Datuk Idris Jusoh & Datuk Ahmad Said Berdamai?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/30/2008 06:03:00 PM | 0 Pandangan »

Idris, Ahmad berpelukan - Malaysiakini
Mar 30, 08 1:19pm

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Idris Jusoh hadir di majlis angkat sumpah penggantinya Datuk Ahmad Said pagi ini.Kedua-duanya juga berdakapan selepas acara itu - menjelaskan lagi kenyataan Ahmad kelmarin bahawa beliau tidak bermusuh dengan Idris.

Semua 22 wakil-wakil rakyat lain BN, awalnya menentang pelantikan Ahmad, menghadiri majlis angkat sumpah.

Majlis itu diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu. Krisis pelantikan menteri besar negeri itu mula menunjukkan tanda utama penyelesaian apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memperakui pelantikan Ahmad yang dilantik istana, sekali gus menolak Idris yang didukung Perdana Menteri.

Upacara turut disaksikan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

Wakil-wakil rakyat PAS, yang diketuai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut menghadiri majlis. Abdul Hadi, wakil Rhu Rendang, sebelum ini ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Selepas MT membuat keputusan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, termasuk Idris, akur dengan arahan perdana menteri agar menerima pelantikan Ahmad.Ahmad menerima watikah pelantikan daripada MPPR minggu lalu tetapi majlis angkat sumpahnya ditangguh selepas semua wakil BN memulaukan majlis tersebut.

Beliau semalam berkata senarai exco negeri akan dilantik lebih kurang seminggu lagi.

0 Pandangan