"PAS for All": Pemuda PAS edar kuih bulan di Rumah Orang Tua Ampang

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 9/25/2007 11:28:00 PM | 0 Pandangan »




Nyza Ayob Tue Sep 25, 07 4:34:41 pm MYT
AMPANG, 25 Sept (Hrkh) - Bersesuaian dengan slogan 'PAS For All' yang melangkaui sempadan, kaum dan agama, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama Pemuda PAS Selangor buat julung kali, hari ini mengedarkan kuih bulan kepada 50 orang penghuni Rumah Orang Tua Ampang.

Rombongan yang diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil disambut baik oleh penghuni-penghuni yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Pada masa yang sama mereka turut mengedarkan buletin 'Rhe Min She She' iaitu buletin berbahasa Cina terbitan LPN.

Ustaz Nasaruddin yang ditemui selepas mengedarkan kuih bulan tersebut, menyatakan langkah ini bersesuaian dengan slogan 'PAS For All' yang dilancarkan baru-baru ini, selain membentuk persepsi yang positif masyarakat bukan Islam terhadap perjuangan PAS.

Justeru katanya aktiviti mengedarkan kuih bulan ini akan dijadikan aktiviti tahunan LPN.

Dalam pada itu, jelas Khairul Faizi, sebelum ini, pengedaran kuih bulan dianjurkan oleh LPN PAS Pusat. Manakala tahun ini, LPN Pemuda PAS Pusat, selain mengedarkan di peringkat pusat, mereka juga mengambil inisiatif mngedarkan di peringkat negeri di mana sasaran mereka ialah di pejabat-pejabat akhbar berbahasa Cina.

"Pengedaran kuih bulan ini telah menjadi agenda untuk kita merapatkan hubungan dengan masyarakat Cina," jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Rumah Orang Tua Ampang, Chea Soon Seong menyatakan sukacita dengan kunjungan PAS. Tambahan pula, pemberian kuih bulan memang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan warga emas setiap tahun.

"Mereka memang sungguh seronok apabila ada individu atau kumpulan yang menghulurkan kuih bulan untuk mereka. Memperolehi kuih bulan seolah-olah mereka menyambut 'bulan yang sudah tiba', katanya yang mengharapkan kunjungan seperti ini akan diteruskan pada tahun akan datang.

Rumah orang Tua Ampang yang terletak di Jalan Merdeka Kampung Bahru, Ampang telah dibina kira-kira 60 tahun yang lalu atas ihsan orang ramai. Kebanyakan penghuninya terdiri daripada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, yang tidak mempunyai keluarga serta sanak saudara. - mns

0 Pandangan