Penduduk setinggan Kempas piket minta milikan tanah - UtusanOnline

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 6/24/2008 08:46:00 AM | 0 Pandangan »


PENDUDUK setingan Kempas yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum di luar kawasan Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 23 Jun - Lebih 200 penduduk setinggan kawasan Kempas mengadakan piket secara aman di hadapan Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini baru-baru ini bagi menuntut pemilikan tanah yang diduduki mereka sejak 30 tahun lalu.

Kumpulan berkenaan berkumpul dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari itu dengan membawa sepanduk serta poster, manakala kaum ibu turut membawa anak-anak kecil mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Setinggan Kempas, Ramli Ibrahim dan empat lagi wakil penduduk kemudian menyerahkan memorandum tuntutan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Memorandum itu diserahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang terpaksa keluar sebentar daripada menyertai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mula bersidang hari ini.

Sementara itu Penyelia Jawatankuasa berkenaan, Suhaizan Kaiat berkata, memorandum berkenaan diserahkan bagi menuntut hak pemilikan tanah bagi 2,000 keluarga setinggan di kawasan Kempas.

"Hampir kesemua keluarga setinggan ini telah tinggal di Kempas sejak 30 tahun lalu dan kami mahu terus tinggal di kawasan ini.

"Lagipun dengan penduduk setinggan di Kampung Sri Jaya Baru, Perling dan Kampung Pasir, Tampoi telah pun menerima geran tanah, kami juga mahukan hak yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, mereka membuat tuntutan berkenaan kerana tidak mahu berpindah ke Projek Penempatan Rakyat (PPR) Denai yang didakwa masih tidak dilengkapi dengan infrastruktur yang baik.

Menurut Suhaizan, menerusi memorandum tersebut, pihaknya turut berharap satu dialog dengan Menteri Besar dapat diadakan dalam waktu terdekat ini.
Katanya, berdasarkan pertemuan yang diadakan, Abdul Ghani memberitahu dia akan memperhalusi tuntutan jawatankuasa tersebut.

0 Pandangan