Isu Negara Islam, Pimpinan DAP dan PAS Perlu Bersemuka

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 4/24/2008 09:36:00 AM | 2 Pandangan »

MPF: 'Dinosaur celupar' dalam Pakatan
Apr 23, 08 3:11pm
Malang jika seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat begitu mudah terpengaruh dengan laporan akhbar arus perdana sehingga melatah menggesa PAS menggugurkan agenda negara Islam, kata Forum Profesional Muslim (MPF).

"Pemimpin de facto Pakatan Rakyat dan majlis perundingan Pakatan mesti mengekang dinosaur yang sering pula 'celupar' dan pendek akal sehingga gagal membezakan fakta dan cereka," kata pengerusi badan itu Dr. Mazeni Alwi.

Beliau mengulas gesaan pengerusi DAP Karpal Singh semalam agar PAS menggugurkan agenda parti itu untuk menubuhkan negara Islam.
Ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata, janggal bagi parti itu untuk meneruskan agendanya tersebut dan pada masa yang bekerjasama dengan dua parti lain dalam Pakatan, PKR dan DAP.

"Walaupun PAS memberi tumpuan kepada agenda Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah negara kebajikan dan memulihkan demokrasi dan urus tadbir yang baik, tetapi ia tetap dengan agendanya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

"Kenyataan yang dibuat oleh ahli parlimen PAS bagi Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad, pastinya tidak membantu menjayakan perjuangan Pakatan rakyat," kata Karpal lagi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr. Mazeni berkata sesiapa yang mengikuti perkembangan politik Malaysia kini mengenali Dr Dzulkifly sebagai seorang tokoh PAS yang menjunjung politik Islam yang serasi dengan prinsip-prinsip asas demokrasi, tadbir urus yang baik dan menghormati kebebasan asas.

Karpal mengulas laporan kenyataan pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu sewaktu mendiskusikan buku Dr Abdelwahab Al-Affendi, Who Needs an Islamic State hujung minggu lalu anjuran MPF.

Dalam diskusi itu, tambah Dr Mazeni lagi, Dr Dzulkifly berkata "kalaulah saya pengarang buku ini."Karya penulis Sudan itu membahaskan konsep politik Islam yang berbeza daripada negara teokratik yang ditakuti Karpal, kata Dr Mazeni, kepada politik Islam yang menghargai nilai-nilai yang sejajar dengan demokrasi.

"Beliau (Dr Dzulkifly) sebenarnya memainkan peranan penting mencipta semula (imej) PAS dan menyediakan manifesto (negara kebajikan) dalam pilihanraya umum ke-12 yang jelas sekali mendukung semangat politik seumpama itu," tambahnya.

DAP desak PAS gugur negara Islam
Apr 22, 08 8:57pm
Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini mendesak PAS supaya menggugurkan agenda parti itu untuk menubuhkan negara Islam.Ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata, janggal bagi PAS untuk meneruskan agenda negara Islamnya dan pada masa yang bekerjasama dengan dua parti lain dalam Pakatan Rakyat - PKR dan DAP.

"Walaupun PAS memberi tumpuan kepada agenda Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah negara kebajikan dan memulihkan demokrasi dan urus tadbir yang baik, tetapi ia tetap dengan agendanya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

"Kenyataan yang dibuat oleh ahli parlimen PAS bagi Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad, pastinya tidak membantu menjayakan perjuangan Pakatan rakyat," kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Dr Dzulkifly sebagai berkata parti itu tetap dengan agendanya untuk menubuhkan kerajaan Islam di Malaysia.

Menurut Dr Dzulkifly lagi, partinya tidak membangkitkan isu negara Islam kerana ia bukan sebahagian daripada agenda Pakatan Rakyat.Beliau berkata, pihaknya akan memberi lebih banyak masa kepada pengundi untuk memahami parti tersebut.

Minta nasihat Tun Salleh

Menurut Karpal lagi, kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin PAS tidak membantu menjayakan kepentingan Pakatan Rakyat.Beliau berkata, PAS tidak boleh melakukan dua perkara dalam satu masa.
"Saya ingin menasihatkan PAS bahawa parti itu mungkin perlu mendapatkan pandangan Tun Salleh Abas yang penah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dan exco kerajaan nengeri Terengganu, mengenai isu negara Islam," tambahnya.

Menurut Karpal lagi, pada 1988, Tun Salleh bersama panel lima orang hakim Mahkamah Agung, dalam satu penghakiman, telah mengisytiharkan bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam, tetapi negara sekular yang mengamalkan undang-undang sekular.

"Juga tidak boleh dilupakan kenyataan Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular," kata Karpal, sambil menambah bahawa Perlembagaan Persekutuan sendiri mengandungi negara sekular sebagai salah satu struktur asasnya.

'Henti buat kenyataan'
Sehubungan itu, katanya, PAS perlu memberi jaminan bahawa pemimpinnya, termasuk menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (foto) dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menguar-uarkan lagi hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Menurut peguam terkenal itu lagi, tidak memberi sebarang makna bagi PAS secara terbuka mengisytiharkan bahawa ia menjadi tulang belakang Pakatan Rakyat dengan matlamat menubuhkan negara Islam.

"PAS sendiri tidak mampu memperolehi majoriti dua pertiga untuk meminta Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

"PAS mesti bersikap praktikal dan berkerjasama ke arah memastikan Pakatan Rakyat menang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang," kata Karpal, sambil menambah parti Islam itu tidak seharusnya melakukan sesuatu yang prejudis kepada gabungan pembangkang serta boleh menjejaskan usaha memperkukuhkan Pakatan.
Untuk itu, katanya, cara terbaik ialah pemimpin PAS berhenti membuat kenyataan terbuka tentang perkara tersebut.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, barisan pembangkang - PAS, PKR dan DAP - berjaya menawan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kerajaan campuran di Kedah terdiri daripada PAS dan PKR. Di Pulau Pinang pula antara PKR dan DAP.

Manakala ketiga-tiga parti tersebut menubuhkan kerajaan campuran di Perak dan Selangor.
Berikutan itu, pada 1 April, pucuk pimpinan ketiga-tiga parti berkenaan sepakat untuk merujuk keempat-empat negeri tersebut sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

'Lambat laun negara Islam diterima'
Apr 15, 08 1:12pm

PAS yakin lambat laun Pakatan Rakyat boleh menerima ideologi parti itu untuk melaksanakan pentadbiran Islam sepenuhnya, kata mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bercakap kepada sebuah akhbar berbahasa Cina, menteri besar Kelantan berkata Pakatan memerlukan masa untuk menerima pendirian PAS kerana Islam telah lama membeku di Malaysia sewaktu zaman penjajahan.

Sebab itu, tambahnya dalam Sin Chew Daily baru-baru ini, beliau menggesa pemimpin-pemimpin DAP melawat negeri itu dan meninjau sendiri layanan PAS terhadap masyarakat bukan Islam.

Pandangannya dalam wawancara itu diterbitkan kembali dalam The Sun hari ini.

Semalam gabungan tiga parti pembangkang itu sekali lagi mengeluarkan kenyataan bahawa ia komited dengan perjuangan bersama untuk membangunkan negara dan memakmurkan rakyat tanpa ada batasan kaum, agama dan budaya selaras dengan hak asasi manusia sejagat.

"Pakatan berazam melaksanakan dan membawa perubahan berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi, keadilan sosio-ekonomi, peluang ekonomi yang saksama dan kebebasan beragama.

"Tugas besar ini kami tanggung bersama selaras dengan janji kami semasa pilihanraya umum ke-12 yang lalu.

"Pakatan bukanlah medan bagi mana-mana pihak untuk memperjuangkan ideologi persendirian atau parti masing-masing," kata tiga pemimpin utama pembangkang dalam satu kenyataan.

"Walaupun ada pihak-pihak yang memberi pandangan berbeza dari pada yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin utama tiga parti dalam Pakatan, pandangan itu adalah pandangan peribadi yang tidak sama sekali mewakili mana-mana parti dalam Pakatan."
Kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang menegaskan "semua pemimpin dan ahli dalam Pakatan telah diarahkan menghentikan pandangan yang lain daripada muafakat bersama.

"MCA semalam berkata ia tidak akan menerima penubuhan negara Islam yang disuarakan oleh PAS kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya Datuk Seri Ong Ka Ting berkata semua peringkat pemimpin parti Islam itu menyatakan hasrat untuk membentuk negara Islam jika mereka berjaya mengambil alih kuasa kerajaan Persekutuan.

Beliau kemudian menyeru semula parti politik dan pertubuhan agar bersama-sama menghalang PAS daripada membangunkan hasratnya itu.

"Sebarang organisasi atau parti yang bekerjasama dengan PAS hanya akan membantu PAS menjayakan agendanya mendirikan negara Islam," tambahnya, dipercayai mengulas kenyataan Pakatan Rakyat pada Sabtu bahawa gabungan tiga parti pembangkang itu tidak akan menjayakan agenda peribadi parti masing-masing yang berlainan ideologi itu.

* Semua berita ini dipetik daripada laman web Malaysiakini.com

2 Pandangan

  1. Hasbullah Pit // April 24, 2008 at 10:02 AM  

    Berdasarkan pengamatan saya, ramai dikalangan orang DAP yang menyangka Negara Islam itu theotratic.

  2. Khairul Faizi bin Ahmad Kamil // April 24, 2008 at 11:39 AM  

    Dulu, masa PAS mula sebut nak laksanakan Hudud di Kelantan, bukan orang bukan Islam saja yg menentang termasuklah orang melayu/islam (aku pun sama masa tu, sebol.

    Daripada orang tak tau Hudud, akhirnya orang mencari jugak maklumat apa itu Hudud.

    Buku2 laris dipasaran sebab orang nak tau apa itu hudud. Sekarang ni sebut tentang Hudud, ramai yang dah faham walaupun masih lagi ada orang yang buat2 tak faham.

    Sama juga dengan kes YB Karpal Singh ni. Dia mungkin memang tidak mahu negara Islam sebab dia tidak suka dengan Islam daripada pandangan dia tapi setakat ni dia pun belum pernah buat pertemuan dengan mana2 pimpinan PAS untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat tentang perkara ni.

    Sebab itu, perlu ada pertemuan untuk merungkaikan persoalan dan ketakutan yang ada pada Karpal ni.