Datuk Pahlawan Ramli Yusuff hari ini mendedahkan bahawa beliau adalah pegawai kanan polis yang sedang disiasat berhubung dakwaan tidak mengisytiharkan harta bernilai RM27 juta.

"Walaupun nama pegawai tersebut tidak disebut, tetapi ia sudah diketahui umum bahawa saya adalah pegawai yang dimaksudkan dalam berita yang telah disensasi itu," kata Ramli dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini pihak media melaporkan seorang pegawai kanan polis yang tidak disebut namanya, sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salahguna kuasa dan gagal mengisytiharkan hartanya.

Laporan media itu juga mendakwa bahawa pegawai berkenaan gagal mengisytiharkan kedudukannya sebagai pengarah dalam sebuah syarikat dan dia didakwa telah mengumpulkan harta bernilai RM27 juta secara haram.

Difahamkan, Ramli telah diarah mengisytiharkan hartanya. Beliau berbuat demikian pada 19 September lalu kepada seorang timbalan pendakwaraya BPR. Pengumuman Ramli itu dibuat dalam satu sidang akhbar di ibupejbat CCID di Bukit Perdana, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kenyataan tiga muka surat itu, Ramli juga membuat beberapa dakwaan termasuk para pegawai CCID telah dianiayai oleh BPR dan mereka tidak diberi perlindungan oleh pasukan polis sendiri.

Perintah buang daerah
Dalam kenyataannya itu, Ramli berkata beliau telah berdiam diri sehingga hari ini berhubung perkembangan dalam pasukan polis, terutama berhubung tangkapan dan pendakwaan terhadap pegawai-pegawai CCID yang didakwa telah memalsukan kenyataan pemberi maklumat berhubung perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa bersama dan sebuah pasukan khas, masing-masing ditubuhkan di peringkat kabinet dan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu untuk membanteras kegiatan Along dan perjudian haram.

Pada bulan Mac 2007, katanya, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah memberi arahan-arahan khusus kepada CCID berhubung kegiatan sindiket-sindiket jenayah tertentu yang beroperasi di Johor, yang membabitkan beberapa orang Datuk dan JP.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan oleh CCID telah membawa kepada penahanan dan perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku, ke Jeli Kelantan. Perintah penahanan dan buang daerah itu, kata Ramli, dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berdasarkan kepada hasil risikan yang dikumpulkan para pegawai CCID.

Menurut Ramli lagi, Goh pernah dibuang daerah sebelum ini dan pernah terbabit dalam satu kejadian tembak menembak di mana seorang rakannya telah ditembak dan dibunuh.

Sebab perintah buang daerah di keluar terhadap Goh, tambahnya, adalah perkara di dalam bidangkuasa dan budibicara Timbalan Menteri Dalam Negeri dan, oleh itu, beliau tidak boleh mengulas mengenainya.

Laporan media

Tidak lama selepas perintah buang daerah itu dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, pihak akhbar telah melaporkan bahawa BPR dan CCID telah menyiasat dan membersihkan Goh dari sebarang kesalahan.

Dan ini, tambah Ramli, tidak termasuk siasatan CCID terhadap kegiatan Goh sepertimana yang diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Selepas tersiarnya laporan media itu, katanya, Goh telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan perintah buang daerah yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri tehadapnya.

Menurut Ramli lagi, dalam satu tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Penasihat Undang-undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, seorang pegawai Pejabat Peguam Negara, enggan memberi nasihat dan sebaliknya mengarahkan beliau dan pegawainya menyediakan afidavit mengenai kertas siasatan terhadap Goh.

Afidavit tersebut, tambahnya, adalah untuk difailkan di mahkamah ekoran permohonan Goh untuk mengenepikan perintah buang daerah terhadapnya. Ekoran kesuntukan masa, kata Ramli, pegawai CCID terpaksa mendapatkan nasihat perundangan daripada sebuah firma guaman yang kemudiannya membantu mereka menyediakan draf afidavit tersebut.

Menurut Ramli lagi, beliau dan pegawainya kemudiannya diarahkan supaya menyerahkan fail-fail sulit kes yang mengandungi nama-nama pemberi maklumat, kepada Pejabat Peguam Negara.

Siasatan BPR

Katanya, beliau mendapat tahu bahawa pegawai-pegawai BPR telah mengesan pemberi maklumat dan mengambil kenyataan mereka.

Kemudiannya, tambah beliau, pemberi maklumat tersebut telah membuat kenyataan selanjutnya berhubung permohonan mereka untuk mendapatkan perlindungan dari Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika semua itu berlaku, katanya, pihak media telah melaporkan secara meluas mengenai pembabitan seorang pegawai kanan polis dalam perkara-perkara berikut:

- Siasatan oleh BPR terhadap pengumpulan harta yang didakwa bernilai RM27 juta;
- BPR menyiast seorang pegawai kanan polis yang menjadi pengarah/pemegang saham sebuah syarikat di Sabah tanpa mendapat kelulusan pihak jabatannya; dan
- Menyiasat kes salahguna kuasa oleh CCID dalam tindakan pencegahan jenayah berhubung penahanan dan perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku.

Menurut Ramli lagi,walaupun nama pegawai berkenaan tidak disebut, tetapi ia telah menjadi pengetahuan umum bahawa beliau adalah pegawai yang dimaksudkan dalam berita-berita yang telah disensasi itu.

Katanya, beliau difahamkan bahawa seorang pegawai BPR yang bernama Sok One a/i Esen, telah memfailkan satu afidavit dalam prosiding yang difailkan oleh Goh untuk mengenepikan perintah buang daerah terhadapnya.

Dalam afidavit tersebut, katanya, Sok One mengesahkan bahawa BPR sedang menyiasat CCID berhubung dakwaan Goh bahawa para pegawai CCID telah menyalahgunakan kuasa mereka.

'Pegawai CCID dianiaya'

Menurut Ramli lagi, sehari sebelum Hari Raya, seorang rakan lamanya yang juga menjadi penasihat undang-undangnya telah ditangkap dan didakwa kerana gagal mematuhi satu notis arahan ke atas yang dikeluarkan oleh BPR.

Katanya, salah seorang pegawai yang hadir pada masa rakannya ditangkap dan ditahan adalah Sok One. Rakannya itu juga, kata Ramli, turut membantu para pegawai CCID menyediakan afidavit yang difailkan dalam prosiding berhubung dengan kes Goh.

Dalam tempoh seminggu, tambahnya, beberapa pegawai CCID telah ditangkap dan didakwa di mahkamah atas dakwaan memalsukan bukti berhubung perintah buang daerah terhadap Goh. Katanya, dalam kertas tuduhan, nama-nama pemberi maklumat telah didedahkan.

Menurut Ramli, beliau memandang berat terhadap cara identiti pemberi maklumat polis ditangani dalam siasatan yang dijalankan oleh BPR. Beliau mendakwa, identiti pemberi maklumat tersebut diperolehi tanpa melalui Perintah Tetap Ketua Polis Negara.

Berdasar apa yang telah berlaku itu, katanya, wujud bahaya yang jelas terhadap kemampuan risikan pasukan polis dan kemampuannya untuk melindungi pemberi maklumat mereka.

Ramli menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang membimbangkan dan tidak dapat dinafikan akan memberi kesan yang besar, bukan sahaja kepada CCID tetapi juga kepada pasukan polis keseluruhannya. Beliau juga mendakwa bahawa para pengawai CCID telah dianiaya oleh BPR dan malah mereka juga tidak mendapat sebarang sokongan daripada PDRM sendiri.

Ramli mengakhiri kenyataannya itu dengan menyatakan bahawa beliau akan berlepas untuk mengerjakan umrah dan menyuarakan harapannya agar isu tersebut dapat ditangani oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

0 Pandangan