GURU PASTI : PENGORBANAN GURU KELAS PERTAMA

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 5/14/2007 04:45:00 PM | 1 Pandangan »

Detik 16 Mei adalah detik yang sangat bermakna kepada warga negara Malaysia yang bergelar ‘guru’. Sama ada guru tadika, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah dan guru agama, mereka adalah guru.

Pengorbanan guru tetap akan dilafazkan dan dijelmakan setiap kali menjelang 16 Mei pada setiap tahun. Jasa guru akan disebut-sebut oleh pihak pemerintah sehinggalah kepada murid-murid yang masih bersekolah. Guru akan dilihat sebagai ‘lilin’ yang sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.

Allahyarham Dato’ Usman Awang pernah menulis sebuah sajak bertajuk “Guru Oh Guru” pada tahun 1979 yang didedikasikan kepada guru-guru yang terus menabur bakti dan jasa. Diantaranya ;

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Bagi saya, sejak berkecimpung dalam pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sejak tahun 2000, saya sunggup kagum dengan pengorbanan mereka yang sanggup menyerahkan diri kepada PASTI sebagai tenaga pengajar. Mengajar di PASTI tidak sama dengan mengajar di tadika kerajaan ataupun swasta yang lain.

Ketika mula-mula saya berada didalam PASTI, saya agak hairan dengan guru-guru PASTI yang masih mampu berdiri kukuh memperjuangkan pendidikan dan masa depan PASTI walaupun mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan. Elaun yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa menguruskan pentadbiran PASTI.

Pernah satu ketika saya bertanya kepada seorang tokoh guru di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia tentang elaun yang diterima sebagai seorang guru. Beliau menyatakan bahawa elaun pada tahun 2006 adalah sangat memuaskan berbanding tahun sebelumnya. Saya bertanya berapa elaun yang diterima pada tahun 2006? Beliau dengan rasa penuh bersyukur menyatakan bahawa elaun yang diterima untuk mengajar di PASTI adalah sebanyak RM 278!. Ya Allah! Hebatnya guru PASTI.

Pengalaman diamanahkan sebagai Pengerusi Penaziran PASTI Pusat telah memberikan ruang kepada saya untuk membuat lawatan ke PASTI di seluruh negara. Pegalaman yang saya kecapi dalam meneliti kehidupan seorang guru PASTI yang rata-ratanya meletakkan kepentingan PASTI lebih utama daripada diri mereka sendiri tidak mudah untuk kita lihat kepada guru-guru yang mengajar ditempat lain.

Ada guru PASTI yang sanggup menghabiskan elaun yang mereka terima untuk diserahkan kembali kepada PASTI cawangan untuk menyiapkan ABM dan menyediakan peralatan mengajar.

Pernah satu ketika ketika saya membawa guru-guru PASTI di Johor ke Pendang, Kedah untuk melihat sendiri kehidupan guru-guru PASTI di sana. Bila dialog diadakan di antara guru-guru, guru-guru PASTI di Johor terkejut apabila mereka mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan oleh guru-guru di Kedah. Ada dikalangan mereka yang hanya menerima elaun sebanyak RM 100 sahaja tetapi masih boleh menginfakkan diri mereka untuk perjuangan.

Seorang guru PASTI yang telah mengajar selama 19 tahun di Johor menceritakan kepada saya bagaimana pada tahun pertama beliau ditugaskan untuk menjadi tenaga pengajar di PASTI beliau hanya diberikan saguhati dan beliau sendiri tidak pernah merungut terhadap apa yang beliau terima. Paling penting katanya, beliau dapat menaburkan bakti untuk melahirkan generasi yang benar-benar berjaya sebagai seorang muslim.

Terlalu besar pengorbanan mereka jika kita ingin bandingkan dengan apa yang kita berikan kepada mereka. Tahun ini, Sambutan Hari Guru PASTI Pusat akan diadakan di Kota Bahru Kelantan pada 29 & 30 Jun 2007. Seorang lagi tokoh guru PASTI Malaysia bakal dinobatkan. Walaupun saya sudah lagi tidak terlibat dalam memilih Tokoh Guru PASTI pada tahun ini, saya yakin dan percaya bahawa seorang tokoh guru PASTI penuh dengan sifat pengorbanan, dedikasi dan keihklasan akan ditampilkan bagi menjadi contoh yang terbaik kepada guru-guru PASTI dan kepada masyarakat di luar.

Akhirnya, saya ingin merakamkan ucapan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru-guru PASTI di Malaysia. Jasa kalian terlalu besar untuk dinilai dengan wang ringgit. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan akan dinilai sebagai amalan yang mulia di sisiNya. Pengorbanan guru-guru PASTI pengorbanan kelas pertama.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) PASTI Pusat

019-7701830

14 Mei 2007. 4.44 petang

http://minda-kembara.blogspot.com/

1 Pandangan

  1. Ibnu Ali // May 15, 2007 at 12:04 AM  

    Bagai nak menitis airmata ni, bila baca pengorbanan diorang.

    Bagaimanapun dengan pengorbanan Ikhlas diorang inilah, bakal melahirkan generasi muslim yang hebat.