Datuk Gapar Memang Patut Berundur...

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 2/03/2008 07:04:00 AM | 0 Pandangan »

Akhirnya, secara rasmi Datuk Gapar @ Cikgu Gapar mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya umum bagi mempertahankan kerusi DUN Mahkota, kerusi pertama yang berjaya ditandingi oleh wakil UMNO di Parlimen Kluang sejak daripada dulu lagi. Sebelum ini kerusi-kerusi dalam Parlimen Kluang hanya diwakili oleh calon daripada MCA kerana majoriti pengundi di Kluang adalah kaum Cina. DAP pernah memenangi kerusi di Parlimen Kluang sebelum ini.


Namun setelah persempadanan semula sebelum pilihnaraya umum ke-11, DUN Mahkota telah diwujudkan dan dengan majoriti pengundi Melayu 52 % memberikan peluang kepada UMNO untuk meletakkan calon di situ.

Kerusi ini sudah pasti akan menjadi 'kegilaan' pemimpin UMNO di Kluang kerana ini sahaja harapan yang mereka ada. Parlimen Kluang dan DUN Mengkibol sudah pasti akan tetap menjadi milik MCA dan bukan mudah untuk MCA lepaskan kepada UMNO.

Saya pasti bahawa kesediaan Cikgu Gapar melepaskan kerusi ini dilihat sebagai berita yang sangat baik kerana ia akan memberikan laluan kepada pemimpin UMNO yang lain untuk dinobatkan sebagai YB yang baru. Saya juga pasti tidak akan ada pemimpin UMNO di Kluang yang akan merayu agar Cikgu Gapar supaya menarik balik keputusan tersebut kerana umumnya telah tahu bahawa beliau sejak akhir-akhir ini semakin uzur dan tidak berkemampuan untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

Mungkin agak mengejutkan apabila Cikgu Gapar dengan terbuka mengumumkan bakal-bakal calon yang akan diletakkan sebagai calon UMNO untuk kerusi DUN Mahkota. Timbalan Ketua Bahagian Kluang sdr Noor Ehsanuddin Harun Alrashid; Naib Ketua, Razali Mohd. Nor; Bendahari, Ariff Kataman; Ketua Pemuda, Jais Sardy dan Ketua Wanita, Senator Sharifah Azizah Syed Zain disenaraikan sebagai bakal calon-calon UMNO DUN Mahkota.

Pastinya, perlumbaan untuk mengejar kedudukan pertama sebagai calon UMNO DUN Mahkota akan menjadi hangat. Mengikut pandangan saya, daripada kelima-lima calon tersebut, saya menjangkakan bahawa Ketua Pemuda sdr Md Jais Sarday akan dipilih sebagai calon UMNO bagi kerusi DUN Mahkota ini berbanding dengan calon-calon yang disenaraikan ini.

Apapun, lawan tetap lawan!

--------------------------------------------------

Gapar berundur, beri laluan pemimpin muda - Utusan Melayu
JOHOR BAHRU 2 Feb. -Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota, Datuk Gapar Gurrohu, 63, berkata, beliau tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-12 untuk memberi peluang kepada muka baru.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang itu berkata, sebanyak lima nama telah dicalonkan untuk menggantikannya mewakili parti dan Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Lima nama itu ialah Timbalannya, Noor Ehsanuddin Harun Alrashid; Naib Ketua, Razali Mohd. Nor; Bendahari, Ariff Kataman; Ketua Pemuda, Jais Sardy dan Ketua Wanita, Senator Sharifah Azizah Syed Zain.

''Pada keseluruhannya, saya penuh yakin kelima-lima mereka mempunyai kewibawaan yang tinggi dan mampu memberi perkhidmatan berkesan jika diberi peluang menjadi wakil rakyat,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, nama calon berkenaan akan diserahkan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dalam tempoh terdekat.

Gapar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Mahkota pada pilihan raya umum ke-11 setelah menewaskan calon Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil dengan majoriti 14,938 undi.

Beliau yang merupakan anak watan Kluang sebelum ini pernah dilantik menjadi Senator selama dua penggal dari 1997 hingga 2003.

Gapar juga pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara dari 2001 hingga 2003.

0 Pandangan