Perhimpunan Agong UMNO : Bebas Atau Tidak Bebas?

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 10/29/2007 05:51:00 AM | 0 Pandangan »

Pada 25 Oktober 2007, Setiausaha Agong UMNO telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sekatan kepada mana-mana perwakilan untuk membincangkan apa jua isu yang berlaku dalam Perhimpunan Agong UMNO tersebut.

Namun beliau berkata, kecuali isu yang membabitkan mahkamah, isu peribadi dan yang menyentuh Yang di-Pertuan Agong sahaja yang mesti dielakkan.

Terkini, Naib Ketua Pemuda UMNO pula membuat kenyataan bahawa perwakilan diminta supaya mengelakkan daripada menyentuh sensitiviti kaum.

Selepas ini apa lagi? Pimpinan mana pula yang akan membuat kenyataan bahawa isu itu, isu ini tidak boleh diperbahaskan? Dimanakah kebebasan yang diberikan sebenarnya, dimanakah?

-------------------------------------------------------------
Perhimpunan agung Umno: Perwakilan bebas bahas semua isu - Malaysiakini
Muda Mohd Noor
Oct 25, 07 7:24pm
Perwakilan Umno bebas membahaskan semua isu dalam perhimpunan agung parti itu akan bermula 5 November ini, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

"Kita tidak menyekat mana-mana perwakilan untuk membincangkan isu dan kita juga tidak mengeluarkan arahan hanya isu tertentu yang dibincangkan. "Umno sangat terbuka dalam perkara ini...," katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Radzi mengingatkan perwakilan supaya mengelak membahaskan kes membabitkan mahkamah, isu peribadi dan yang menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, parti juga mengambil keputusan untuk tidak mengadakan siaran langsung sepanjang perhimpunan kali ini.

Perkara itu, katanya, diputuskan dalam mesyuarat pengurusan parti baru-baru ini.

Perhimpunan tahun lalu telah disiarkan oleh saluran Astro.
-----------------------------------
Jangan sentuh sensitiviti kaum - Utusan Online
SEREMBAN 28 Okt. – Para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO diingatkan supaya tidak menyentuh isu berkaitan sensitiviti kaum dalam perbahasan yang akan berlangsung sepanjang persidangan itu pada minggu depan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, semua pihak harus berwaspada dan jangan keterlaluan dalam keghairahan membahaskan agenda parti dan bangsa.

“Pada Perhimpunan Agung UMNO ini, kita berharap dapat memberi tumpuan penuh kepada persiapan untuk pilihan raya umum yang akan datang tanpa menyentuh isu berkaitan dengan sensitiviti kaum lain.

“Kita harus berwaspada, jangan keterlaluan kerana kita pun kena memahami sensitiviti kaum yang lain di samping kita memperjuangkan agenda Melayu dan sebagainya sehingga mengguris hati orang lain
,” katanya

0 Pandangan