Komitmen PAS Dalam Pakatan Rakyat & Isu Anwar Ibrahim

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/17/2008 09:55:00 PM | 0 Pandangan »

PAS sokong Anwar enggan beri DNA - Malaysiakini
Jul 17, 08 4:23pm

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong keputusan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan membenarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil sampel DNA kerana dikhuatiri akan dimanipulasi pihak berkuasa.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa (kiri), yang juga ahli Parlimen Bachok di Parlimen hari ini, beliau berkata parti ini mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi.

"Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa boleh dimanipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar.

"Saya menyeru kepada semua agar berpegang teguh kepada prinsip Islam dan undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti kesalahannya di mahkamah yang diadili.

"Asas ini harus dipegang dalam menilai tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Di samping itu, Bernama melaporkan beliau juga mengalu-alukan pembebasan Anwar namun memandang berat cara penangkapan yang dibuat terhadapnya.

"Kami memandang berat cara penangkapan Anwar yang dibuat polis semalam yang tergesa-gesa dan kasar walaupun beliau bersedia melaporkan diri dan memberi kerjasama," katanya.

Ditahan semalam

Semalam, Anwar ditahan ketika dalam perjalanan pulang selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan dibawa ke ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau ditahan semalam untuk dirakamkan kenyataannya dan dibebaskan pagi tadi.

Beliau disoal siasat berhubung laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Anwar bulan lalu.

Dalam satu sidang akhbar petang tadi, Anwar menjelaskan bahawa beliau enggan membenarkan sampel DNA diambil atas nasihat peguam dan doktor.

Lagi pula, katanya, simpanan DNA-nya ada dalam tangan polis yang diambil secara paksa pada 1999.

"Apa perlu saya bagi, apa saja boleh jadi," katanya sambil menambah, ini kerana DNA Mohd Saiful pun ada dalam simpanan polis.

Cara tahan Anwar 'mata lebam polis' - Malaysiakini
Jul 17, 08 2:07pm


Kaedah bertindak polis sewaktu menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai "mata lebam" kedua pasukan itu selepas pengerahan 1,600 anggota dalam sekatan jalan besar-besaran awal minggu ini.

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang berkata walaupun perdana menteri memberi jaminan tidak akan berulang kes mata lebam Anwar seperti 1998, tetapi tindakan polis menangkap Anwar sedemikian mencemarkan imej pasukan tersebut.
"Polis menerima satu 'mata lebam' yang dicipta mereka sendiri dengan cara penangkapan Anwar yang sangat provokatif, tidak profesional dan tidak boleh dipertahankan menggunakan komando bertopeng pada 12.55 tengah hari - sewaktu bekas timbalan perdana menteri itu telah berjanji akan melapor diri kepada polis jam 2 petang," katanya hari ini.

Tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya besar-besaran pada Isnin - dengan alasan ingin menyekat perhimpunan penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat - menyebabkan kesesakan luar biasa di sekitar ibu kota. Anwar bagaimanapun menafikan menganjurkan sebarang perhimpunan sewaktu ada usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikemukakan oleh ahli-ahli parlimen Pakatan - usul itu bagaimanapun ditolak oleh yang dipertua Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur menambah, tiada seorang pun peserta perhimpunan haram wujud pada hari itu dan tindakan polis yang menyusahkan orang ramai memburukkan lagi imejnya sewaktu kewibawaan pasukan itu sering dipertikaikan oleh masyarakat.
.
Sementara itu, Pemuda PAS pula menyifatkan siasatan dakwaan liwat terhadap Anwar sebagai percubaan untuk menghalang penasihat PKR daripada mengambil alih kerajaan persekutuan, kata ketuanya Salahuddin Ayub.

"Dewan Pemuda PAS melihat bahawa kerajaan BN sengaja memanipulasikan isu liwat ini untuk menyekat Anwar daripada meneruskan usahanya mengambil alih kerajaan daripada BN," katanya hari ini.
.
"BN kini benar-benar tergugat kerana Anwar telah mengumumkan beberapa lagi wakil rakyat BN akan melompat dan beliau sendiri akan bertanding dalam pilihanraya dalam masa terdekat ini.
.
"Selain menuduh polis telah diperalatkan untuk berbuat demikian sewaktu menangkapnya "secara keras" dan "di luar batas kemanusiaan", ahli parlimen Kubang Kerian juga berkata siasatan itu satu helah BN menghalang Anwar bertanding dalam satu pilihanraya kecil.
.
"BN hanya mencari helah supaya Anwar tidak dapat bertanding dan menggunakan isu liwat ini untuk menahan Anwar, sekali gus menyekat gerakan pembaharuan politiknya. Ini adalah satu pendekatan yang kotor dan tidak bermaruah, bahkan sama sekali menyalahi semangat demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.

Hadi: PAS setia bersama Pakatan - Malaysiakini
Jul 17, 08 2:20pm

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan terus bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil.Dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat, katanya.

"Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibacakan timbalannya Nasharudin Mat Isa, yang juga ahli parlimen Bachok, dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini. Turut serta setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaffar, bendahari Dr Hatta Ramli, ahli jawatankuasa pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Kamarudin dan Dr Hatta masing-masing ahli parlimen Tumpat dan Kuala Krai.Menurut laporan Harakahdaily.net, PAS menyifatkan BN gagal menangani isu-isu rakyat seperti isu kenaikan kos sara hidup yang mendadak dan ketidakstabilan ekonomi serta masalah jenayah yang meruncing.

"Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia," kata Abdul Hadi, juga ahli parlimen Marang.

Abdul Hadi, yang mengalami masalah kesihatan, tidak hadir. Beliau baru-baru ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara.Kenyataan ini dipercayai mengulas ura-ura rundingan parti itu dengan Umno dan dakwaan keretakan dalam Pakatan - termasuk ulasannya dalam satu wawancara minggu lepas - seperti dilaporkan media.

Dalam wawancara panjangnya mengulas pelbagai isu semasa yang diterbitkan media rasmi parti itu Jumaat lepas, Abdul Hadi berkata:"Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri.

"Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau mahkamah sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke mahkamah syariah."

Abdul Hadi mengulas isu laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesannya kepada kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Pada Isnin, Malaysiakini melaporkan dengan memetik satu sumber dalaman pergerakan Pemuda PAS yang menyifatkan pandangan Abdul Hadi sebagai "isyarat" kritikan terhadap Anwar dan dua lagi parti Pakatan "agar tidak menimbulkan masalah kepada PAS.

"Abdul Hadi hari ini berkata PAS melahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan Anwar semalam yang dibuat oleh unit khas, termasuk anggota polis bertopeng, tidak jauh dari rumahnya di Segambut Dalam. Parti itu juga mengalu-alukan pembebasan tokoh PKR itu yang telah dibenarkan diikat jamin pagi tadi.

0 Pandangan