Isu WPI : UMNO Johor Ikut Telunjuk Pak Lah

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 11/14/2007 01:12:00 PM | 0 Pandangan »

Perwakilan Umno Johor dilarang sentuh isu WPI - Malaysiakini
Muda Mohd Noor

Nov 14, 07 12:35pm

Perwakilan Johor tidak dibenarkan menyentuh mengenai isu pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dalam perhimpunan agung Umno yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara minggu lalu.

Arahan tersebut dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman dalam satu perjumpaan khas yang diadakan di kediaman rasmi beliau, beberapa hari sebelum perhimpunan agung Umno diadakan. Seorang ketua bahagian mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

Beliau yang tidak mahu namanya disebut berkata, arahan itu dibuat oleh Abdul Ghani sewaktu beliau memanggil semua ketua bahagian, ketua Pemuda, Wanita dan Puteri serta para perwakilan, untuk diberi taklimat mengenai WPI.

"Abdul Ghani memberitahu mereka bahawa isu mengenai WPI tidak perlu dibincangkan 'kerana semua orang Johor telah mengetahui mengenai projek pembangunan tersebut'. "

Menurut Abdul Ghani lagi, sebelum ini pun, kerajaan negeri dan Umno telahpun memberi penerangan kepada semula ahli dan penduduk di kawasan terbabit. Katanya, mereka sudah memahaminya.

"Beberapa ketua pemuda bahagian yang mulanya mahu isu tersebut diketengahkan dalam perhimpunan agung Umno, terpaksa akur dengan arahan tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Kemuka usul

Sementara itu, seorang ketua puteri bahagian yang dihubungi berkata, bahagiannya telah mengemukakan usul WPI kepada badan perhubungan Umno negeri Johor supaya dibincangkan dalam perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, katanya, usul tersebut ditolak kerana ia dianggap tidak sesuai untuk diketengahkan dalam perhimpunan agung Umno.

Beliau berkata, pihaknya mengemukakan usul tersebut kerana pelaburan bukan Melayu dan pelaburan dari luar negara yang terlalu besar dalam WPI.

"Saya memberitahu majlis taklimat tersebut bahawa usul mengenai WPI perlu dibincangkan di perhimpunan agung Umno, kerana ia membabitkan kepentingan orang Melayu, khususnya di Johor.

"Pada peringkat awal, ia nampak menguntungkan orang Melayu, tetapi apa yang akan terjadi 10 atau 15 tahun akan datang...," katanya.

Jaminan Pak Lah

WPI meliputi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi iaitu tiga kali lebih besar dari Singapura dan 48 kali keluasan Putrajaya - merangkumi daerah Johor Bahru hingga ke Pontian.

Wilayah tersebut dianggar mempunyai seramai 1.35 juta penduduk atau 43 peratus daripada penduduk Johor yang seramai 3.17 juta. Kira-kira 66 peratus daripada mereka bekerja.

Daripada jumlah itu, penduduk Melayu seramai 48.2 peratus; Cina (35.8 peratus); India (9.4 peratus) dan orang luar (6.6 peratus).

WPI dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 3 November tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Manakala dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno itu, Abdullah menolak kebimbangan bahawa pelaksanaan koridor ekonomi - terutamanya WPI - akan menggugat masa depan orang Melayu.

Malah, beliau menyifatkan tanggapan bahawa pelaksanaan WPI akan memudaratkan kaum Melayu sebenarnya kalimah penghinaan terhadap keupayaan anak Melayu - yang menurutnya kini ramai yang berpendidikan tinggi - untuk bersaing di dunia global.

0 Pandangan