Air Percuma Untuk Rakyat Selangor!

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 3/29/2008 01:27:00 AM | 0 Pandangan »

Akhirnya, janji untuk memberikan air percuma kepada pengguna air sama ada mereka mengundi Barisan Rakyat ataupun tidak akan ditunaikan bermula 1 Jun yang akan datang. Pastinya ia akan memberikan kelegaan kepada rakyat Selangor yang semakin terbeban dengan kos hidup yang semakin tinggi.

Tahniah kepada kerajaan Selangor dan tahniah juga kepada rakyat yang berani membuat perubahan untuk kepentingan bersama.

Rakyat Johor macamana pula? Masih tidak mahu menikmati air percuma seperti Selangor?

-----------------------------------------
20 meter padu air percuma mulai 1 Jun - Malaysiakini
Mar 28, 08 6:48pm

Semua pengguna air bagi rumah kediaman di Selangor akan mendapat bekalan air 20 meter padu secara percuma mulai 1 Jun depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengkaji rancangan membekalkan 20 meter padu air secara percuma kepada isi rumah di negeri itu seperti biasa melalui pembekalan air terawat oleh syarikat Syabas, dan mendapati ia boleh dilaksanakan bagi meter individu untuk pengguna kediaman.

"Kerajaan negeri Selangor membuat keputusan untuk melaksanakannya bermula pada 1 Jun 2008," kata Khalid dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat menteri besar hari ini.

"Kerajaan negeri telah membuat kajian berhubung mekanisme untuk melaksanakan dasar ini dan sedang menimbangkan mekanisme terbaik bagi menjaga kepentingan kerajaan negeri, alam sekitar dan orang ramai.

"Tujuan kerajaan negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah," katanya.

Justeru, tambah beliau, rakyat masih perlu mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta bertanggungjawab bagi mengelak pembaziran sumber agar sumber air negeri Selangor dapat dipelihara dalam jangka masa yang panjang.

"Bagi membantu usaha ini, kerajaan negeri turut akan memperkenalkan langkah mempelbagaikan sumber bekalan air secara menyeluruh dalam masa terdekat," katanya.

0 Pandangan