Utusan Malaysia - 21 Januari 2008

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 1/21/2008 07:45:00 AM | 0 Pandangan »


Pas janji ‘negara kebajikan’
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN

KUANTAN 20 Jan. – Pas mula menyebarkan manifesto pilihan raya, antaranya mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘negara kebajikan’ sekiranya menang dalam pilihan raya umum ke-12.

Antara yang dijanjikan parti itu ke arah ‘negara kebajikan’ ialah mengurangkan harga minyak petrol sekurang-kurangnya 30 sen daripada harga semasa dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain itu, Pas juga berjanji menawarkan sistem pembelajaran percuma tanpa dikenakan bayaran tambahan di sekolah rendah dan menengah bagi semua aliran, serta memastikan perkhidmatan kesihatan percuma di hospital kerajaan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, menerusi konsep negara kebajikan, rakyat miskin terutama warga emas juga akan diberi elaun sara hidup bagi menampung kehidupan mereka setiap bulan.

‘‘Mari kita buat perubahan. Saya yakin kita boleh buat perubahan. Perubahan mesti sama-sama, tidak boleh Melayu sahaja, India sahaja atau Cina sahaja.

‘‘Kita akan menjadikan Malaysia ‘negara kebajikan’, yang akan mengambil kira semua kesusahan rakyat daripada semua kaum,” katanya ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Bersama Presiden Pas di Madrasah As-Saadah, dekat sini malam tadi.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dalam ucapannya berkata, semua yang dijanjikan tersebut termaktub sebagai sebahagian manifesto Pas pada pilihan raya umum akan datang.
‘‘Antara tajuk utama dalam manifesto kita ialah pengurusan kekayaan negara. Kita akan tubuhkan satu tabung yang agenda utamanya ialah berkaitan dengan pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan isu kebajikan rakyat yang lain,” katanya.

Nasharuddin mendakwa, satu daripada agenda utama yang sedang dirancang kerajaan Barisan Naisonal (BN) ialah menswastakan semua hospital kerajaan pada Ogos ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berkata, kerajaan sedia ada tidak mampu menangani isu kenaikan harga minyak kerana tiada mekanisme bagi mengatasi masalah itu.
‘‘Pendapatan kerajaan sedia ada selama ini hanya bergantung kepada sumber minyak iaitu petroleum. Bila harga minyak dunia naik, mereka (kerajaan) tidak berupaya memikirkan cara mengatasinya kecuali terpaksa menaikkan harga minyak,” ujarnya.

Menurut Mahfuz, pendedahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia baru-baru ini bahawa kenaikan harga minyak tidak dapat ditangguh lagi kerana kerajaan terpaksa menanggung subsidi bahan api itu hampir RM35 bilion, memberi bayangan pilihan raya mungkin akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Pas yakin pertahan Kelantan, rampas Terengganu

KUANTAN 20 Jan. – Pas yakin dapat mempertahankan kedudukannya di Kelantan dan merampas semula Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga yakin mampu menawan Kedah dan beberapa kerusi ‘panas’ milik BN di Pulau Pinang dan Selangor pada pilihan raya kali ini.

‘‘Saya percaya akan berlaku kejutan berbanding 1999 tetapi saya tidak mahu membuat ramalan yang terlalu awal,’’ katanya kepada pemberita selepas Dialog Perdana Presiden Pas Bersama Rakyat di sini malam tadi.
Abdul Hadi berkata, berdasarkan perkembangan semasa, Pas yakin akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini berbanding 1999 dan 2004.

Menurutnya, Pas akan menggunakan beberapa isu terutama berkaitan kenaikan harga barang di pasaran untuk meraih sokongan pengundi pada kali ini.

‘‘Isu-isu semasa menjadi sumbangan kepada Pas selain kekuatan dalaman parti dan kerjasama parti pembangkang lain serta penonjolan calon-calon berwibawa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta DAP agar tidak meletakkan calonnya di kawasan yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan hanya pertandingan ‘satu lawan satu’ dengan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah dengan PKR berhubung pengagihan kerusi calon kerana rundingan berhubung perkara tersebut hampir selesai.
‘‘Pas tidak bekerjasama dengan DAP kerana kita hanya bertanding di kawasan majoriti orang Melayu. Kita memberi kepercayaan kepada PKR untuk mengadakan perbincangan dengan DAP berhubung pengagihan kerusi,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, semua badan perhubungan negeri telah menyerahkan senarai calon dan ia akan diluluskan oleh Majlis Syura, Selasa ini.

Ditanya mengenai muka baru yang akan ditampilkan pada pilihan raya kali ini, beliau memberitahu: ‘‘Saya sendiri belum lihat senarai penuh calon tersebut.”
Beliau juga mengharapkan pilihan raya umum diadakan selepas Mac bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Kerajaan Pas tidak lagi relevan

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kerajaan Kelantan yang diterajui Pas dirasakan tidak lagi relevan untuk memenuhi kehendak semasa rakyat negeri itu malah pendekatan agama yang didokong parti itu gagal menunjukkan Islam sebagai agama terbaik, kata Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Berbanding negeri jirannya, beliau berkata, pembangunan pesat Terengganu, menerusi dakwah Bil-Hal, iaitu satu perbuatan bagi menunjukkan Islam sebagai agama terbaik, tidak dapat disaingi kerajaan Pas.

Beliau berkata, melalui pendekatan itu kepimpinan Menteri Besar, Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh berjaya melakukan perubahan ketara negeri itu sekaligus mencapai pembangunan pesat.

“Pembangunan pesat di Terengganu di bawah kepimpinan seorang menteri besar yang dinamik dengan visi yang jauh, jelas kepimpinan Datuk Seri Idris Jusoh dapat meningkatkan kedudukan Terengganu dari segi pembangunan, imej dan visi berbanding Kelantan,” katanya selepas merasmikan Kursus Pemantapan Muzakkir Negeri Pahang anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di sini hari ini.

Zainuddin berkata, perubahan dapat dilihat melalui pendekatan dakwah itu apabila syiar Islam terus berkembang di negeri itu melalui kelas tahfiz moden selain pembinaan masjid kristal di Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man.

Katanya, kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat semakin tidak relevan lagi untuk rakyat negeri itu selain tidak memenuhi kehendak semasa rakyat.

Beliau berkata, kerajaan Pas juga telah menampakkan yang ia hanya membuat janji semata-mata untuk menyeronokkan rakyat menggunakan agama dan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Nik Aziz pula mengumumkan Kelantan Koridor Depu iaitu projek penanaman pokok gaharu sebagai alternatif ekonomi baru.

“Ini memperbodohkan rakyat dan memperkecilkan keupayaan berfikir orang Kelantan. Rakyat Kelantan tidak harus diperbodohkan lagi,” katanya.

Zainuddin berkata, keadaan Kelantan dan Terengganu seumpama keadaan di Berlin Barat dan Berlin Timur kerana kedua-duanya saling bersebelahan tetapi salah satunya mundur manakala yang satu lagi pesat membangun.

“Nasib baik rakyat Kelantan tidak begitu susah sebab Kerajaan Persekutuan terus membantu kerana kasihankan nasib malang orang Kelantan di bawah pemerintahan Pas,” katanya.
– Bernama

0 Pandangan