Team Isa Sabu vs Team Shaidan Kassim

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/28/2008 10:59:00 PM | 0 Pandangan »

Bila membaca berita daripada Malaysiakini.com ini, pertembungan perebutan jawatan UMNO di Perlis nampaknya akan berlaku di antara kumpulan penyokong MB Perlis yang baru dan kumpulan bekas MB Perlis yang lalu.


Dinasti Shahidan yang telah lama bertapak di Perlis sudah mula dihancurkan sedikit demi sedikit terutamanya di dalam pemilihan UMNO di peringkat bahagian. Paling utama, setiap calon perlu memastikan bahawa mereka berada di dalam kumpulan mana.


Sekiranya mahu menang dengan mudah, nampaknya dengan berada di dalam kumpulan Mat Isa lebih berpeluang untuk menang berbanding dengan kumpulan Shahidan Kassim yang telahpun ditolak oleh istana.


Sekiranya pemilihan UMNO di Perlis memperlihatkan bagaimana kumpulan Mat Isa akan memang besar maka Shahidan sudah boleh berkira-kira untuk menutup buku politiknya tetapi andaikata calon-calon kumpulan Shahidan menang maka Mat Isa Sabu perlu lebih berwaspada.


Tidak mustahil juga bahawa ada calon daripada kumpulan Shahidan akan berlawan menentang Mat Isa Sabu sebagai calon Ketua Bahagian Kangar. Bayangkan sekiranya Mat Isa kalah di dalam pertandingan jawatan Ketua Bahagian Kangar maka apakah persepsi rakyat Perlis terhadap MB Perlis yang tidak mampu untuk mendapatkan kepercayaan daripada UMNO di Bahagiannya sendiri?


Kita tunggu sahaja perkembangan politik UMNO di Perlis.
---------------------------------------------------------


MB Perlis tanding ketua Umno Kangar
Abdul Rahim Sabri Jun 28, 08 3:59pm



Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu akan bertanding merebut jawatan ketua Umno bahagian Kangar dalam pemilihan Umno bahagian September ini.


Jawatan tersebut disandang oleh Ahmad Bakri Ali yang kini merupakan penyokong Dr Md Isa. Ahmad Bakri juga merupakan ahli exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kayang.


Pada masa ini, Dr Md Isa merupakan salah seorang ahli jawatankuasa bahagian berkenaan.Dr Md Isa dijangka bertanding jawatan ketua bahagian, sesuai dengan kedudukannya kini sebagai menteri besar Perlis.


Menurut sumber-sumber, Ahmad Bakri akan memberi laluan kepada Dr Md Isa untuk memegang jawatan ketua bahagian.


Ekoran itu, Ahmad Bakri dijangka bertanding jawatan timbalan ketua bahagian, menentang penyandangnya, Datuk Hashim Suboh.


Kekal jawatanHashim yang merupakan orang kuat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, juga merupakan ketua penerangan Umno Perlis.


Manakala naib ketua, Abdul Jamil Saad dijangka tidak menghadapi sebarang tentangan untuk mengekalkan jawatannya.


Manakala Ketua Wanita bahagian, Azihani Ali yang juga bekas exco negeri, pula dijangka dicabar oleh naibnya, Hajah Rela Ahmad.


Rela baru sahaja dilantik sebagai pegawai khas menteri besar.


Bagi jawatan ketua Pemuda pula, penyandangnya Hasmunir Hamzah pula dijangka bakal dicabar oleh ahli jawatankuasa bahagian, Aziz Majid.


Hasmunir merupakan bekas pegawai khas Shahidan ketika beliau menjadi menteri besar.


Manakala ketua Puteri bahagian, Marzita Mansor tidak akan mempertahankan jawatannya kerana had lebih umur.


Setakat ini, belum terdengar nama-nama mereka yang dijangka bertanding mengisi jawatan tersebut.

0 Pandangan