NEGARA KORUP : Isu harga melampau: PAC temui Ketua Audit

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 9/12/2007 09:11:00 AM | 0 Pandangan »




KUALA LUMPUR 11 Sept. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai laporannya yang dikeluarkan Jumaat lalu.

Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, antara isu tumpuan ialah mengenai harga tidak munasabah yang dikenakan oleh pihak kontraktor terhadap kontrak kerajaan.
Beliau berkata, selain audit, pihaknya akan memanggil agensi kerajaan terbabit sekiranya memerlukan penjelasan.

‘‘Untuk peringkat pertama ini, kita akan bertemu dengan Ketua Audit Negara untuk mendengar taklimat mengenai segala butiran yang terdapat di dalam laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.

‘‘Daripada laporan itu kita akan melihatnya satu persatu khususnya mengenai pembayaran tidak munasabah terhadap kontrak-kontrak kerajaan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan Ketua Audit Negara yang mengkritik beberapa kementerian kerana menerima tawaran harga kontraktor yang terlalu tinggi dalam pembelian peralatan tertentu.

Antaranya, Ambrin menegur proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada harga yang melebihi harga pasaran hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Shahrir berkata, setelah proses mengadakan pertemuan dengan semua pihak terbabit selesai, PAC akan membuat satu kesimpulan punca ketirisan itu berlaku.

‘‘Saya membayangkan mungkin perkara ini berlaku disebabkan pelaksanaan sistem runding terus dan bukannya tender terbuka.

‘‘Namun begitu ia hanya andaian sahaja. Sebagai badan profesional saya perlu mendapatkan jawapan yang tepat setelah mengadakan pertemuan dengan semua pihak terbabit,’’ tambahnya.

0 Pandangan