Kenapa Pak Lah Takut Sangat Bila Bersih Serah Memo Kepada Yang Di-Pertuan Agong?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 11/13/2007 03:01:00 PM | 0 Pandangan »

PAS: Kenyataan PM cemar institusi Raja-Raja Melayu - Malaysiakini
Nov 13, 07 12:37pm


PAS kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang menuduh bahawa penyerahan memorandum Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu lalu sebagai cubaan parti pembangkang untuk mengheret institusi Raja-Raja Melayu, terutama Seri Paduka sendiri, ke dalam kancah politik.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, PAS merasakan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu tidak tepat, "malah sangat tidak bertanggungjawab".

Malah, katanya, PAS merasakan bahawa kenyataan Perdana Menteri itu telah menghina dan mencemar institusi Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong yang merupakan payung negara dan rakyat yang berdaulat dan dihormati.

Kamaruddin berkata, Bersih atau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil adalah sebuah badan gabungan bukan sahaja parti-parti politik, termasuk PAS, tetapi juga lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) dengan matlamat untuk menuntut reofrmasi dalam proses pilihanraya di Malaysia yang didapati tempang dan tercemar.

Kira-kira 40,000 orang berhimpun secara aman di hadapan Istana Negara Sabtu lalu di mana delegasi Bersih yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin PAS, DAP dan PKR, telah menyerahkan memorandum menuntut satu pilihanraya yang bersih dan adil, kepada wakil Seri Paduka.

"Amalan demokrasi di Malaysia tidak akan bermakna sekiranya proses pilihanraya, yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), berterusan berada dalam keadaan demikian," kata Kamaruddin dalam satu kenyataan hari ini,

"Dan bagi Bersih serta seluruh rakyat Malaysia, institusi Raja-Raja Melayu, termasuk Yang di-Pertuan Agong, bukan sekadar kepala negeri-negeri atau negara tetapi juga berperanan dan memiliki kuasa untuk mempertahankan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan. Penyerahan memorandum

"Atas kesedaran ini, memandangkan pengerusi dan anggota SPR sendiri dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka Bersih mengambil keputusan untuk menyerahkan memorandum terus kepada Seri Paduka sendiri," tambahnya.

Kamaruddin berkata, Bersih mengambil keputusan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong "selepas Tuanku sendiri memberikan perkenan Baginda, dan kehadiran Bersih di Istana Negara Sabtu lalu adalah bagi menjunjung perkenan Tuanku untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Baginda".
"Isu Bersih kononnya mahu memerangkap Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang dituduh oleh Perdana Menteri itu, dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar aliran perdana, tidak tepat, malah berunsur jahat kerana Baginda telahpun dimaklumkan akan tindakan Bersih itu dan memberikan perkenannya," katanya.

Menurut Kamaruddin lagi, sebagai ketua negara yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan dihormati serta ditaati oleh rakyat, PAS merasakan Seri Paduka berhak untuk mendengar dan menimbangkan rayuan serta keluhan rakyat melalui memorandum Bersih itu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Apa yang penting bagi Bersih adalah pemulihan sistem pilihanraya bagi menjamin kelangsungan amalan demokrasi dalam negara. "Sistem pilihanraya yang bersih dan adil sepatutnya sama-sama dituntut oleh semua pihak, termasuk Perdana Menteri dan kerajaan sendiri," tambahnya.

-------------------------------------------

PM: Bersih cabar rakyat dan undang-undang
Nov 9, 07 7:26pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kedegilan Bersih untuk tetap menganjurkan perhimpunan rakyat esok menunjukkan mereka telah mencabar undang-undang dan mencabar rakyat "yang mahukan negara kita aman, selamat dan stabil sepanjang masa."

"Polis telah memaklumkan kepada saya akan ada satu perhimpunan haram oleh Bersih. Polis memberitahu saya permit tidak akan diberikan, tetapi nampaknya, daripada laporan yang saya dapat dari pelbagai punca, pihak yang menganjurkan masih mahu meneruskan apa yang mereka hendak buat.

"Mereka menunjukkan kedegilan dan tidak pedulikan undang-undang dan peraturan. Saya dukacita... apakah mereka mencabar kerajaan dan kepimpinan...," kata Abdullah yang juga Menteri Keselamatam Dalam Negeri.

Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno petang ini, beliau berkata:

"Sebenarnya Bersih mencabar dan mengenepikan undang-undang, mereka mencabar rakyat yang mahukan negara kita aman, selamat dan stabil sepanjang masa.

"Itulah yang mereka cabar, bukan saya... tapi saya pandang dicabar. Bila polis kata jangan, mereka hendak (adakan) juga, tentukan akan berlaku sesuatu yang tidak baik, biasanya tindakan itu akan jadi kacau...

"Tengok apa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini, satu kejadian yang kita tidak dapat diterima, satu kejadian liar, bukan cara kita, bukan cara Malaysia, bukan cara demokrasi Malaysia, amalan demokrasi jalan, kita tidak dapat terima langsung," tegas Abdullah sambil berkata, ia bukanlah cara untuk membuat perubahan.

Katanya, apabila sesuatu berlaku hingga menyusahkan para kedai, restoran dan warung makan, maka mereka kan mendakwa supaya berpunca daripada polis supaya rakyat bencikan polis.

"Tapi sebenarnya, mereka yang menyebabkan semua ini, bukan polis. Kalau ikut undang-undang dan peraturan, tidak jadi begitu," katanya.

Perdana Menteri berkata, jika mahu perubahan, tunggu sehingga pilihanraya umum diadakan.

"Nak buat perubahan, apa perubahannya. Tunggu pilihanraya...apa nak takut pilihanraya...," kata Abdullah lagi.

Menurut beliau lagi pemintaan pihak pembangkang seperti penggunaan dakwat tidak boleh hilang untuk menyekat pemilih mengundi lebih daripada sekali telah diterima oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Di samping itu, katanya, SPR juga menyediakan tong undi yang telus cahaya yang boleh dilihat didalamnya dan lain-lain yang boleh mereka rundingkan dengan suruhanjaya tersebut. "Tapi tabiat mereka kita tahu.

Dalam pilihanraya yang mereka tidak ada peluang menang seperti di (pilihanraya kecil) Talam, mereka boikot dengan dakwa SPR menipu. Tapi (mereka) letak calon bebas, senyap-senyap undi dan kempen untuk calon bebas (itu).

"Tapi di (pilihanraya kecil) Macap dan Ijok (di mana) mereka rasa rasa boleh menang, mereka bertanding, tidak timbul soal SPR lagi. Di Macap DAP bertanding, di Ijok Keadilan (PKR) letak calon...keputusannya kita menang dengan undi yang lebih baik lagi," kata Abdullah sambil menambah bahawa rakyat tidak boleh diperdayakan.

Perdana Menteri berkata, kalau mahu mempersoalkan tentang keadilan dalam pilihanraya, sudah tentu tidak ada satu negeripun yang dimenangi oleh pembangkang.

"Di Kelantan dah berapa kali mereka (pembangkang) menang. Di Terengganu mereka menang, lepas tu kita menang pula. Di Sabah pun begitu juga...mereka boleh menang.

"Kalau kita control (kuasai) semuanya, jangan harap (pembangkang) boleh menang, tapi itu bukan cara kita, tapi kita mahu rakyat bagitahu kita sama ada mereka mahukankita...Orang Kelantan tak mahu kita, apa nak buat, kerana kita hormati pilihanraya. Inilah SPR yang ada selama ini, SPR itu juga.

"Ada masa kita menang, ada masa kita kalah, ada masa mereka menang, ada masa mereka kalah...kita rela hadapi pilihanraya bila tiba masanya," katanya.

0 Pandangan