Seriuskah UMNO Johor Memperjuangkan Bahasa Melayu?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/30/2007 12:59:00 AM | 0 Pandangan »

Apabila keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan peningkatan terhadap keputusan mata pelajaran Sains dan Matematik sekali gus seolah-olahnya menunjukkan bahawa tindakan kerajaan dalam perkara ini adalah tindakan yang berada di landasan yang betul, ada yang mula mempersoalkan terhadap dakwaan bahawa Bahasa Inggeris tidak sesuai dijadikan bahasa pengantar dalam mata pelajaran-mata pelajaran tersebut.

Menariknya, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Bin Othman telah menjadi sasaran pemberita kerana UMNO Johor sebelum ini cukup konsisten menentang perlaksanaan pengunaan Bahasa Inggeris (BI) ini. Beliau telah diminta mengulas mengenai Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMBI) yang diperkenalkan sejak 2005 yang dikatakan tidak menjejaskan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran itu pada peperiksaan PMR 2007.

Abdul Ghani yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyatakan bahawa beliau tetap yakin bahawa Bahasa Malaysia paling berkesan untuk digunakan dalam mengajar subjek Matematik dan Sains serta menjelaskan bahawa penggunaan BI tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan keputusan yang dicapai untuk kedua-dua subjek tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya tetap yakin bahawa bahasa ibunda adalah cara terbaik bagi sesebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan.

Abdul Ghani juga berhujah bahawa penggunaan Bahasa Ibunda adalah cara terbaik bagi sesebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan telah pun dibuktikan oleh sejarah dan pakar-pakar pendidik di peringkat antarabangsa. Beliau juga mahu langkah memperkasakan bahasa Inggeris dilaksanakan dalam mata pelajaran bahasa tersebut iaitu melalui kaedah yang lebih baik dan tersusun.

Saya tidak nafikan bahawa UMNO Johor cukup konsisten apabila berbicara soal penggunaan BI ini walaupun dalam masa yang sama agak terlalu kurang kenyataan yang sama dikeluarkan oleh pimpinan UMNO daripada negeri yang lain. UMNO Johor dalam beberapa kenyataannya telah beberapa kali menegaskan bahawa Bahasa Malaysia perlu diberikan tempat sebagai bahasa ilmu dalam pendidikan negara termasuklah dalam PPSMBI.

Dalam konvensyen UMNO Johor pada 5 November 2006, Badan Perhubungan UMNO Johor membantah PPSMBI di sekolah-sekolah kerana dasar tersebut hanya menyebabkan bangsa Melayu kehilangan identiti dan jati diri. Abd Ghani berkata bahawa pendirian itu tetap tidak berubah sejak pengumuman pertama pelaksanaan sistem tersebut kerana ia berhubung rapat dengan soal maruah dan martabat bangsa.

Beliau mempersoalkan kenapa kerajaan sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi mengubah kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains ke bahasa Inggeris, sama ada buku teksnya, rujukannya, latihan gurunya, mengapa semua itu tidak dibelanjakan untuk peningkatan mata pelajaran bahasa Inggeris?

Abdul Ghani juga menjelaskan bahawa jika pelajar menggunakan 38 peratus bahasa Inggeris dalam pembelajarannya di tingkatan tiga, jumlah tersebut akan meningkat hampir sekali ganda iaitu 64 peratus di tingkatan empat dan lima serta mencecah 80 peratus penggunaan di kalangan pelajar tingkatan enam dan matrikulasi. Di peringkat universiti, hanya kursus sastera dan pengajian Islam di ajar dalam bahasa Melayu sehingga ia akan akan menyebabkan anak Melayu tidak terdorong untuk kekal dengan bahasa ibunda mereka.

UMNO Johor terus membuktikan kekonsistenannya dalam isu ini dengan menunjukkan sikap UMNO Johor dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2006 dan 2007. Jurucakap UMNO Johor menjelaskan bahawa membangkitkan isu penggunaan bahasa ini bukan bermakna UMNO Johor bukan menolak penggunaan Bahasa Ingeris dalam penggunaan harian tetapi UMNO Johor mengingatkan bahawa BAhasa Melayu adalah jati diri yang dapat mengangkasakan tamadun bangsa.

Sama ada melalui kenyataan media Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) atau pandangan peribadi saya telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan isu ini. Pada 28 Jun 2005, DPPNJ telah mengulas kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru yang ketika itu sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC), Dato Shahrir Samad yang menyatakan bahawa UMNO Negeri Johor akan membahaskan secara mendalam penggunaan BI dalam pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik

Dalam kenyataan ini, DPPN Johor berharap agar tindakan UMNO Johor ini akan dilihat petanda kepada kerajaan bahawa rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu menolak PPSMBI ini seperti mana yang telah diperjuangkan oleh PAS dan BA.

UMNO Johor sekali lagi membahaskan secara mendalam dan menyatakan komitmen mereka untuk mempertahankan Bahasa Malaysia dalam matepelajaran Sains dan Matematik sehingga mendapat ulasan daripada bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman menyokong resolusi dan mengucap syabas dan tahniah kepada UMNO Johor kerana menentang PPSMBI.

Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO Johor cukup konsisten dalam perjuangannya dalam mempertahankan bahasa Ibunda namun sehingga nampaknya masih belum lagi menampakkan hasilnya. Sama ada pandangan Abdul Ghani ini adalah pandangan peribadi beliau dan kesemua pimpinan UMNO Johor terpaksa akur dengan pandangan tersebut tetapi yang pentingnya suara ini dilahirkan daripada konvensyen UMNO Johor. Konvensyen UMNO di negeri-negeri yang lain agak ‘lesu’ membicarakan tentang perkara ini. Tetapi itulah budaya dalam UMNO yang sentiasa berusaha untuk menjadi ‘yes man’ kepada apa jua yang pemimpin mereka katakan.

Berbalik kepada isu mempertahankan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Malaysia yang sepatutnya dijadikan sebagai bahasa dalam PPSMBI, saya kira pandangan UMNO Johor ini mestilah diberikan keutamaan dan perhatian oleh pucuk pimpinan UMNO di seluruh negara kerana suara UMNO Johor adalah suara daripada kubu UMNO yang paling kuat di Malaysia malahan yang paling kuat di seluruh dunia.

Apa yang UMNO Johor hujahkan adalah selari dan serasi dengan apa yang telah diperjuangkan oleh PAS dan tokoh-tokoh bahasa di Malaysia. Malah, Kongres Bahasa yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah cukup serius mempertahankan agar BM digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Namun, pandangan UMNO telah dipandang ringan oleh kepimpinan UMNO sendiri di semua peringkat. Saya berpandangan bahawa sekiranya UMNO Johor cukup serius untuk memperjuangkan bahasa melayu maka bukan sekadar membahas dan meluluskan dalam konvensyen ataupun berucap di dalam persidangan Agong Tahunan UMNO sahaja tetapi perlu dipertingkatkan dengan lebih aggresif lagi.

Apakah sukar untuk kepimpinan UMNO turun padang bagi mendapatkan sokongan rakyat Johor terhadap pendirian UMNO Johor ini? UMNO Johor juga boleh mengadakan pertemuan dengan pakar bahasa bagi mencari jalan yang lebih effisien untuk kembali memartabatkan kembali bahasa melayu. Mungkin juga UMNO Johor boleh mengadakan diskusi terbuka berkaitan dengan isu ini. Atapun mungkin UMNO Johor boleh mengambil jalan terakhir mengadakan himpunan aman (Pak Lah Kata : Ini Bukan Budaya Kita) untuk membuktikan bahawa perkara ini cukup serius untuk ditangani.

Namun, saya yakin bukan mudah untuk UMNO Johor melakukannya tindakan-tindakan ini kerana ia bukan budaya UMNO yang berani ‘menderhaka’ kepada kepimpinannya. Maka, cukuplah sekadar membangkitkannya di dalam konvensyen UMNO ataupun melalui Persidangan Agong UMNO yang berlangsung setahun sekali. Mungkin pemimpin UMNO Johor juga terfikir yang mana yang lebih penting; memperjuang bahasa Melayu atau memperjuangkan kedudukannya dalam UMNO.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
29 Disember 2007
019-7701830

0 Pandangan