SIDANG MEDIA - PEMUDA PAS PUSAT CABAR KHAIRY DEBAT ISU NEGARA ISLAM

Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 7/31/2007 12:36:00 PM | 0 Pandangan »


Dewan Pemuda PAS Pusat menyahut cabaran Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Sdr Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berdebat isu Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Daripada harakahdaily.

Isu negara Islam, Pemuda PAS sedia debat bersama Khairy

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyatakan kesediaan berdebat mengenai isu Malaysia sebagai negara Islam dan sekaligus menyahut cabaran Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mencabar sesiapa saja untuk berdebat isu tersebut.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata DPPP hanya menunggu maklum balas daripada Khairy yang menyatakan kesediaan beliau untuk berdebat dengan sesiapa saja bagi pertegaskan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Saya juga mengharapkan pihak media selepas ini boleh fokus kepada Khary bila hendak respon surat yang kami hantarkan ke pejabatnya kerana DPPP bersedia bila-bila masa,”
katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, ini kerana dari awal lagi PAS seboleh-bolehnya mahu melaksana atau meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Namun, katanya PAS pertegaskan ia tidak boleh terhenti di atas pengisytiharan semata-mata tetapi mesti dilihat kepada pelaksanaan dan penghayatan rukun, prinsip, syariat dan juga pelaksanaan dan penghayatan elemen-elemen yang sememangnya menjadi asas kepada agama Islam.

“Adalah menjadi sesuatu yang tidak masuk akal apabila kita mengisytiharkan sesuatu itu Islam tetapi ia tidak mengikut apa yang digaris oleh Islam.

“Apabila pemuda Umno dan juga Umno melalui Timbalan Perdana Menteri mengisytihar Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan sebelumnya ini pun Tun Mahathir Mohamad isytihar sebagai sebuah negara Islam sudah tentu mereka tidak boleh membuktikan setakat pengisytiharan semata-mata,”
katanya.

Beliau berkata perkara itu mesti dibuktikan kepada masyarakat dan rakyat apa yang dilakukan dan katanya PAS boleh memberi sumbangan jika Umno ikhlas untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.

Malangnya beliau berkata, setelah hampir 50 tahun negara merdeka, baru kedengaran suara Umno.

Malah katanya pada 22 Julai lalu Khairy mencabar secara terbuka kepada sesiapa saja yang ingin berdebat, demi pertahankan Malaysia sebagai negara Islam.

“Andai Pemuda Umno ikhlas ingin meletakkan Malaysia sebagai negara Islam, ia sangat dialu-alukan dan kami menyambut baik perkembangan ini.

“Namun dalam masa yang sama pemuda PAS tidak mahu Umno berpura-pura dengan pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam sedangkan Umno tidak bersedia ke arah itu,”
katanya.

Bahkan katanya, Umno mesti bertanggunjawab terhadap langkah yang mereka ambil melalui pengisytiharan sebagai negara Islam.

Tegasnya, Umno perlu berani bermuzakarah bagi menjelaskan kandungan atau subtance kepada negara Islam yang mereka isytiharkan serta berani berdebat untuk membutikan bahwa mereka bersedia atau melaksana objektif dan prinsip negara Islam.

“Pemuda PAS tidak mahu pengisytiharan tersebut sekali lagi menjadi gimik pilihan raya sebagaimana konsep Islam hadhari yang akhirnya kosong dan menghampakan,” dakwanya.

Ini katanya paling ‘simple’ untuk pelaksanaan negara Islam ialah menjirus kepada keadilan, kesaksamaan dan ketelusan kerana ia adalah elemen penting dalam pelaksanaan dan penghayatan syariah. - mks

0 Pandangan