Badan Khas Untuk BERSIHkan Polis

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12/28/2007 09:33:00 PM | 0 Pandangan »

Aktivis mahu bentuk gabungan bantah SCC - Malaysiakini
Chua Sue-Ann Dec 28, 07 7:53pm


Satu mesyuarat yang diadakan untuk membincangkan rang undang-undang Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah gabungan untuk melancarkan kempen penubuhan sebuah badan yang benar-benar bebas dan mempunyai kuasa untuk membersihkan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang menganjurkan persidangan meja bulat parlimen pagi ini, menggesa ditubuhkan sebuah gabungan masyarakat sivil untuk mengetuai kempen meminda rang undang-undang Suruhanjaya Khas Aduan (SCC) atau memulihkan semula rang undang-undang IPCMC.
Rang undang-undang SCC yang dibentangkan oleh kerajaan telah dikritik hebat sebagai 'hanya tempias' daripada rang undang-undang IPCMC, yang didraf oleh Suruhanjaya Diraja Polis untuk menambahbaik Operasi dan Pengurusan PDRM dua tahun lalu.
Memandangkan bantahan hebat terhadap SCC - yang disifatkan oleh pihak pembangkang dan bekas anggota Suruhanjaya Diraja Polis sebagai "benda lain" - pembentangan rang undang-undang itu telah ditangguhkan hingga ke sidang Parlimen yang akan datang pada Mac 2008.
Pengerusi jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon, yang menghadiri persidangan hari ini memberitahu mengenai rancangan majlis tersebut untuk memulihkan gabungannya dengan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk melancarkan kempen menuntut penubuhan IPCMC.
November lalu, Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh mengetuai delegasi 10 anggota NGO dan parti politik untuk menyerahkan memorandum menyokong penubuhan IPCMC.
Memorandum tersebut, yang disokong oleh lebih 300 badan masyarakat sivil dan parti politik, diterima oleh Setiausaha Sulit kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaakob.
Menurut Bon, Majlis Peguam akan mengadakan satu mesyuarat awal tahun depan dengan badan-badan sivil untuk membincangkan cara-cara untuk memulihkan cadangan penubuhan IPCMC atau meminda rang undang-undang SCC.
Tangani kebimbangan polis
Bon mengulangi ketidakpuashati Majlis Peguam terhadap skop cadangan rang undang-undang SCC, anggotanya serta kuasa menyiasatnya walaupun mereka mengalu-alukan suruhanjaya tersebut menyiasat semua pegawai penguatkuasa dan bukan setakat anggota polis.
Bercakap dalam sidang meja bulat tersebut, bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan hakim dan peguam, Datuk Param Cumaraswamy pula menegaskan perlunya ditangani dan dikikis kebimbangan pasukan polis terhadap IPCMC.
"(Pihak polis mungkin) merasa tidak selamat jika sebuah badan pengawasan diwujudkan untuk memantau pelakuan dan prestasi mereka. Kita juga perlu menangani kebimbangan pihak polis," kata Param yang menjadi presiden Majlis Peguam pada 1988.
Param mencadangkan agar badan pengawasan polis yang bebas di luar negara dijemput ke Malaysia untuk memberi penerangan mengenai bagaimana mereka menjadikan tugas masing-masing.
Beliau juga menggesa pihak polis supaya jangan takut terhadap kuasa-kuasa IPCMC yang dicadangkan itu.
"Jangan bimbang terhadap mekanisme pengawasan tersebut kerana dalam jangka masa panjang, mereka akan mendapat faedah daripadanya - iaitu keyakinan tinggi masyarakat terhadap agensi-agensi penguatkuasa negara," katanya.
Pihak polis menentang kuat cadangan penubuhan IPCMC tetapi nampaknya pasukan itu bersetuju terhadap penubuhan SCC.
'PM mungkir janji'
Sementara itu, Lim mengingatkan semula tentang janji Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi empat tahun lalu untuk membersih dan menambahbaik perkhidmatan pasukan polis.
Lim berkata, SCC tidak boleh diterima bagi menggantikan IPCMC, yang disifatkannya sebagai telah "melanggar janji-janji" Abdullah.
Rang undang-undang SCC dibentangkan hampir dua tahun selepas Abdullah menyetujui penubuhan IPCMC.

Lim merupakan antara pengkritik hebat cadangan penubuhan SCC, yang antara lain, kerana ia kurang kuasa dan kebebasan.

Beliau membandingkan masa yang diambil untuk rang undang-undang IPCMC dibentangkan di Parlimen, berbanding dengan betapa cepatnya pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan tempoh perkhidmatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilanjutkan.

"Ia menunjukkan bahawa jika (kerajaan) mahu sesuatu dilakukan, mereka boleh melakukannya. Jika tidak, mereka boleh mengambil masa empat tahun dan terus berlanjutan," katanya.

Bekas pesuruhjaya tidak hadir

Tidak seorangpun bekas anggota Suruhanjaya Diraja Polis menghadiri sidang meja bulat mengenai IPCMC hari ini.

Lim berkata, bekas anggota suruhanjaya itu, Tunku Abdul Aziz Ibrahim telah bersetuju menghadiri persidangan hari ini tetapi perlu memenuhi temujanji dengan doktor.

Aziz yang juga bekas pengerusi Transparency International Malaysia mengecam cadangan penubuhan SCC, yang disifatkannya sebagai penghinaan kepada rakyat dan anggota Suruhanjaya DIraja Polis.

Dalam sesi tersebut, Lim turut membaca SMS dari seorang lagi anggota Suruhanjaya Diraja Polis, Datuk Michael Yeoh, yang sedang berada di luar negara. Dalam mesej itu, Yeoh menyatakan kekecewaannya terhadap SCC.

Yeoh berkata, walaupun beliau mengalu-alukan kuasa SCC untuk menyiasat agensi-agensi penguatkuasa selain daripada polis, tetapi rang undang-undang itu mesti dipinda untuk menambah kebebasannya serta kuasanya untuk menyiasat dan mendakwa

0 Pandangan